Tuesday, December 18, 2018

Nyaris-nyaris tidak dapat ke Japan.


Petang semalam saya pergi ke satu kedai yang diberi nama 'Jalan Jalan Japan'. Ia menjual barang-barang yang 100% diimpot dari Japan, walau pun kebanyakannya sudah digunakan. Saya tidak pasti sama ada ia memerlukan lesen dari Polis Di Raja Malaysia (PDRM) kerana setahu saya mereka melesenkan perniagaan barang-barang 'second hand' sebagai 'BARANG-BARANG LUSUH'.

Melihat barang-barang yang dijual di kedai itu mengimbau ingatan saya pernah berlatih di Japan selama enam minggu di tahun 2004. Semasa itu cucu pertama saya Danial sedang nakal senakalnya, cucu kedua Haziq baru hendak berjalan dan cucu ketiga Fahim baru berumur dua bulan. Sebenarnya saya nyaris-nyaris tidak dapat pergi ke sana kerana beberapa halangan pada mulanya.

Setahun sebelumnya, di tahun 2003 jabatan saya Majlis Perbandaran Seremban atau MPS telah memilih seorang kawan saya (dia baru meninggal dunia beberapa minggu lepas) untuk pergi ke latihan yang sama, di tempat yang sama iaitu Fukuoka, Japan. Latihan dijalankan oleh Japan International Cooperation Agency atau JICA. Tentulah saya merasa kecewa kerana tidak dipilih.

Di tahun 2004 MPS mendapat seorang Yang Di Pertua (YDP) baru bernama Jaafar Atan, seorang pegawai Kerajaan Persekutuan yang dipinjamkan. Memang dari dulu hingga sekarang semua YDP MPS terdiri dari pegawai Kerajaan Persekutuan yang dipinjamkan. 

Satu petang, tiba-tiba boss saya menalipon saya (yang berada di luar pejabat semasa itu) dan memberitahu jika ingin ke Japan sila balik sekarang dan pergi ke unit perkhidmatan. Saya pun segera balik dan mendapat tahu boss saya telah berbincang dengan YDP yang memilih saya untuk pergi ke latihan yang sama di Fukuoka itu. 

Setelah meneliti surat yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) saya ternampak satu halangan. Halangannya ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang ditawarkan tempat untuk latihan ini dikehendaki membiayai tambang kapalterbang. Ini berbeza dengan latihan-latihan JICA sebelumnya yang dibiayai penuh oleh mereka. 

Menyedari polisi MPS tidak akan mengeluarkan belanja untuk apa-apa kursus atau latihan di luar negara, saya majukan perkara ini kepada boss saya. Dia terus memberi jawapan yang mengecewakan iaitu 'Kalau MPS kena bayar apa-apa, tak bolehlah'. 

Bila saya tunjukkan kepadanya yang YDP telah memutuskan secara hitam putih bahawa saya dikehendaki pergi, barulah boss saya menjawab 'Kalau macam tu cubalah'. Saya pun mengisi borang-borang yang diperlukan oleh JPA.

Di masa itu tidak terlintas di hati saya bahawa apabila bersara nanti saya akan sering berurus dengan JPA.

Kemudian saya juga berurus dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), JICA Malaysia yang berpejabat di bangunan Citibank di Jalan Ampang, Kuala Lumpur dan akhirnya menguruskan visa di Kedutaan Japan, juga di Kuala Lumpur.

Di hari-hari terakhir sebelum pemergian, KPKT telah memberi jadual penerbangan. Tujuannya supaya kami yang dipilih iaitu tujuh orang semuanya, pergi bersama. Jadualnya ialah seperti berikut: Pergi dari KLIA (KUL) ke Kansai, Osaka (KIX) dengan MAS, kemudian dari Kansai (KIX) ke Fukuoka (FUK) dengan All Nippon Airways (ANA). Balik (enam minggu kemudian) dari Fukuoka ke Narita (NRT) dengan ANA, kemudian dari Narita ke KLIA dengan MAS.

Masalah yang saya dan empat lagi sahabat saya hadapi ialah tiket untuk kelas ekonomi, iatu kelas taraf kami untuk perjalanan dari KLIA ke Kansai telah habis dijual. Yang tinggal hanya tiket kelas 'business'. Yang dua orang lagi itu tidak ada masalah kerana mereka layak untuk kelas 'business'. Untuk itu, kami diminta mendapatkan kelulusan dari jabatan untuk kenaikan taraf tiket.

Ini yang membimbangkan saya. Saya sudah melanggar satu syarat MPS yang tidak membolehkan mereka berbelanja apa-apa jika seseorang pegawai hendak berkursus di luar negara. Kali ini saya dikehendaki melanggar satu lagi syarat iaitu menaiki kelas kapalterbang bukan setaraf saya. Saya memutuskan untuk berjumpa dengan YDP MPS.

Saya tahu YDP, seperti saya, tiba awal ke pejabat, dalam jam 7.30 pagi. Di satu pagi setelah 'punch card' saya terus menunggu di pejabatnya. Sesampainya dia, saya terus terangkan masalah saya. Dia terus meminta Setiausaha MPS yang bernama Yunus (dan yang kami panggil Es Yu untuk SU) berjumpanya di masa itu juga. En. Yunus juga dipinjamkan dari Kerajaan Persekutuan. Syukur juga SU yang juga tiba awal, ada di pejabatnya.

Berdebar jantung saya ketika itu. Bagaimana jika YDP bertanya SU layakkah saya dinaiktaraf kelas kapalterbang? Bagaimana jika SU menjawab 'tidak' untuk mencari jalan mudah (seperti yang diamalkan oleh MPS selama ini). Melepaslah peluang saya untuk ke Japan. Saya terfikir sanggup membayar perbezaan tambang kapalterbang tersebut.

Tetapi apa yang terjadi kemudian mengejutkan saya. YDP tidak bertanya apa-apa kepada SU. Sebaliknya dia memberi arahan berbunyi lebih kurang "Es Yu, saya sudah pilih En. Maarof pergi ke Jepun. Saya difahamkan dia ada masaalah kelas kapalterbang. Saya hendak dia pegi tanpa halangan. Kalau kita (MPS) kena bayar lebih (untuk naik taraf kelas), aturkan bayaran". Saya tidak dapat berkata apa-apa melainkan mengucapkan terima kasih kepada YDP dan SU.

Walau bagaimana pun, MPS membuat sedikit kesilapan yang menguntungkan saya. Sebenarnya tiket kelas ekonomi yang sudah habis ialah untuk perjalanan pergi dari KLIA ke Kansai. Untuk perjalanan balik yang sepatutnya melalui Narita, tiket kelas ekonomi masih ada. Tetapi MPS telah menempah tiket kelas 'business' untuk saya dari Kansai ke KLIA.

Untuk pengetahuan, di perjalanan antara KLIA dengan Kansai dan balik saya menaiki pesawat Airbus A330 MAS. Antara Kansai dengan Fukuoka semasa pergi, Airbus A320 ANA. Antara Fukuoka dengan Kansai semasa balik Boeing 737-400 ANA.

Akhirnya dapat juga saya pergi ke Japan dengan bonus menaiki kapalterbang kelas 'business'.


Penutup: 

Dalam perjalanan pulang, semasa menunggu di 'Business Lounge' di Kansai (KIX) saya berbual dengan seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang hendak balik selepas tamat berseminar di Osaka. Bila saya katakan hendak balik setelah berkursus mengenai pengurusan sampah di Fukuoka, dia bertanya tentu saya belajar mengenai 'incinerator' atau tempat pembakaran sampah. Saya jawab ya, malah saya sudah masuk dan menerima latihan di satu 'incinerator'.

Saya hairan kenapa dia bertanya begitu. Kemudian dia bercerita nampak satu bangunan luar biasa di depan hotel di mana dia menginap di Osaka. Dia tertanya-tanya bangunan apakah itu? Ia seolah-olah macam satu kasino.

Akhirnya semasa dia hendak 'check-out' dari hotel pagi tadi dia telah bertanya kepada seorang pekerja hotel, bangunan apakah itu? Pekerja hotel itu menjawab itu ialah sebuah 'incinerator'.

Sekian.

No comments: