Thursday, May 8, 2008

Mengerjakan Haji Bahagian 30 (Hari ke 38 - Tawaf dan Saie Haji)

Ahad 23 Disember 2007

Saya merasa kurang sihat bila bangun pagi ini. Saya bersolat Subuh di Masjid Taliban sahaja.

Pada jam 0830 saya dan Salmah bertolak ke Masjidil Haram untuk menyempurnakan amalan akhir Haji kami iaitu Tawaf dan Saie Haji. Saya bercadang hendak pergi berdua sahaja tetapi mengikut Salmah kawan sebiliknya Leha nak ikut sama.

Sebenarnya di antara kawan-kawan sebiliknya dari Kelantan, Leha paling sesuai dengan Salmah selain Zainab dari Kedah itu. Leha mengerjakan Haji berseorangan dan suaminya tidak pergi sama. Mengikutnya lagi dia datang ke sini dengan wang simpanan sendiri.

Walau pun waktu ini bukan waktu solat, Masjidil Haram penuh dengan jemaah yang mengerjakan Tawaf dan Saie. Salmah berpegang kepada saya dan Leha berpegang kepada Salmah. Inilah kali kedua saya mengerjakan Tawaf selepas mengerjakan Umrah semasa mula-mula datang ke Makkah dahulu.

Dari pengalaman saya berikut adalah cara yang paling baik untuk mengerjakan Tawaf:

  1. Di enam pusingan yang pertama cuba berada paling dekat dengan Kaabah. Dengan cara ini kita dapat menyelamatkan tenaga kerana tidak berjalan jauh.

  2. Di pusingan yang akhir atau ketujuh cuba keluar perlahan-lahan. Hasilnya bila selesai sahaja tujuh pusingan kita tidak payah berpusing 90 darjah ke kanan dan bertentang dengan arus jemaah lain.


Gambar di atas di ambil selepas kami mengerjakan Tawaf dan selepas ini saya megerjakan Saie Haji pula.


Selesai sahaja Tawaf kami terus sahaja ke bukit Safa untuk memulakan Saie. Rupa-rupanya sudah dibina satu lagi laluan Saie di sebelah laluan Saie asal. Ini menjadikan ada tiga laluan Saie semuanya termasuk yang di Tingkat Atas.

Saya dapati belum ramai jemaah yang menggunakan laluan Saie yang baru ini. Oleh itu saya telah menggunakan taktik berikut:
  1. Kami bermula di bukit Safa sebenar dan terus ke bukit Marwah dan berpusing balik ke bukit Safa. Dalam kesesakan itu Leha telah ketinggalan dari kami.
  2. Untuk pusingan ke-2 hingga ke-6 kami berpindah ke laluan Saie yang baru.
  3. Di pusingan ke-7 atau akhir kami berpindah semula ke laluan lama bermula di bukit Safa sebenar dan berakhir di bukit Marwah sebenar.
  4. Di bukit Mawah sebenar kami membaca doa dan sempurnalah Rukun Haji kami.
Saya teringat senikata lagu 'Rukun Islam' nyanyian P. Ramlee dan Saloma bila P. Ramlee menyebut "kelima Haji ke Baitullah, Rukun Islam sudah terjumlah". Jadi dengan selesainya amalan Saie Haji ini sempurnalah amalan Haji saya dan terjumlahlah Rukun Islam saya.

Saya dan Salmah 'merayakan' kejayaan kami menyempurnakan Fardu Haji ini dengan pergi ke Restoran KFC di hadapan Masjidil Haram memakan ayam goreng Kentucky!



Video di atas juga saya rakamkan setelah kami selesai mengerjakan Tawaf Haji. Jemaah perempuan di hujung video itu ialah Leha rakan sebilik Salmah dari Kelantan.

Saya bersolat Zuhur di bilik hotel sahaja. Untuk solat Asar dan Maghrib saya ke Masjid Taliban. Kaki saya terasa sakit akibat Tawaf dan Saie Haji pagi tadi. Saya bersolat Isya' di bilik sahaja kerana merasa kurang sihat.




Ini video kami mengerjakan Saie




Lagi video kami mengerjakan Saie.



Ini ialah video menunjukkan laluan Saie baru. Jelas laluan ini lega sedikit.

Bersambung ke Bahagian 31 - rindu nak pulang.......

No comments: