Saturday, October 14, 2017

Kerana mulut persahabatan nyaris binasa.

Di kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) sekarang, jawatan Setiausaha dan Bendahari dilantik oleh ketua NGO tersebut, sama ada ia dipanggil Pengerusi, Yang Di Pertua atau Presiden.

Tujuannya supaya Setiausaha dan Bendahari boleh menjalankan arahan-arahan oleh ketuanya. Jika dia tidak boleh menerima arahan, berhentikan saja dan ketua boleh cari orang lain. Saya telah dilantik  oleh Yang Di Pertua saya sebagai Setiausaha hampir empat tahun yang lalu. 

Saya telah bekerja dengan dua orang Bendahari, mula-mulanya seorang Melayu dan kemudian mulai lebih setahun yang lalu, seorang India yang saya panggil R sahaja di sini. R ialah seorang pesara guru yang pernah mengajar di Kelantan untuk beberapa tahun. Dari itu kami tidak mempunyai masalah berkomunikasi dalam Bahasa Melayu atau Inggeris dengan baik.

Kerana menganggap pejabat sudah menjadi rumah kedua, saya pun membawa beberapa barangan peribadi ke pejabat. Antaranya berapa pen yang sudah lama tidak digunakan. Maklum sajalah bagi seorang pesara pen agak sudah diperlukan lagi. Saya pernah menasihatkan kawan-kawan saya jika hendak memberi hadiah cenderamata kepada pesara, jangan berikan pen. Kerana besar kemungkinan ia tidak akan digunakan. 

Kebelakangan ini saya dapati beberapa barang peribadi yang saya bawa ke pejabat itu sudah lesap, termasuk beberapa  batang pen. Saya langsung tidak mengsyaki R yang datang ke pejabat dalam kadar seminggu sekali, telah mengambilnya. Seperti saya, R juga mempunyai satu set kunci pejabat dan dia ada datang semasa saya tiada di pejabat.

Saya ingatkan barang-barang itu diambil oleh ahli-ahli persatuan yang datang mendapatkan perkhidamatan persaran mereka. Saya juga mengsyaki ahli-ahli jawatankuasa persatuan yang datang bermesyuarat. Hinggalah pada satu hari bila saya kehilangan satu barang antik (bukan pen) yang berumur lebih kurang 20 tahun dan digunakan semasa saya berkhimat dulu. Saya sedar ia hilang bila seorang ahli persatuan hendak menggunakannya bila datang ke pejabat.

Bila berjumpa dengan R selepas itu saya terus bertanyakan adakah dia nampak barang antik saya itu. Saya tidak ingat sama ada dia menjawab atau tidak. Tetapi pada malamnya dia menghantar satu gambar barang antik saya itu melalui Whatsapp dan bertanya inikah barang yang saya maksudkan. Saya terus jawab memang itulah barangnya. Dia kemudian berjanji akan membawanya ke pejabat.     

Betul dia telah meghantarkannya ke pejabat semasa saya tiada kerana pada satu pagi saya dapati barang antik itu ada atas meja saya. Apabila saya berjumpa dengannya beberapa hari kemudian saya terus bertanya bagaimana dia boleh terambil barang antik itu. Jawabnya dia telah tidak sengaja memasukkan alat itu ke begnya pada satu hari.

Saya terus meminta membuka begnya kerana mungkin ada lagi barang-barang saya di dalamnya dan dia membenarkan. Saya terkejut kerana memang terdapat ada lagi barang-barang peribadi saya di dalam begnya termasuk beberapa batang pen.

Saya langsung tidak berniat menuduhnya mencuri atau sebagainya, tetapi tiba-tiba mucul ayat-ayat berikut dari mulut saya "These things either belong to me or the persatuan. Why did you take them?". R tidak menjawab apa-apa, tetapi saya nampak perubahan pada mukanya.

Saya sedar telah mengeluarkan kata-kata yang saya tidak patut keluarkan. Saya juga sedar telah membuat kesilapan besar bila 'menggeledah' begnya. Seolah-olah saya seorang pegawai polis menggeladah beg seorang yang disyaki melakukan jenayah.

Malamnya saya menerima SMS dari R menyatakan dia berasa amat bersalah 'mencuri' barang-barang saya. Dia menambah sedang berfikir secara serious sama ada hendak meneruskan tugas atau tidak. Saya jawab janganlah fikir macam tu. Ini pekara kecil antara kita dan janganlah libatkan persatuan.

Beberapa hari kemudian dia hantar SMS lagi menyatakan telah memulangkan buku-buku ledger dan sebagainya di pejabat semasa saya tiada. Hanya kunci belum diserahkan. Jelas bagi saya dia hendak meletakkan jawatan. Sekali lagi saya jawab janganlah kerana perkara kecil ini dia hendak meletakkan jawatan.

Saya yakin tindakannya lebih kepada tindak balas terhadap kata-kata dan tindakan saya daripada kesesalan terhadap tindakannya sendiri .

Akhirnya dia datang ke pejabat menyerahkan kunci dan terus beredar sebelum saya sempat berbincang apa-apa dengannya. Saya pun terus berjumpa Yang Di Pertua (YDP) saya dirumahnya dan menceritakan kepadanya apa sebenarnya berlaku. Saya tegaskan  tidak mahu R melepaskan jawatan dan mahu YDP memujuk R.

Syukurlah di hari-hari berikutnya saya bersabar dan tidak mengambil tindakan apa-apa. Sambil itu saya bertanya kepada YDP sudahkan dia menghubungi R. Jawapan YDP panggilan telefonnya kepada R tidak dijawab.     

Akhirnya saya mendapat SMS dari R minta dipulangkan kunci pejabat yang telah diserahkan kepada saya itu.

Setelah berjumpa di tempat yang dijanjikan saya bertanya kepada R 'So you are coming back?'. Dia terus jawab 'What coming back, when did I go?'. Saya terus SMS kepada YDP berita gembira itu.

Sekian.

No comments: