Saturday, September 19, 2009

Perginya seorang kawan - Bahagian 2

Pemergian kawan saya Abd. Hafidz semalam mengingatkan saya apabila saya kehilangan seorang kawan sekolah juga beberapa tahun yang lalu. Kawan yang dimaksudkan bernama Hashim dan berasal dari Kg. Siliau, Rantau, Negeri Sembilan.

Allahyarham meninggal dunia di Pulau Jawa, Indonesia semasa menjalankan perniagaan di sana. Saya sudah lupa tahunnya tetapi yang jelas di masa itu Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA belum digunakan lagi. Dato' Salamon Selamat yang semasa itu menjadi Ahli Parlimen Shah Alam telah menggunakan pengaruhnya dengan menyegerakan kepulangan jenazah Allahyarham Hashim ke Malaysia.

Dato' Salamon berbuat demikian kerana dua sebab. Sebab pertama ialah beliau semasa itu juga menjadi Yang Di Pertua, Persatuan Murid Tua kami yang dikenali sebagai SDARA. Sebab kedua ialah Dato' juga sahabat karib kepada Allahyarham. Saya sering ke rumah Dato' semasa rumah terbuka Hari Raya dan juga perkahwinan anaknya. Tiap-tiap kali saya perhatikan Allahyarham Hashim menjadi orang kuat di rumah Dato'.

Saya menerima berita pemergian Hashim dari kawan saya Ibrahim juga. Kami pun berkumpul di pejabat guaman Ibrahim di Rasah dan di situ telah sedia beberapa orang kawan kami yang kebanyakannya datang dari Lembah Kelang.

Saya masih ingat Ibrahim menalipon Allahyarham Hafidz yang semasa itu tinggal di Pulau Pinang. Saya perhatikan Ibrahim menggunakan talian tetap. Saya sempat menasihatkan Ibrahim adalah lebih murah jika menggunakan telefon bimbit jika menalipon sejauh Pulau Pinang.

Dari situ kami bersama-sama bertolak ke Siliau menunggu kepulangan jenazah Allahyarham Hashim. Sekali lagi di Siliau saya berjumpa dengan beberapa orang kawan sekolah yang terputus hubungan selama berpuluh tahun.

Setelah beberapa jam menunggu jenazah Allahyarham Hashim pun sampai diiringi oleh kawan karibnya Dato' Salamon Selamat. Saya sempat melihat wajah Allahyarham yang sudah dimasukkan ke dalam keranda oleh pihak berkuasa Indonesia. Setelah bacaan Tahlil dan solat jenazah oleh orang-orang kampung dan kami jenazah Hashim pun dikebumikan dengan keranda sekali. Cuma imam mengarahkan supaya jenazah Hashim dialihkan di dalam keranda supaya menghadapi Kiblat.

Lebih kurang setahun kemudian saya datang sekali ke Kg. Siliau. Kali ini saya menghantar anak lelaki seorang jiran saya yang berkahwin di sana. Di masa itu Lapangan Terbang KLIA sudah digunakan kerana saya dapat melihat kapalterbang terbang rendah di atas Kg. Siliau.

Saya masih ingat rumah Allaharham Hashim dan kalau tak salah saya perhatikan ia cuma terletak lebih kurang 150 meter di belakang rumah pengantin perempuan.

Saya pun bertanya untuk mendapat pengesahan dari tuan-tuan rumah di sana. Rupa-rupanya betul dan pengantin perempuan ialah anak saudara kawan saya Allahyarham Hashim. Ramailah saudara mara Hashim yang datang meraikan perkahwinan saudara mereka termasuk ibu kepada Hashim.

Saya pun diperkenalkan kepada ibu Hashim dan saya terus menceritakan kepadanya hubungan saya dengan arwah anaknya. Mendengar cerita saya ibu Hashim terus memeluk dan mencium saya sambil menangis. Saya pun mengalirkan air mata dibuatnya.

Ibu Hashim terus bercerita bahawa Dato' Salamon banyak menolongnya dalam kepulangan jenazah anaknya dari Indonesia ke Malaysia. Dia juga bercerita ramai kawan-kawan sekolah Hashim datang di hari ketibaan jenazah. Saya nyatakan kepadanya saya adalah salah yang datang itu.

Di sekolah dulu Allahyarham Hashim menjadi Pengerusi, Jawatankuasa Makanan atau Chairman, Food Committee. Beliaulah yang menjadi ketua kepada peristiwa pecah pinggan seperti yang saya ceritakan di sini :

Oleh itu Allahyarham Hashim boleh dianggap sebagai seorang hero juga.

Apa yang saya pelajari dari pengalaman ini ialah persahabatan kami di sekolah yang singkat dahulu terus berpanjangan bukan sahaja setakat kami tetapi kaum keluarga kami juga.

No comments: