Friday, May 30, 2008

Masjid India Muslim Ulu Temiang, Seremban

Selama empat minggu berturut saya telah menunaikan solat Jumaat saya di Masjid India Muslim Ulu Temiang, Seremban. Jika diukur masjid ini terletak lebih jauh dari rumah saya dari jarak yang sama ke Masjid Qariah Sikamat. Tetapi kelebihan Masjid ini adalah seperti berikut :
  1. Walau pun kecil ia tidak sesak.
  2. Ia berhawa dingin sepenuhnya.
  3. Kenderaan saya (biasanya skuter) boleh diletak paling hampir dengan masjid.

Imam solat Jumaat untuk masjid ini bergilir antara seorang Imam Melayu dengan Imam India Muslim tiap-tiap minggu. Jadi bacaan Khutbahnya juga bergilir diantara Bahasa Melayu dengan Bahasa Tamil. Tadi buat pertama kali saya mendengar Khutbah dalam Bahasa Tamil. Apa yang menarik ialah apabila Imam berkhutbah dalam Bahasa Tamil ia tidak menggunakan teks. Beliau hanya membaca doa dalam Bahasa Arab. Ini mengingatkan saya kepada Khutbah Jumaat yang saya dengar di Masjid yang saya gelarkan Masjid Taliban terletak di hadapan hotel saya di Makkah dimana Imamnya juga berkhutbah dalam Bahasa Arab tanpa teks.

Sehingga hari ini saya belum berjumpa lagi dengan Imam berkhutbah dalam Bahasa Melayu tanpa teks. Cuma semasa saya tinggal di Taman Paroi Jaya dulu Imam masjidnya sering menambah teks yang dibaca dengan komen-komen seperti "Perkara ini berlaku di taman kita baru-baru ini".

Yang menarik pada Masjid ini ialah ia terletak lebih kurang 50 meter dari satu Kuil Hindu dan juga lebih kurang 300 meter di bawah satu Tokong Cina yang juga dikenali sebagai Rocky Temple kerana terletak atas batu. Jika di lihat dari gambar masjid ini terletak sangat hampir dengan Sungai Temiang. Oleh itu masjid ini telah dilanda banjir beberapa kali. Masih nampak kesan banjir di dinding luar masjis tersebut. Saya tidak tahu bagaimana pihak-pihak yang berkenaan dapat menyelamatkan masjid ini dari terkena banjir seterusnya.

Walau pun ia dinamakan Majid India Muslim ramai juga orang Melayu yang bersolat di sini. Saya agak semasa Imamnya Melayu nisbah orang Melayu dengan India Muslim ialah 60:40 peratus. Semasa Imamnya India Muslim keadaannya terbalik iaitu 40:60 peratus.

1 comment:

Anonymous said...

Di Negeri Sembilan, mana2 imam yang tidak membaca teks akan mendapat panggilan daripada majlis agama hasil laporan ahli jamaah qariah (yg busuk hati). Biarpun kandungan khutbah tersebut tidak langsung mengutuk kerajaan