Monday, January 25, 2021

KERANA SAYA BUKAN RASIS

Dato' Ponniah, EXCO Negeri Sembilan di kiri saya pada awal tahun 1980an. Di depan kami ialah Tan Sri Rais Yatim, Menteri Besar Negeri Sembilan di waktu itu.

Semalam saya menonton di tv satu cara pihak FBI di Amerika menangkap penjenayah. Mereka meletakkan 'bug' dalam kereta penjenayah. Melalui 'bug' itu mereka dapat mendengar dan merakam perbualan penjenayah tersebut. Dengan bukti yang cukup, mereka menangkap pejenayah dan kawan-kawan mereka.

Saya memang selesa berborak dengan kawan-kawan rapat dalam kereta. Beberapa minggu lalu saya memandu kereta ke Jelebu dan balik. Tujuannya untuk menghadiri mesyuarat EXCO persatuan pesara saya di mana saya ialah Setiausaha di peringkat Bahagian Negeri. Turut menumpang ialah Naib Yang Di Pertua (seorang perempuan) dan Bendahari persatuan. Kami bermesyuarat di Jelebu kerana Yang Di Pertua kami tinggal di situ. Saya akan merujuk Bandahari saya ini sebagai K sahaja selepas ini.

Inilah pertama kami K, seorang veteran Persatuan berbangsa India, menaiki kereta saya. Sebenarnya K mempunyai sejarah yang kurang manis dengan mantan Yang Di Pertua kami, seorang Melayu yang saya anggap rasis. Ekoran itu saya pun menerima tempias hubungan mereka yang sudah tentu tidak baik. Apa yang saya kurang seronok ialah masalah antara mereka termasuk masalah perkauman.

Semasa saya mengetahui K bermusuh dengan mantan Yang Di Pertua, dia memegang satu jawatan di peringkat Cawangan Daerah persatuam. Tetapi saya perasan dia yang pada mulanya memandang serong kepada saya telah mengubah pandangan itu dari masa ke semasa. Kerana itu adalah tanda-tanda positif saya tidak ingin tahu kenapa. Cuma saya sedar mantan Yang Di Pertua saya kurang senang akan perkembangan ini.   

Mantan Yang Di Pertua dijatuhkan di pemilihan pada tahun 2019. Sepatutnya saya jatuh sama kerana jawatan saya ialah atas lantikan beliau. Tetapi Yang Di Pertua yang baru mengekalkan saya menjadi Setiausaha. Apa yang menarik kemudian ialah Yang Di Pertua baru ini melantik pula K menjadi Bendahari. Tetapi kerana tidak ada perasaan curiga antara kami, saya dan K dapat bekerja dengan baik.

Banyak perkara yang kami bincang semasa kami pergi ke Jelebu dan balik. Akhirnya K memecahkan satu rahsia yang disimpannya dari saya selama ini. Katanya dia mula mempercayai saya bila "Dato' Ponniah spoke highly about you".    

Saya sudah kenal Dato' Ponniah lama dan beliau baru meninggal dunia beberapa bulan yang lepas. Sebelum itu dia memegang jawatan Penasihat persatuan kami. Lebih kurang empat puluh tahun sebelum ini pula, dia menjadi Ahli Majlis Kerajaan Negeri Sembilan atau EXCO. Portfolio yang dipegangnya ialah Perumahan dan Kerajaan Tempatan. 

Dengan kedudukan EXCOnya, dia selalu berhubung dengan jabatan saya iaitu Majlis Perbandaran Seremban atau MPS. Malangnya kebanyakan pegawai dan kakitangan MPS adalah rasis. Jadi agak susah bagi Dato' Ponniah untuk mendapat kerjasama dari kami. 

Tetapi dari kami yang kebanyakannya rasis itu, dia mendapati saya tidak berperangai begitu. Dari itu dia banyak mendapat pertolongan dari saya, dari segi maklumat, data-data dan lain-lain. Sedangkan saya dilabel oleh jabatan saya sebagai "tidak mempunnyai semangat kebangsaan". Tetapi saya tidak peduli akan label itu.

Tempoh Dato' Ponniah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan EXCO tidak lama, mungkin kerana partinya MIC tidak mahu ahli-ahlinya menjadi wakil rakyat terlalu lama. Tetapi setelah Dato' Ponniah bersara dari politik dan saya pula bersara dari khidmat kerajaan hubungan kami tetap baik.    

Dato' Ponniah agak terkejut bila mengetahui saya dilantik menjadi Setiausaha persatuan. Untuk membuktikan perhormatannya kepada saya, dia pernah datang ke pejabat saya sekarang bertanyakan khabar dan bercerita kisah-kiah lama. 

Tidak hairanlah bila dia pernah 'Spoke highly' mengenai saya kepada orang-orang tertentu. Sebab utama ialah kerana saya bukan rasis.

Sekian.

No comments: