Tuesday, December 11, 2018

Tidak tahu berniaga tetapi nak ajar orang lain berniaga - Bahagian 3


Saya ingin menutup pos saya yang bertajuk 'Tidak tahu berniaga tetapi nak ajar orang lain berniaga' ini dengan mengucapkan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Seremban atau MPS.

Pagi tadi saya pergi ke MPS untuk membayar lesen perniagaan kawan baik saya. Saya telah menolong membayar lesen kawan saya ini sejak saya bekerja lagi. Beberapa hari lepas saya telah pergi ke kedainya untuk mendapatkan satu cek dan dokumen-dokumen yang diperlukan untuk pembaharuan lesen.

Apabila saya pergi ke kaunter jabatan lama saya iaitu Jabatan Pelesenan dan Pembersihan Bandar, kakitangan di kaunter itu bertanya adakah saya inginkan PATIL LESEN baru? Untuk pengetahuan pembaca, PATIL LESEN berbentuk satu fail di mana lesen boleh disimpan seperti gambar di atas. Ia mempunyi lubang kecil di bahagian atas untuk menyangkutnya di dinding.

Saya terperanjat dengan soalan itu kerana selama ini PATIL LESEN diwajibkan dibaharui setiap tahun dengan kos tambahan RM 5.00. Ini adalah tambahan kepada bayaran lesen yang berbeza untuk setiap jenis lesen. 

Mulai sekarang setiap pelesen MPS diberi pilihan sama ada hendak membaharui PATIL LESEN ini.  Ia cuma diwajibkan untuk lesen-lesen baru. Tetapi oleh kerana kawan saya itu telah menyediakan cek yang termasuk harga PATIL tersebut, saya terpaksa membeli yang baru untuknya.  

Saya telah berkali-kali menyuarakan kepada MPS supaya PATIL LESEN ini tidak payah diganti setiap tahun. Ia boleh digunakan untuk berpuluh tahun lamanya jika dijaga dengan baik. PATIL LESEN lama yang tidak diperlukan lagi, walau pun masih baik, akan menjadi sampah sahaja. 

Cuba bayangkan berapa banyaknya sampah yang dihasilkan dari PATIL LESEN yang dibuang begitu saja setiap tahun. Yang peliknya MPS juga menguruskan pelupusan sampah selama ini, sehingga tugas itu diambil alih oleh SWCorps beberapa tahun yang lalu.

Mungkin MPS akan menyatakan idea tidak perlu membaharui PATIL LESEN ini datangnya dari orang lain dari saya. Saya ingin nyatakan sekali lagi di sini bahawa idea itu telah saya majukan berpuluh tahun yang lalu. Itu juga merupakan salah satu dari banyak idea yang saya majukan kepada MPS, ada yang diterima dan ada yang tidak.   

Sekian.

No comments: