Wednesday, December 30, 2020

DIA RUNTUHKAN ISTANANYA SENDIRI - BAHAGIAN KEDUA


 Gambar hiasan, tidak kena mengena dengan cerita.

8.    BAGAIMANA FOTO INI BOLEH DITANDINGKAN?

Lebih kurang pada tahun 2015, semasa pengadilan satu pertandingan fotografi anjuran Persatuan A, saya nampak satu foto yang masuk pertandingan di saat-saat akhir. Apa yang menarik perhatian saya ialah foto itu tidak patut ditandingkan. Saya berani kata begitu kerana saya tahu sangat akan sejarah foto itu.

Foto diambil di satu konsert dalam sebuah auditorium di Seremban. R, saya dan beberapa ahli jawatankuasa Persatuan A sama-sama hadir di konsert itu. Saya masih ingat juruacara mengingatkan hadirin supaya tidak mengambil apa-apa foto. Ini kerana pengambilan foto adalah hak ekskusif penganjur konsert. Jadi jurufoto penganjur bebas mengambil foto tanpa saingan.

Isu yang saya bangkitkan, iaitu foto itu tidak adil ditandingkan ialah kerana peserta-peserta lain tidak dibenarkan mengambil foto itu. Saya pasti jurufotonya bertaraf professional kerana tugasnya hanya mengambil foto untuk jabatan yang menganjur konsert itu. Sudah tentu kamera juga kamera jabatan, yang tentunya mahal.

Saya beri contoh pengambilan foto semasa penganugerahan pingat atau pertabalan Raja di mana-mana  istana di Malaysia. Hanya jurufoto yang dilantik oleh pihak kerajaan atau istana dibenarkan mengambil foto. Patutkah foto-foto yang hanya boleh diambil oleh jurufoto professional dan terpilih itu ditandingkan dengan foto-foto dari jurufoto amatur?

Tetapi R menolak bantahan saya dan penyertaan foto kontroversi itu diterima. Akhirnya foto itu mendapat hadiah pertama. Ingatan saya pergi ke 'Photo Safari' tahun 1990 di mana pasukan yang menceroboh surau dan menghalang orang lain menggunakannya diistiharkan sebagai 'Pasukan Paling Berdisiplin'. Disiplin apa itu?    

Saya terlibat dengan dua pertandingan yang melibatkan jurufoto di mana jarak masa antaranya ialah 25 tahun. Di kedua-dua pertandingan tersebut terdapat kontroversi. Mustahil jika saya katakan dalam 25 tahun itu, di mana saya menajdi ahli tidur Persatuan A, tidak ada kontroversi semasa pertandingan foto.

Jika 25 tahun sebelumnya kawan pasukan saya terus merajuk, kali ini saya pula mengambil keputusan untuk merajuk. Saya mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan Setiausaha Persatuan A, seperti juga beberapa orang Setiausaha sebelum saya, yang mungkin merajuk juga. Apa guna menjadi Setiausaha jika pendapat kami (yang ada asas) ditolak?



9.     ITU SEBABNYA RAMAI YANG LARI

Sejak Persatuan A ditubuhkan cuma R menjadi Yang Di Pertuanya. Tiap kali bila ada pertandingan jawatan di Mesyuarat Agung Tahunan, R menang tanpa bertanding. R pun mendabik dada dengan mengatakan dia sudah sama taraf dengan beberapa pemimpin negara di dunia yang tidak ada yang berani melawan.

Dia tidak sedar bahawa ramai ahli telah lari meninggalkan persatuan, sehingga di kebelakangan ini korum untuk Mesyuarat Agung pun tidak cukup. Tetapi R seronok dengan keadaan ini, kerana bila tak cukup korum, tidak adalah pemilihan dan R terus menerajui persatuan. Tetapi bagi saya pula, susah untuk saya untuk meletakkan jawatan.

Salah satu sebab mengapa ramai ahli meninggalkan persatuan ialah kerana di tiap-tiap pertandingan fotografi atau yang berkaitan dengannya, pemenang sudah ditentukan dari awal lagi.  


10.    AKHIRNYA DIA DIJATUHKAN JUGA

Sebelum R dijatuhkan di Persatuan A, dia sudah dijatuhkan di Persatuan B di Mesyuarat Agung Tahun 2019. Sebelum itu saya sudah melepaskan jawatan Setiausaha Persatuan A. Sepatutnya R mendapat mengajaran dari dua perubahan itu. Tetapi tidak, dia berkeras untuk bertahan di Persatuan A. 

Bebarapa orang ahli menyedari di tahun-tahun kebelakangan ini korum di Mesyuarat Agung tidak cukup. Ini bermakna pemilihan ahli jawatankuasa baru tidak boleh di buat. Ini juga bermakna R juga akan kekal menjadi Yang Di Pertua. 

Mereka berusaha untuk memastikan korum di Mesyuarat Agung Tahun 2020 cukup. Salah satu usahanya ialah menambah ahli.

Dipendekkan cerita, korum Mesyuarat Agung Tahun 2020 Persatuan A cukup dan pemilihan ahli jawatankuasa boleh diadakan. Di sinilah R dikalahkan dengan teruk.


11.    DUA PERSATUAN MENERIMA NOTIS DARI ROS

Tiba-tiba sahaja setelah tamat Mesyuarat Agung Persatuan A, persatuan itu dan juga Persatuan B (di mana saya masih menjadi Setiausaha) menerima surat notis dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) Negeri Sembilan. ROS minta dua Persatuan ini mengemukakan beberapa dokumen. Ini sudah menjadi SOP kepada ROS bila mereka hendak menyiasat mana-mana NGO di bawah mereka.

Oleh kerana Persatuan A dan Persatuan B pernah diketuai oleh orang yang sama (yang kemudiannya dijatuhkan) sesiapa yang berakal boleh menduga kenapa ROS menghantar notis serentak kepada kedua-dua NGO tersebut. 

Sekarang ini musim Covid-19 dan bukan senang untuk sesiapa untuk masuk ke pejabat ROS. Bilangan penunggu di ruang menunggu dihadkan dan komputer-komputer mereka yang sebelum ini boleh digunakan oleh mana-mana NGO, sudah dilekatkan dengan huruf X saiz kertas A4.

Oleh itu bukan saja-saja ROS menghantar notis kepada dua NGO tersebut, melainkan ada orang mengadu. Yang menjadikan kes ini satu 'intrigue' (dengan izin) ialah si pengadu tidak lain tidak bukan orang yang pernah menerajui kedua-dua NGO itu. 


12.    ISTANANYA RUNTUH

Jika enam tahun yang lalu bila R memberi saya surat warna kuning dari ROS, saya berjaya menyelamatkan Persatuan A, kali ini saya tidak boleh berbuat apa-apa. Akibatnya status NGO itu di ROS sekarang ialah BATAL. 

Sekian.

No comments: