Wednesday, January 2, 2019

Berkurung di hari pertama tahun baru.


Sudah menjadi tabiat saya dalam beberapa tahun kebelakangan ini untuk keluar rumah di malam tahun baru. Saya akan pulang ke rumah hanya setelah tahun bertukar. Malah saya telah berjanji dengan kawan baik untuk keluar besamanya untuk menyambut tahun baru 2019.

Tetapi di waktu Maghrib pada 31 Disember 2018 saya sudah merasa lain macam. Badan saya terasa lemah. Saya pun terus baring dan cuma bangun sekejap untuk solat Isya'. Bila kawan saya menalipon, saya terus menolak.

Sengsara saya tidak selesai bila pagi esoknya, bersamaan 1 Januari 2019 menjelang. Malah keadaan saya bertambah teruk. Saya langsung tidak keluar rumah di hari itu dan cuma baring di atas katil.

Rupa-rupanya saya keracunan makanan. Ini dibuktikan bila saya sering ke tandas untuk membuang air besar yang berbentuk cairan. Saya pun cuba memikirkan apakah makanan yang saya ambil sebelum ini yang boleh mengakibatkan saya berkeadaan begitu.

Akhirnya saya dapat jawapannya. Makanan itu ialah nasi lemak yang saya makan di satu gerai di pagi hujung tahun 2018 itu. Sebenarnya saya jarang makan nasi lemak di luar rumah. Itu yang membuatkan sangkaan saya amat kuat. 

Nasi lemak yang saya makan itu mungkin tercemar oleh dua sebab. Pertama, penyedia makanan itu tidak mengamalkan kebersihan diri. Jari-jarinya tidak dibersih dengan secukupnya setelah keluar dari tandas. Kuman-kuman yang ada dijari-jarinya telah singgah ke makanan yang disediakannya dan akhirnya memasuki perut saya.

Sebab kedua ialah penyedia makanan menggunakan pengawet makanan yang berlebihan untuk sambal nasi lemaknya. Pengawet makanan seperti Benzoic Acid memang dibenarkan untuk dicampur kepada makanan supaya ia tidak basi. Tetapi amaunnya tidak boleh melebihi apa yang dihadkan oleh Akta Makanan 1983. Amaun yang lebih boleh menyebabkan keracunan makanan.

Syukurkan sengsara saya cuma untuk satu hari sahaja. Saya bangun pagi ini dengan perasaan lega walau pun badan masih lemah.  

No comments: