Wednesday, July 25, 2018

Nyaris ditinggal bas.


Bila persatuan saya di mana saya memegang jawatan Setiausaha di peringkat Negeri, iaitu Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia atau PPKM memutuskan untuk mengadakan Persidangan Perwakilan Tahunan di Kuantan, Pahang, saya berusaha dari awal lagi untuk turut serta. Ini kerana di Persidangan pada tahun 2017 di Kota Bharu, Kelantan, saya melepaskan peluang itu kerana masalah kesihatan isteri saya. In Sya Allah keadaannya sudah bertambah baik, sekurang-kurang dia tidak perlu saya berada disampingnya sepanjang masa.

Saya mempunyai kenangan manis di Kuantan pada tahun 1992. Untuk mengetahuinya sila baca sila klik di sini. Jika di tahun 1992 saya menaiki kapal terbang ke Kuantan, kali ini saya naik bas. Sebenarnya perjalanan terpantas dari Seremban ke Kuantan ialah dengan kereta dan kumpulan Perwakilan saya dari Gemas, Jelebu dan Kuala Pilah memilih untuk berkereta. Kawan saya dari Jempol pula menaiki bas dari Bahau.

Kawan-kawan saya dari Port Dickson, Rembau dan Seremban memilih menaiki bas dari Seremban ke Kuantan melalui Kuala Lumpur dengan saya menjadi 'kapten' mereka. Kami warga emas diberi tambang khas dan saya telah menampah tiket pergi dan balik beberapa minggu sebelumnya.

Dua hari sebelumnya semasa pergi ke pejabat di Taman A.S.T., Seremban saya nampak bas syarikat yang akan membawa saya ke Kuantan keluar dari Terminal 1 Seremban tepat pada jam 9.30 pagi, itu waktu yang ditetapkan untuk ia bergerak. Saya pun terus memberitahu kawan-kawan saya untuk berada di Terminal itu sebelum jam 9.30 pagi di hari yang ditetapkan. Ini berikutan pengalaman pada tahun sudah bila ada dari mereka yang tiba lewat ke Terminal, tetapi syukurlah pemandu sabar menunggu.

Sehari sebelum perjalanan saya juga diberitahu bahawa tuan rumah, iaitu PPKM Bahagian Negeri Pahang akan menyediakan pengangkutan dari Terminal Sentral Kuantan ke tempat persidangan iaitu Hotel The Zenith, Kuantan. Ini membuat saya teringat kepada tahun 1992 semasa seminar saya di Kuantan juga. Tuan rumah, Majlis Perbandaran Kuantan atau MPK menyediakan pengangkutan dari Lapangan Terbang Kuantan ke Hotel Hyatt, Teluk Chempedak, walaupun penerbangan saya telah lewat beberapa jam.

Seperti dua hari sebelumnya, bas kami yang berupa bas eksekutif bergerak tepat pada pukul 9.30 pagi hari Jumaat 20 Julai 2018. Bas bernama Jasa Pelangi dan berhenti mengambil penumpang lain di Nilai dan Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Kami sampai di Kuantan hampir antara jam 2.30 hingga 3.00 petang. Saya lupa merekodkan waktu sebenar. Bas kemudian meneruskan perjalanan ke perhentian terakhir mereka di Kuala Terengganu.

Seperti dijanji beberapa kereta menunggu kami di Terminal Sentral Kuantan. Sebagai 'kapten' saya memilih untuk menaiki kereta terakhir. Untuk mengetahu apa yang berlaku kepada saya seterusnya sila klik BERSIDANG DI KUANTAN di laman Facebook saya.  

Persidangan kami di Kuantan berjalan dengan cukup baik. Saya telah yakin pada mulanya lagi bila memikirkan PPKM Negeri Pahang diketuai sebagai Yang Di Pertua oleh Dato' Ghani Sulaiman, iaitu seorang senior saya semasa di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak.

Cuma di hari terakhir saya merasa cemas seketika. Seperti juga semasa datang, tuan rumah menyediakan pengangkutan dari hotel kami ke Terminal Sentral Kuantan semasa pulang pada hari Ahad 22 Julai 2018. Cuma kali ini mereka menyediakan cuma dua kereta. Ini bermakna satu dari dua kereta tersebut terpaksa membuat dua 'trip'. Sekali lagi saya sebagai 'kapten' memilih untuk naik 'trip' terakhir.

Bas yang datang dari Kuala Terengganu dijangka mengambil kami pada jam 3.30 petang. Bila kereta yang akan membawa saya ke Terminal tiba, pemandunya meletakkannya di parkir hotel di 'basement'. Agaknya tuan punya kereta berbuat begitu kerana kereta-kereta yang terlibat dengan persidangan mungkin tidak dikenakan apa-apa bayaran.

Mungkin kerana kad salah masuk di mesin, palang di hadapan kereta tidak naik. Pondok bayaran juga tidak ada penunggu. mungkin kerana sistem sudah berubah di mana apa-apa bayaran dijelaskan di lobi hotel.

Pemandu kereta, seorang pesara wanita menekan butang 'interkom' di mesin yang telah menelan kad, tetapi tidak ada apa-apa jawapan. Dia pun memanggil seorang kawannya datang. Dalam pada itu masa berjalan dan saya mula panik akan ditinggal bas. Tetapi tuan rumah telah menghubungi Terminal dan memberitahu beberapa penumpang ke Seremban menaiki bas Jasa Pelangi mungkin lewat beberapa minit.

Setelah menunggu agak dalam 15 minit barulah seorang pemuda Melayu datang dengan motorsikal, membuka mesin yang menelan kad tadi dan menekan beberapa butang di dalamnya. Palang yang menghalang kami pun naik.    

Di Terminal Kuantan sekali lagi saya cemas kerana kenderaan sesak di tingkat bawah oleh kerana kereta-kereta beratur menurunkan penumpang. Sehingga seorang kawan saya menalipon saya mengatakan dia sudah menaiki bas sedangkan muka saya tidak nampak.

Akhirnya saya menaiki bas dua tiga minit sebelum ia bergerak.     

1 comment:

Anonymous said...

Bravo tuan haji