Saturday, August 1, 2020

Huruf X

 X7 bermakna ini pokok yang ke tujuh akan ditumbangkan

 Ini di pokok X7 di Jalan Mutiara Galla, 70200 Seremban. Pandanglah pokok yang sudah berumur berpuluh tahun ini puas-puas sebelum ia ditumbangkan.  


Pokok X8 sudah ditebang.


 
Pokok-pokok sudah ditebang.

Pokok-pokok di seberang sana pun ditebang.

Apakah huruf yang paling popular sekarang? Bukan A, E, I, O atau U. Huruf yang paling popular di dunia sekarang ialah huruf X. Kita boleh nampak huruf X di mana-mana. Contohnya di barisan kerusi menunggu di klinik dan hospital. Malah di tiap-tiap permaidani masjid dan surau di seluruh Malaysia ada terpampang huruf X. Saya sudah lama tidak masuk ke panggung wayang. Mungkin di situ pun banyak ternampak huruf X.

Tetapi ada juga manusia jahil yang tidak faham akan penggunaan huruf X. Maka diletaknya huruf X di setiap pintu tandas kedua, keempat, keenam dan kiraan seterusnya di tandas-tandas awam.

Siapa yang tidak tahu mengapa huruf X terdapat di mana-mana sekarang bermakna dia tidak mengikut perkembangan zaman. Oleh itu tidak payahlah saya menerangkannya. Huruf X pula paling senang ditulis atau ditampal. Ia cuma memerlukan dua pita (tape) yang dipotong sama panjang dan boleh dibeli di kebanyakan kedai seperti kedai buku, kedai DIY, kedai RM 2.10 dan pasaraya.  Kemudian pita ditampal melintang seperti huruf X.

Sebenarnya huruf X tidak terdapat dalam persuratan Melayu. Kalau tidak kenapa kita tidak menulis paksa, laksa dan seksa sebagai 'paxa', 'laxa' dan 'sexa'. Bukankah bunyinya sama? Malah perkataan paling popular 'sex' ditulis 'seks' dalam Bahasa Melayu. Malah ada yang menulis 'X-Ray' sebagai eksray. 

Cuma kawan-kawan NK (nasi kawah) saya yang menulis Laksamana sebagai Laxamana. Oh ya, saya pernah tinggal di Rumah Laxamana semasa bersekolah asrama penuh dulu.

Huruf X banyak maknanya. Filem-filem yang dianggap lucah diberi kategori X. Bila kita hendak menyembunyikan identiti seseorang, kita sering memanggilnya Mr. X. Cuma bila seorang perempuan itu dipanggil Miss X atau Madame X, mungkin ia disalah erti.

Petak X di tengah-tengah jalan bererti tiada kenderaan boleh berhenti di atasnya, walau pun perintah ini sering tidak dipeduli. Dalam teks (text) ringkas X juga bermakna tidak. Contohnya, 'X de' bermaksud tidak ada. 

Tetapi ada juga huruf X diletak sebagai hukuman. Huruf X yang selalunya ditulis dengan cat berwarna merah di pokok-pokok bermakna pokok itu telah diberi hukuman tebang. Pihak berkuasa tentu ada sebab kenapa menjatuhkan hukuman begitu kepada pokok-pokok. Gambar-gambar di atas menceritakannya.

Sekian. 

No comments: