Monday, May 5, 2008

Mengerjakan Haji Bahagian 24 (Hari ke 30 dan 31)

Sabtu 15 Disember 2007

Hari ini tepat satu bulan saya berada di bumi Arab Saudi. Bila bangun masih rasa tak sedap badan. Hari ini saya menunaikan semua solat di Masjid Taliban. Pihak Tabung Haji ada memberi taklimat mengenai pemergian ke Arafah. Nasihat mereka ialah supaya kami menggunakan dua hari ini untuk berehat sepenuhnya.


Ahad 16 Disember 2007

Saya bangun pagi merasa badan sihat sedikit. Alhamdulillah kawan-kawan sebilik pun semuanya boleh bangun belaka. Pak Ali ligat seperti biasa. Bukan dia saja yang ligat. Isterinya pun ligat sama. Salmah mengadu dia demam hari ini. Seperti semalam saya mengerjakan semua solat di Masjid Taliban.

Saya lupa waktu bila tetapi selepas sahaja kami bersolat di Masjid ini bilal telah memberi satu pengumuman dalam Bahasa Arab diikuti dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu oleh seorang jemaah Malaysia. Rupa-rupanya tangki air Masjid ini bocor dan sesiapa yang bermurah hati diminta memberikan sedikit derma. Padanlah saya nampak tandas dan tempat berwuduk dikunci. Pada keesokan harinya tangki telah dibaikki. Sekali lagi Malaysia Boleh!

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat saya ambil pada hari ini:


Terowong menghala ke Mina. Bangunan sebelah terowong itu ialah Hotel Elaf Al Suds yang menempatkan pejabat Tabung Haji Maktab 96. Saya difahamkan bilik-biliknya lebih besar dari bilik-bilik hotel kami, tetapi ini bermakna tiap-tiap bilik didiami oleh lebih ramai penghuni.




Kawan-kawan sebilik saya. Paling kiri ialah Pak Ali, sebelahnya Pak Nah dan yang kanan sekali Mr. Smart. Yang nampak kepala sedikit itu ialah Cik Gu Ahmad Fuad, ketua kumpulan dari Kedah yang termasuk Pak Ngah dan Pak Ali. Alhamdulillah kami semua sihat dan bersedia untuk pergi ke Arafah.


Bersambung ke Bahagian 25, Arafah.......

No comments: