Monday, December 28, 2020

DIA RUNTUHKAN ISTANANYA SENDIRI - BAHAGIAN PERTAMA

Somewhere in Kelantan semasa Photo Safari 1990


Sudah lama saya tidak menulis di blog ini. Oleh itu sebagai menutup tirai tahun 2020 saya ingin mengata sedikit mengenai seorang yang menganggap dirinya kebal, tetapi akhirnya dia meruntuhkan istananya sendiri. Saya akan merujuk dia sebagai R sahaja selepas ini.


 1.    PERKENALAN.

Saya mula kenal dengan R di penghujung tahun 1980an. Dia menerajui satu persatuan peminat fotografi di mana seorang saudara saya  yang bekerja satu pejabat dengannya menjadi ahli. Saudara saya itulah yang mencadang permohonan saya.

Saya kemudian menyertai bebeberapa aktiviti persatuan di seluruh Negeri Sembilan. Saya akan merujuk persatuan ini sebagai Persatuan A selepas ini.


2.      JELAJAH SATU SEMENANJUNG MALAYSIA.

Pada tahun 1990, saya menyertai satu aktiviti persatuan yang dipanggil 'Photo Safari'.  Kami dibahagi kepada pasukan-pasukan berkereta. Pasukan saya terdiri dari dua lelaki dan dua perempuan se pejabat. Kami menjelajah semua negeri di Semenanjung sambil mengambil gambar.

Di safari ini saya belajar sedikit sebanyak tentang R. Kata orang seorang pemimpin itu akan dinilai bila badan yang dipimpinnya menghadapi masalah. Di Alor Setar, Kedah kami menghadapi sedikit masalah. Saya tidak mahu menghebahkan apakah masalahnya, cuma saya berani berkata disini bahawa sayalah yang memberi idea kepada R bagaimana hendak menyelesaikan masalah tersebut.  

Selepas itu R selalu membanggakan safari tersebut, tetapi dia sedikit pun tidak menceritakan akan masalah di Alor Setar itu. Ini bermakna dia tidak pernah berterima kasih kepada saya kerana menolongnya.

Idea yang saya berikan kepada R di Alor Setar adalah permulaan kepada beberapa idea-idea yang saya berikan kepadanya di tahun-tahun kebelakangan ini.


3.    PENCEROBOH DIBERI HADIAH.

Satu daripada hadiah kepada peserta-peserta safari ialah 'Pasukan Yang Paling Berdisplin'. Kawan pasukan saya menjangka ekoran 'pertolongan' yang saya berikan di Alor Setar, pasukan kami akan mendapat hadiah itu. Rupa-rupanya hadiah diberikan kepada pasukan yang menceroboh dan menawan surau di kompleks penginapan kami sehingga semua penghuni di kompleks itu tidak dapat mendirikan solat berjemaah.

Kawan saya terus merajuk dan berhenti dari persatuan, sedangkan saya meneruskan keahlian saya, tetapi sebagai ahli yang tidur.  


4.    PERSATUAN ORANG PENCEN.

Setelah beberapa tahun tidak bertemu secara formal dan setelah bersara, takdir menemukan saya dengan R. Saya masuk satu lagi persatuan, kali ini persatuan orang pencen. Saya terkejut bila mendapati Yang Di Pertua persatuan ini ialah R.

Mungkin mengenangkan pertolongan saya di Alor Setar lebih 20 tahun sebelumnya, R menawarkan saya menjadi Setiausaha persatuan ini. Saya menerimanya kerana terasa bosan tidak buat apa-apa setelah bersara.

Saya akan merujuk persatuan ini sebagai Persatuan B selepas ini.


5.  BALIK KE PERSATUAN A.

Beberapa bulan setelah menjadi Setiausaha Persatuan B, R menawarkan pula saya menjadi Setiausaha Persatuan A yang saya sudah tinggalkan berpuluh tahun itu. Sekali lagi saya terima, walau pun kali ini dengan hati yang berat.


6. ADA UDANG DI BALIK MEE.

Setelah beberapa minggu saya menjadi Setiausaha Persatuan A, R memanggil saya ke rumahnya. Dia terus memberikan saya satu surat berwarna kuning. 

Surat kuning itu datangnya dari Pejabat Pendaftar Pertubuhan (yang lebih dikenali sebagai ROS) Negeri Sembilan. Ia berupa amaran terakhir meminta persatuan memberi tunjuk sebab mengapa ia tidak boleh dibatalkan.

R meminta saya pergi bertanya terus kepada ROS apa sebenarnya mereka mahu. Di ROS saya dapat tahu Persatuan A telah tidak menghantar laporan tahunan selama empat tahun. 

Dipendekkan cerita, saya telah menjalankan usaha untuk mengelakkan Persatuan A dari dibatal. 

Walau pun sedikit terkilan kerana terpaksa 'menegakkan istana' yang hampir runtuh akibat perbuatan pegawai-pegawai Persatuan A sebelum ini (termasuk kelemahan R memimpin mereka) saya merasa syukur juga. Sekurang-kurangnya saya tahu apa kehendak ROS terhadap pertubuhan-pertubuhan atau NGO jagaan mereka. 

Saya gunakan pengajaran ini bukan sahaja untuk Persatuan B dimana saya juga Setiausahanya, tetapi untuk Cawangan-cawangan  Daerah kami di seluruh Negeri Sembilan. Saya juga menolong Persatuan Induk akmi di Kuala Lumpur.


7.    "FOTO INI SEPATUTNYA DITOLAK"

Salah satu tugas saya di Persatuan A ialah menganjurkan beberapa pertandingan fotografi. Di satu pertandingan, saya dapati satu foto acara konsert yang telah diadakan di satu auditorium di Seremban. Saya hadir di konsert itu dan masih ingat sebelum ia bermula, juruacara mengingatkan para penonton bahawa pengambilan foto dilarang. 

Jadi bagaimana foto konsert tersebut berada di meja pengadilan?

Bersambung........

No comments: