Tuesday, January 19, 2021

PINTU RAHSIA



Bahagian yang mula roboh.

100 meter sudah roboh, dimulai oleh PINTU RAHSIA saya.

Kepingan zink yang jatuh paling kiri itulah PINTU RAHSIA saya.

Saya mula menulis di tahun 2021 ini dengan satu cerita kartun bertajuk PINTU RAHSIA.

Di saat ini rakyat satu Malaysia sedang menceritakan mengenai pembaziran membina beberapa dewan orang ramai di satu kawasan Parlimen di Johor. Sebenarnya mereka tidak sedar akan pembaziran yang sedang berlaku di Seremban, Negeri Sembilan.

Al kisah 13 bulan yang lalu satu kumpulan perompak dan penyamun telah merogol sekeping tanah di depan rumah saya yang sudah diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG. Mereka kemudianya mendirikan satu DEWAN KOMUNITI yang juga membazir. Segala bantahan segelintir kami tidak dipedulikan, sehingga saya dan kawan-kawan membuat aduan di mahkamah.

Untuk menghormati mahkamah saya tidak mahu menyentuh mengenai kes kami, setakat mengatakan ia masih berjalan. Kami menghormati undang-undang, tidak seperti perompak dan penyamun yang saya ceritakan.

Yang peliknya perompak dan penyamun inilah yang mensyaratkan supaya sekeping tanah itu direzab dan diwartakan sebagai KAWASAN LAPANG. Sekarang mereka pula melanggar syarat mereka sendiri. Oleh itu tidak salah kalau saya ibaratkan mereka ini sebagai perompak dan penyamun, atau HARUAN MAKAN ANAK iaitu bapa yang merogol anak sendiri. 

Untuk menutup mata hamba sahaya seperti saya, perompak dan penyamun ini telah membina satu tembok penutup setinggi 12 kaki bersamaan 3.6576 meter yang diperbuat dari kepingan zink dikeliling tanah tersebut. 

Tetapi ini tidak menghalang untuk saya membuat satu PINTU RAHSIA untuk memasukki tapak kerja mereka dan melihat segala pencabulan yang mereka lakukan terhadap sekeping tanah yang sepatutnya mereka jaga dengan rapi. Untuk tidak digelar pengecut atau dituduh membuang batu kemudian menyorok tangan, PINTU RAHSIA itu saya buat betul-betul di depan rumah saya, pacal yang hina ini.

Telah berapa kali pula perompak dan penyamun ini menutup semula PINTU RAHSIA itu. Mengapa mereka tidak melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Polis, Allah saja yang tahu. Ini setelah mereka boleh tahu siapa yang membuat PINTU RAHSIA ini. Mungkin mereka tidak ingin pihak berkuasa keliru siapa yang sebenarnya menceroboh, hamba sahaya ini atau mereka sendiri.

Kalau terakhir perompak dan penyamun ini menutup PINTU RAHSIA saya ialah dua hari yang lalu. Saya menyedarinya di petang hari itu. Kerana hari hampir gelap saya bercadang membukanya semula pada pagi semalam.

Di waktu Subuh masih ada di pagi semalam saya terdengar satu bunyi kuat di depan rumah saya. Saya juga terdengar beberapa bunyi kecil di tepi rumah. Apabila keluar dari rumah saya nampak peninggalan pokok-pokok yang tidak dijahanamkan oleh perompak dan penyamun terliuk kiri dan kanan.

Kemudian saya perhatikan sebahagian tembok yang melindungi aktiviti perompak dan penyamun di depan rumah jiran-jiran saya telah roboh sepanjang lebih kurang 50 meter. Tetapi PINTU RAHSIA saya tetap tertutup. Angin masih bertiup kencang dan tembok yang tinggal bergoyang.

Beberapa minit kemudian sebahagain lagi tembok itu pula roboh. Kali ini ia termasuk PINTU RAHSIA saya yang terletak betul-betul dipangkal. Tidak beberapa minitr kemudian sebahagian lagi tembok roboh, menjadikan sejumlah lebih kurang 100 meter tembok telah roboh. 

Niat saya untuk membuka semula PINTU RAHSIA saya tidak kesampaian kerana angin kencang telah membuatnya untuk saya.

Sekian.

No comments: