Monday, March 14, 2011

Malapetaka di Jepun

Sukan Olimpik tahun 2004 di Athens, Greece diadakan cuma beberapa hari selepas saya kembali dari negara Jepun. Saya tidak melepaskan peluang menonton di tv mana-mana acara yang melibatkan negara itu.  Atlit dan pasukan Jepun memenangi pingat emas demi emas sehingga akhirnya mendapat tempat kelima dalam pungutan pingat keseluruhan. Mereka mengalahkan negara seperti Great Britain, dua-dua Korea, Germany, Italy dan France. Antara negara-negara Asia mereka cuma kalah dengan China. Semasa mereka bertanding saya tidak berhenti berfikir "Mereka ini(atlit Jepun) sebangsa dengan orang-orang yang bercampul gaul dengan saya selama enam minggu sebelum ini". Di hujung tahun 2004 itu satu tsunami ekoran gempa bumi terjadi berhampiran Acheh, Indonesia yang sedikit melibatkan negara kita.

Saya merasa bertuah dapat pergi ke Jepun yang juga dipanggil negara matahari terbit. Saya ke sana kerana menjalani satu latihan kerja di bandar Fukuoka, pulau Kyushu dari pertengahan bulan Jun hingga awal Ogos 2004.

Apabila saya melihat pakej pelancongan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat Melayu kebanyakan mereka menawarkan perjalanan ke Indonesia, Vietnam, Kemboja, Arab Saudi untuk Umrah dan China. Belum saya nampak pakej pelancongan ke Jepun. Mungkin faktor makanan menjadi masalah, Betul, amat kurang umat Islam di negara Jepun sehingga saya tidak nampak mana-mana restoran halal di bandar Fukuoka, apa lagi surau atau masjid.

Tetapi walau bagaimana maju negara Jepun ia sering dilanda malapetaka seperti gempa bumi dan ribut taufan. Pesawat Airbus 330 MAS yang saya naiki dari KLIA mendarat di lapangan terbang Kansai, Osaka dalam hujan. Di sana saya diberitahu oleh tuan rumah penerbangan seterusnya ke Fukuoka belum disahkan kerana ribut taufan dijangka melanda Fukuoka.

Saya merasa takut juga memikirkan jangkaan malapetaka ribut taufan itu kerana di negara kita malapetaka yang biasa kita alami hanya banjir sahaja selain tanah runtuh akibat perbuatan manusia sendiri. Walau bagaimana pun penerbangan saya diteruskan juga mengikut jadual apabila ribut taufan yang dijangka tidak menjadi. Pesawat Airbus 321 All Nippon Airways (ANA) bermula dari Kansai dalam hujan dan mendarat di Fukuoka dalam hujan juga. Dalam perjalanan menaiki van dari Fukuoka ke Kitakyushu saya perhatikan pokok-pokok di liring bukit meliuk-liuk ditiup angin kencang. Saya tinggal di kampus Japan International Cooperation Agency (JICA) di Kitakyushu selama seminggu untuk menyuaikan diri dengan masyarakat Jepun sambil belajar beberapa patah perkataan mereka. 

Orang Jepun dengan teknologi tinggi mereka dapat menjangka malapetaka yang akan menimpa. Malah perkataan 'tsunami' ialah dari bahasa Jepun atau dipanggil Nihongo di sana. Semasa di sana juga saya sering melihat amaran angin kencang untuk bandar-bandar di negara mereka disiarkan di tv. Maklum sajalah pantai timur Jepun terdedah kepada Lautan Pasifik yang luas. Tetapi apabila angin kencang tidak membawa apa-apa bencana, penonton tv juga diberitahu.

Tetapi walau bagaimana canggih teknologi manusia, ia tidak dapat melawan kuasa Allah. Kali ini satu gempa bumi diikuti tsunami telah melanda kawasan utara timur Jepun pada Hari Jumaat 11 Mac 2011 yang lalu. Ia diikuti dengan meletupnya satu reaktor nuklear di Bandar Fukushima. Semasa saya menulis pos ini angka kematian ialah 3,600 orang tetapi jumlah sebenar dijangka berpuluh ribu. Syukur juga saya Bandar Fukuoka dan Kitakyushu tidak terlibat kerana terletak jauh di selatan. 

Kita di Malaysia ini patut besyukur kerana negara kita tidak termasuk dalam kawasan yang boleh membawa malapetaka. Negara kita pula terlindung oleh negara-negara lain di barat, timur dan selatan jika malapetaka seperti tsunami datang. 

Jika ada malapetaka pun ia disebabkan kerakusan kita sendiri. Contohnya banjir dan bangunan runtuh kerana perancangan tidak tersusun. 

No comments: