Saturday, January 19, 2019

Semoga emak aman di sana - Bahagian 2 (Anak Dagho).

Keluarga emak. Berdiri dari kiri suaminya (bapa tiri saya) Mohd. Zain, Zahari, emak, Shamsudin, Shamsiah dan saya. Duduk di hadapan Abdul Razak dan Faridah.

Kita semua tahu apa makna 'anak dara'. Tetapi di kampung saya panggilan 'anak dara' atau 'anak dagho' ada maksud lain. 

Emak saya bernama DARA BINTI RASUL. Cuma dia sahaja yang mempunyai nama DARA di kampung. Dari itu bila orang kampung menyebut 'anak dagho' ia juga bermaksud anak-anak kepada emak, saya diantaranya.

Yang menyedihkan kami ialah 'anak-anak Dagho' sering dituduh membuat perkara-perkara negatif. Contohnya semasa pihak kerajaan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) membina jalan di kampung kami, mereka meninggalkan jentera seperti 'bulldozer' selepas bekerja. Keesokan harinya didapati ada kerosakan pada 'bulldozer' seperti lampu pecah. 

'Anak-anak Dagho' menjadi suspek utama merosakkan harta kerajaan itu. Alasan jiran-jiran kami ialah kami 'tidak berayah' yang boleh membimbing kami ke jalan benar. Tetapi emak tenang kerana tidak percaya akan tuduhan itu. Dia tahu walau senakal mana anak-anaknya, tidaklah sampai merosakkan harta orang, apatah lagi harta kerajaan.

Bagi saya pula, jika saya ada niat jahat terhadap jentera itu saya tidak akan merosakkannya. Saya akan tanggalkan bahagian-bahagiannya seperti bateri dan lain-lain.

Saya tahu perbuatan merosakkan jentera itu dilakukan oleh musuh-musuh kami adik-beradik yang cemburu kepada kami. Kenapa mereka cemburu? Kerana kami pandai di sekolah.

Walau pun emak tidak bersekolah, dia amat tegas akan pelajaran kami. Jika kami demam sedikit, kami dipaksa pergi sekolah. Bila ada diantara kami yang betul-betul 'melepek', barulah dikecualikan.

Walau pun emak tidak tahu menulis dan membaca, dia boleh memahami laporan pelajaran kami. Dia tahu jika tidak ada tulisan dalam dakwat merah bermakna kami lulus dalam semua mata pelajaran. Emak juga boleh membaca nombor. Dia tahu kedudukan kami dalam peperiksaan tidak pernah sampai dua digit. Bagi abang saya Shamsudin dan saya, nombor yang biasa kami dapat ialah antara 1 dan 2.

Kemajuan kami di sekolah menyebabkan tanggapan negatif kepada 'anak-anak Dagho' berubah. Bila setiap murid diwajibkan lulus peperiksaan mesuk ke sekolah menengah, semua anak-anak emak lulus, sedangkan ramai budak-budak kampung seangkatan kami gagal. Malah saya sendiri berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak dan abang saya Shamsudin pula ke Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Tetapi kenakalan kami tetap ada. Setelah beberapa tahun tinggal dengan atuk dan wan setelah kematian ayah kami, emak membawa kami balik ke rumah pesakanya. Kami berjiran dengan satu keluarga bernama Pilus dan Seliah. Mereka mempunyai seorang anak lelaki bernama Yusuf dan seorang anak angkat perempuan (diambil dari keluarga Cina) bernama Aminah tetapi dipanggil Bedah sahaja. Seperti kebiasaan di Negeri Sembilan, Seliah menjadi ketua keluarga.

Bedah satu kelas dengan saya, tetapi tidak pandai di sekolah. Dia gagal ke sekolah menengah walau pun keluarganya berada. Semasa di Darjah Enam guru kelas kami bernama Rashid. Biasanya dalam setengah jam sebelum sekolah tutup dia akan menanya beberapa soalan. 

Siapa yang dapat menjawab akan dibenarkan pulang. Begitulah seterusnya sehingga kelas kosong atau loceng dibunyikan. Biasanya sayalah budak pertama yang dibenarkan pulang. Cikgu Rashid kemudian menjadi seorang jutawan di Seremban dengan gelaran Dato'.  

Satu hari Seliah terserempak dengan saya semasa pulang sekolah seorang diri. Dia bertanya "Apo pulak kau pulang copek, Bedah mano?" Saya terus jawab "Bedah bolum dapek balik sobab dio tak dapek jawab soalan cikgu".  

Semasa moyang saya yang bernama Gundek berhijrah ke kampung kami dari Juasseh, Kuala Pilah dia banyak menanam pokok buah-buahan seperti durian, langsat, manggis dan rambutan. Bila pihak kerajaan mengukur tanah-tanah kami, ada beberapa pokok terpaksa dikorbankan kerana pelebaran jalan. 

Tetapi ada sebatang pokok durian tidak ditebang oleh pihak berkuasa atas rayuan emak walau pun ia tetap berada di rezab jalan. Kami memberi nama kepada setiap pokok durian. Setelah durian sebatang itu disahkan berada di rizab jalan, kami menamakannya 'durian jalan'.   

Seliah mengaku pokok durian itu dia yang punya, walau pun ia berada betul-betul di belakang rumah kami. Setiap pagi di musim durian, 'durian jalan' menjadi tumpuan kami sebelum buah-buahnya yang gugur direbut oleh jiran kami. 

Setiap petang pula saya kasihan melihat Bedah sanggup menunggu di bawahnya. Saya lebih kasihan apabila banyak buah durian itu gugur terus ke bawah rumah kami. Sudah tentu Bedah tidak berani menceroboh untuk mendapatkan 'durian'nya. Akhirnya durian itu mati sendiri, agaknya tidak tahan menjadi sebab ketegangan dua jiran.

Tetapi tanah emak diceroboh dalam bentuk lain. Selain dari mempunyai tanah sawah dan dusun yang luas, keluarga Seliah juga memelihara lembu dan kambing selain dari ayam dan itik yang biasa. Oh ya, mereka juga memelihara anjing.

Sudah menjadi beban kepada saya untuk menghalau kambing Seliah yang sering menceroboh masuk ke sawah emak dan memakan padi. Satu petang setelah bosan dengan beban tersebut saya mendapat satu idea. Saya, adik saya Zahari dan adik bongsu emak Zulkopli menghambat seekor biri-biri kepunyaan Seliah yang menceroboh ke sawah emak.

Zulkopli yang tinggal keseorangan dengan wan saya setelah atuk meninggal dunia tidak ada pilihan dari berkawan dengan kami adik-adik beradik. Kami panggil dia Pak Yo (bermakna bapak saya). Dia muda setahun lebih dari saya dan tua beberapa bulan dari Zahari. Di masa kejadian itu abang saya berada di Seremban setelah berjaya masuk ke sekolah menengah.

Kami ikat kaki biri-biri itu walau pun dia membebek sekuat-kuatnya. Kemudian kami membuat satu tindakan drastik.

Bersambung.

1 comment:

Unknown said...

Tengah syok baco, to be continue pulakk...