Saturday, June 20, 2020

Mana jemaah lain?

 Jemaah tidak ramai.

Yang paling dekat tu cucu saya Haziq. 

The masked me.

Bila sahaja kerajaan mengumumkan solat Jumaat dibenarkan di semua masjid di Malaysia, pilihan saya tidak lain iaitu Masjid India Muslim, Ulu Temiang, Seremban. Ini kerana di masjid inilah saya menunaikan solat Jumaat setiap minggu selama ini. 

Beberapa minggu sebelum ini, beberapa masjid telah dibuka untuk tujuan yang sama, tetapi saya tahu saya tidak layak kerana fakta umur. Untuk membuktikannya saya telah cuba memohon secara 'online' dan seperti dijangka permohonan saya ditolak.

Saya pulang dari pejabat lebih awal dari minggu-minggu sebelumnya (minggu-minggu PKP).  Lebih kurang jam 12.15 saya singgah di masjid ini untuk meninjau keadaan. Saya dapati kenderaan jemaah tidak dibenarkan diletak dalam kawasan masjid. Tidak apalah, tempat letak kereta (yang juga digunakan oleh pengunjung kuil Hindu di sebelah masjid ini) cuma beberapa meter dari masjid.

Saya bertanya kepada seorang pegawai masjid yang bertugas di pagar masuk, masih adakah tempat untuk jemaah lagi. Jawapannya masih banyak. Kemudian saya tanya lagi, minggu ini khutbah dalam Bahasa Melayu ke atau Bahasa Tamil?. Jawabnya Bahasa Melayu. Saya pun pulang ke rumah.

Sampai sahaja di rumah saya terus mengajak menantu saya Nazeem dan cucu saya Haziq untuk ikut saya solat Jumaat. Seperti saya, mereka pun 'excited' untuk solat Jumaat, walau pun masjid ini tidak seperti masjid mereka di Saujana Utama, Sg. Buluh, Selangor. Kami membawa sejadah masing-masing setelah mengambil wuduk di rumah.

Jadual saya berjalan licin, walau pun saya masuk ke masjid lebih awal dari biasa. Biasanya saya akan ke masjid apabila masuk sahaja waktu. Tetapi pilihan saya kali ini tepat, kerana beberap minit setelah saya masuk, hujan pun turun.

Seperi diarahkan, saya meletak kereta di sebelah masjid. Pintu utama masjid ditutup dan jemaah kena massuk melalui pintu tepi di mana disediakan tempat pendaftaran. Untuk itu setiap jemaah diberikan satu borang kecil untuk dimasukkan butir-butir seperti nama, alamat dan nombor telefon. Saya cuma isi nama dan nombor telefon. Suhu badan juga diambil. Borang yang telah diisi dimasukkan ke dalam satu kotak.

Di dalam masjid beberapa pegawai mengarahkan kami memenuhkan ruang hadapan dahulu. Ini bermakna kami tidak boleh duduk sesuka hati seperti sebelumnya. Seperti arahan Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan, khutbah adalah pendek dari biasa. 

Masjid tidaklah penuh dengan jemaah seperti yang saya jangka. Jiran-jiran se taman saya seorang pun tak nampak batang hidung. Maaf, batang hidung memang tak nampak, sebab semua jemaah pakai 'mask'. Tetapi saya masih kenal mereka, jika mereka turut hadir. Semasa solat ruang utama masjid cuma setengah penuh. Ruang tambahan disebelah tidak digunakan.

Saya tidak hairan dengan kehadiran ini. Mungkin ramai jemaah biasa memikirkan oleh kerana masjid ini kecil, tentu ramai dari mereka tidak dapat masuk untuk solat. Jadi mereka pergi ke masjid-masjid lain. Saya yakin kehadiran akan bertambah di minggu-minggu akan datang.

Seperti dirancang, hujan yang bermula sebelum azan lagi tiba-tiba berhenti sebaik sahaja Imam selesai membaca doa selepas solat. 'Somebody turned off the rain'  kata Tom Hanks dalam filen 'Forrest Gump'. Kemudian matahari pun bersinar. "Here comes the sun" kata George Harrison dalam lagu berjudul sama.

Jangan keliru dengan nama Masjid India Muslim Ulu Temiang. Untuk solat Jumaat, jemaahnya terdiri dari 90% orang Melayu, seperti dibuktikan dalam gambar-gambar di atas. Khutbah pula berselang seli antara bahasa Melayu dan Tamil pada tiap-tiap minggu. 

Mengikut giliran, khutbah minggu hadapan ialah dalam bahasa Tamil. Saya tidak tahu bagaimana Imam itu nanti dapat memendekkan khutbahnya, kerana selama ini khutbah dalam bahasa Tamil disampaikan tanpa menggunakan teks.   

Sekian.

No comments: