Wednesday, April 29, 2020

Hidup ibarat sekotak coklat - Episod 1 (Kena masuk persatuan)

Bergambar dengan Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam dan pegawai-pegawainya di Putrajaya pada 14 November 2014.


Masuk TV dalam satu program JPA Pencen.

Dalam filem 'Forrest Gump', karaktor utamanya Forrest Gump ada menyebut "Life is like a box of chocolates. You never know what you're gonna get". Terjemahannya 'Hidup ibarat sekotak coklat. Kita tak tahu apa yang kita akan dapat'. 

Contohnya pada 10 Mei 1969 iaitu tiga hari sebelum peristiwa 13 Mei. Hari itu ialah Pilihanraya Umum ke 3 atau PRU 3. Semasa menaikki bas untuk pulang ke kampung di hujung minggu selepas habis kerja di Pejabat Kesihatan Seremban, saya melihat orang mengundi di daerah-daerah Seremban dan Jelebu. Walau pun saya tahu akan mengundi beberapa tahun selepas itu, tidak terlintas di hati saya akan terlibat dengan tugas-tugas mengundi di beberapa PRU selepas itu.

Di dalam kerja, walau pun saya bercita-cita untuk mencapai pangkat yang paling tinggi, jelas cita-cita saya terhalang kerana pilih kasih. Tetapi orang yang mengamalkan pilih kasih itu akhirnya menawarkan saya bekerja semula selepas bersara, satu perkara yang saya tidak sangka. Malah tempoh empat tahun saya bekerja selepas bersara itu menjadikan saat-saat yang paling menggembirakan saya.

Dalam episod-episod 'Bermain di padang tidak sama rata'  sebelum ini saya beberapa kali menyebut Jabatan Perkhidmatan Awam atau JPA. Masa menghubungi mereka itu, tidak terlintas di hati saya akan terlibat lagi secara serious dengan mereka selepas bersara. Gambar-gambar di atas membuktikannya. Di gambar pertama, saya dipanggil sendiri oleh Datuk Dr. Yeow, Pengarah JPA Pencen untuk bermesyuarat dengannya dan pegawai-pegawainya.

(Saya pernah ditanya oleh seorang kawan baik saya, adakah saya masih pergi ke Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sekarang? Saya jawab buat apa saya pergi ke MPS bila saya boleh bersentuh bahu (rub shoulders) dengan pegawai-pegawai JPA Pencen?)


MENERIMA NASIB YANG BERBEZA

Walau pun kawan sekerja saya R mengalahkan saya dalam cita-cita saya di MPS, hidup kami amat berbeza selepas bersara. Saya ada berjumpa R di Pasar Tani Ampangan untuk beberapa ketika. Tetapi dalam beberapa tahun sebelum ini saya tidak nampak kelibatnya di sana.

Rupa-rupanya R tidak sihat. Saya cuba menaliponnya selepas itu, tetapi tidak berjawab. Bila akhirnya saya berjaya bercakap dengannnya, barulah saya tahu keadaannya. Ada seorang kawan baiknya yang sama-sama bekerja dengan R di Kelantan sering bertanya saya akan keadaan R. Panggilan telefonnya kepada R tidak berjawab katanya. Kawan kami itu tinggal di Batu Pahat, Johor.

Akhirnya atas desakan kawannya itu, saya menziarah R di rumahnya lebih kurang dua tahun yang lalu. Terperanjat saya melihat keadaan R. Dia terbaring di atas katil perubatan. Dia tidak boleh berjalan, katanya. Saya terus menalipon kawan kami di Batu Pahat itu dan membiarkan R bercakap dengannya. Saya pun brbual lama dengan R sambil mengenang kisah-kisah lama.

Yang menyedihkan ialah bila saya bertanya siapa lagi yang datang melawatnya. R menjawab kebanyakannya kawan-kawan sekolahnya. Kawan-kawan kami di MPS tidak ada yang melawatnya.

Itulah kali terakhir saya dan kawan kami dari Batu Pahat itu bercakap dengan R, kerana R meninggal dunia beberapa bulan selepas itu.  Al Fatihah.


TERLIBAT DENGAN DUA N.G.O.

Isteri saya perlu membuat pembedahan mata. Sebelum itu saya membawanya beberapa kali ke Klinik Mata di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ, Seremban. Akhirnya doktor pakar mengatakan matanya perlu dibedah. Dia menyenaraikan bahan-bahan yang perlu dibeli seperti kanta. Saya pun membelinya tanpa mengetahui saya boleh menuntut kos pembeliannya.

Di hari pembedahan, saya terjumpa seorang bekas Ahli Majlis MPS yang di masa itu menjadi Ahli Lembaga Pelawat  HTJ. Mengenali saya dan tahu saya sudah bersara, dia bertanya tahukah saya bahawa saya boleh menuntut balik kos bahan-bahan yang saya beli? Saya jawab tidak tahu. Dia pun memberi alamat di mana saya boleh mendapat pertolongan.

Alamat yang diberi ialah pejabat satu persatuan pesara. Seorang pekerja di situ memberitahu, saya hendaklah menjadi ahli persatuan sebelum dia menolong. Tanpa memikir apa-apa saya pun mengisi borang dan membayar yuran seumur hidup. Kemudian dia memberi saya satu borang yang bertulis JPA Pencen di atasnya. Dia kata borang yang sudah diisi dan lampiran-lampiran hendaklah di hantar ke JPA Pencen di Putrajaya.

Setelah mengisi borang termasuk mendapatan tandatangan dokor pakar saya pun menghantar borang ke JPA Pencen. Selang beberapa minggu dan bila tidak ada apa-apa berita, saya menalipon JPA Pencen. Mereka menjawab tidak boleh mengambil apa-apa tindakan kerana saya seorang pesara Pihak Berkuasa Tempatan dan permohonan hendaklah dimajukan ke situ. Saya pun meminta mereka memulangkan permohonan saya.

Kemudian set borang tuntutan itu saya bawa ke MPS. Sekali lagi saya pergi ke Jabatan Perkhidmatan dan Personnel setelah beberapa tahun, tetapi kali ini untuk membuat tuntutan perubatan. Staff di sana tersenyum melihat ketidaktahuan saya sambil berkata borang permohonan itu ada dengan mereka. Ini bermakna saya tidak perlu pergi ke pejabat persatuan pesara untuk mendapatkannya. Tetapi mereka tidak tahu saya ada rancangan lain.

Bersambung.....

No comments: