Tuesday, May 4, 2021

KENAPA DIA BUAT BEGITU?

Sebenarnya saya telah menulis pos ini dalam Bahasa Inggeris pada tahun 2008 bila saya masih bekerja. Sekarang saya akan cuba membuatnya dalam Bahasa Malaysia pula.


Dalam filem The Godfather Part II, seorang ketua Mafia memberitahu kawan-kawannya "When a man reaches the twilight of his life he recollects things he did in the past" atau “Bila seorang itu mencapai usia emas, dia teringat perkara-perkara yang dibuatnya di masa lampau”. Saya sekarang berumur 71 tahun (58 semasa saya menulis pos asal) dan saya banyak kenangan silam. Berikut ialah satu kenangan silam saya yang saya tidak boleh lupa sehingga hari ini. 


Di awal tahun 1990an saya menjadi ketua Jabatan Pembersihan Bandar di Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Secara amnya tugas saya ialah memastikan sampah dipungut, longkang dibersihkan dan rumput dipotong.


Tabiat membuang sampah merata-rata sudah menjadi perkara biasa antara kita orang Malaysia. Tetapi bila pembuangan itu menjadi satu ‘pattern’ atau corak yang dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama, ia menjadi satu yang membimbangkan orang dalam kedudukan saya. Itulah yang berlaku di satu tempat di Bandar Seremban pada satu ketika di awal tahun 1990an. 


Sebahagian Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban ditaburi sampah berupa surat khabar yang sudah koyak rabak dan bungkusan makanan setiap tiga atau empat hari. Seorang pekerja hanya mengambil masa setengah jam untuk membersihkan sampah itu. Tetapi jika sampah itu tiada, bukankah dia boleh dihantar bekerja di tempat lain?


Corak dan kekerapan sampah itu dibuang memunjukkan ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang sama. Tetapi oleh siapa? Petunjuk yang ada cuma satu, iaitu ia dilakukan oleh orang atau orang-orang yang membaca akhbar bahasa Cina. Sampah juga dibuang di waktu malam kerana disedari hanya pada pagi esoknya.  


Masalah itu menjadi lebih mencabar bagi saya bila boss saya, Yang Di Pertua, MPS terlihat akan sampah itu dan memanggil saya. Saya tiada pilihan dari berjanji kepadanya akan menyelesaikan masalah itu.


Tetapi bagaimana saya hendak menyelesaikannya? Saya suka melihat cerita-cerita risikan polis di television. Antaranya pihak polis akan mengadakan ‘stake-out’ untuk melihat jenayah sedang dlakukan dan jika perlu menangkap penjenayah. Saya pun bertekad untuk mengadakan ‘stake-out’ tetapi dengan tujuan ‘menangkap’ pesalahnya.


Saya pun menubuhkan satu pasukan ‘stake-out’ yang akan menyorok dalam semak di tepi jalan-jalan berkenaan di waktu malam. Setiap ahli pasukan dibekalkan dengan ‘walkie-talkie’ (telefon bimbit belum ada lagi di masa itu). Saya sendiri memantau dengan ‘walkie-talkie’ di rumah. 


Malam pertama tidak menghasilkan apa-apa. Di malam kedua mereka nampak sampah dibuang dari satu kereta. Tetapi kereta itu hilang begitu sahaja. Disinilah saya bertekad untuk menyertai sendiri ‘stake-out’ ini. Sekurang-kurangnya saya tahu sampah itu dibuang dari sebuah kereta, bukan motosikal atau lori.


Saya dapati anggota saya tidak mencukupi untuk ‘menangkap’ pembuang sampah bersiri ini. Saya meghubungi Jabatan Undang-Undang MPS untuk meminjam beberapa anggota mereka untuk membantu saya. Mereka juga disyaratkan membawa ‘walkie-talkie’ seorang satu.



Di malam yang dijanjikan kami datang dengan motosikal dan berkumpul di satu gerai di Jalan Nuri Indah. Di situ saya bentangkan satu kertas menunjukkan kedudukan setiap anggota ‘stake-out’. Setelah setiap anggota tahu akan kedudukan mereka, kami pun beredar. Tumpuan kami ialah sampah dibuang dari kereta. Semasa saya, iaitu anggota terakhir hendak beredar, pengusaha gerai itu bertanya saya ni polis ke? Saya jawab, bukan.


Sambil menunggu dalam semak, kami pun berborak dengan ‘walkie-talkie’ untuk menghabiskan masa. Sambil itu sang nyamuk berpesta darah kami pada malam itu. 


Setelah beberapa jam menunggu sambil memberi minuman kepada sang nyamuk, seorang dari kami menjerit ternampak sampah dibuang di tengah jalan. Kemudian seorang lagi menjerit nampak yang sama. Kami pun melompat ke atas motosikal masing-masing dan mengekori kereta itu. Sambil itu bungkusan sampah yang dibuang diatas jalan kami pungut sebelum ia langgar oleh kenderaan lain.


Kemudian kereta itu membelok dan berhenti betul-betul di gerai di mana kami berkumpul beberapa jam tadi. (Agaknya inilah sebab kereta itu didapati hilang di malam ‘stake-out’ sebelum ini).  Kami pun berkumpul di keliling kereta itu seperti anjing liar mengelilingi anak antelope di Afrika.



Kami dapati sepasang suami isteri berbangsa Cina berumur dalam 50an di tempat duduk hadapan. Bila saya tanya kepada si suami yang memandu kereta betul kah dia yang membuang bungkusan sampah yang kami pungut itu, dia menafikan sekeras-kerasnya. Tetapi isterinya membisu seribu bahasa. Apa yang menarik ialah di bahagian kaki si isteri masih terdapat dua bungkusan sampah yang belum di buang.


Oleh kerana si suami enggan untuk menunjukkan kad pengenalan dan saya pula tidak mempunyai kuasa untuk mendapatkannya darinya, saya keluarkan kompuan berdasarkan nombor keretanya. Kemudian kami pun beredar setelah saya mengambil beberapa gambar dengan kamera filem saya.


Dari cara si suami menafikan penglibatannya membuang sampah itu, saya fikir dia tidak akan membayar kompuan saya. Oleh itu saya pun bersedia menyediakan pertuduhan mahkamah terhadapnya.


Alangkah terperanjatnya saya setelah beberapa hari bila diberitahu oleh Jabatan Undang-Undang MPS bahawa seorang lelaki Cina muda telah datang membayar kompuan yang saya keluarkan itu. Saya tidak tahu apa hubungan lelaki itu dengan pasangan dalam kereta itu. Sejak itu juga, tidak kelihatan lagi sampah-sampah bertaburan di Jalan Tok Ungku dan Jalan Nuri Indah, Seremban.


Sementara itu, seorang dari pegawai saya mengenali pasangan yang membuang sampah itu dan tahu di mana dia tinggal berasaskan keretanya. Setelah memberitahu boss akan kejayaan ‘stake-out’, saya pun melawat rumah pasangan itu.


Saya dapati mereka memelihara beberapa ekor burung mainan di mana najis burung ditadah dengan kertas surat khabar. Di belakang rumah saya perhatikan kotak sampah mereka bersih dan tidak digunakan. Dari itu saya boleh membuat ‘kronologi’ kegiatan pembuangan sampah mereka seperti berikut:


  1. Mereka mungkin tinggal berdua sahaja, oleh itu tidak menjana banyak sampah.
  2. Kertas surat khabar dengan najis burung diganti dari masa ke semasa. Kertas yang sudah digunakan juga dijadikan pembungkus bekas-bekas makanan mereka. Mereka juga mungkin tidak memasak di rumah.
  3. Di malam pembuangan, bungkusan-bungkusan sampah diletakkan di kaki si isteri di dalam kereta. Mereka pun keluar dengan kereta.
  4. Dalam perjalanan, si isteri akan memindahkan bungkusan sampah kepada si suami satu persatu.
  5. Si suami akan hanya melepaskan bungkusan sampah itu dari tingkap pemandu kereta.
  6. Bungkusan yang satik di tengah jalan akan dilanggar oleh kenderaan-kenderaan yang mengekor. Sampah akan berterbangan.

Beberapa minggu kemudian saya singgah di gerai di mana kami membuat perancangan ‘stake-out’ tersebut. Tuan punya gerai itu memberitahu pasangan berbangsa Cina itu singgah di gerainya dalam dua minggu dalam seminggu. Dia langsung tidak menyangka pasangan itulah yang membuang sampah yang sering dilihatnya setelah menutup kedai dalam kekerapan yang sama.



Sehingga hari saya masih tertanya-tanya kenapa pasangan itu membuang sampah cara itu. Dia boleh meletakkan sampah itu dikotak sampah di belakang rumahnya. Lori MPS akan memungutnya. Jika hendak dibuang di luar rumah melalui kereta pun, kenapa tidak arahkan sahaja si isteri mencampak sampah itu ke bahu jalan, walau pun ini akan membuatkan bungkusan itu dikoyak pula oleh anjing dan kucing.


Agaknya dia seronok melihat sampah itu berterbangan di belakangnya.

No comments: