Dari dulu lagi saya anggap mendengar lagu-lagu dari kumpulan nasyid tidak ada bezanya dari mendengar lagu-lagu klasik, klasik nasional atau rock. Ia setakat menghiburkan, itu sahaja. Saya tidak terfikir ada pendengar akan terus sembahyang apabila mana-mana kumpulan nasyid menyanyikan 'marilah kita sembahyang'. Samalah tidak ada diantara kita yang akan mencari tangan untuk dipegang apabila mendengar lagu 'I Wanna Hold Your Hand' nyanyian The Beatles.
Sekarang ini ramai diantara kita yang tergila-gilakan seorang penyanyi rakyat Sweden dan berasal dari Lebanon bernama Maher Zain. Saya mula mendengar lagunya semasa majlis berbuka puasa di rumah seorang sahabat sekolah saya di Melaka di bulan Ramadhan yang lepas. Berkali-kali lagunya diulang di majlis itu. Tetapi bagi saya tidak ada bezanya jika tuan rumah itu memainkan lagu Ziana Zain atau Anuar Zain. Sekurang-kurangnya Ziana dan Anuar Zain orang Melaka sama seperti saya bangga dengan penyanyi-penyanyi Negeri Sembilan seperti Aishah dan Hattan.
Dua bulan lepas pula di perkahwinan anak arwah abang saya lagu-lagu Maher Zain juga secara eksklusif didendangkan macamlah tidak ada lagu-lagu Melayu yang layak didengar di majlis itu. Cuma lagu 'Selamat Pengantin Baru' nyanyian Saloma dimainkan semasa kedua pangantin masuk ke dewan.
Malam tadi saya mendengar ceramah bulanan surau saya yang diadakan pada tiap-tiap hari Khamis pertama. Penceramah bukan sebarang orang. Dia berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan mempunyai ijazah kodoktoran dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Dia sekarang menjadi pensyarah di sebuah universiti di Selangor.
Penceramah menyentuh mengenai solat termasuk sebab-sebab mengapa ramai dari kita meninggalkan solat. Diantara sebabnya mengikut penceramah ini ialah kerana keasyikan kita mendengar lagu-lagu nasyid yang kononnya mempromosikan Islam. Kemudian sekarang ditambah lagi dengan dengan keasyikan mendengar lagu-lagu Maher Zain. Sampai Maher Zain diminta menyanyikan lagu-lagunya dalam Bahasa Melayu.
Mengikut ustaz ini sebenarnya kumpulan-kumpulan nasyid dan Maher Zain bukan mendekatkan kita dengan solat, tetapi sebaliknya. Mereka ini sebenarnya perosak Islam dan katanya lagi dia akan 'menentang mereka ini habis-habisan'. Saya selalunya kecewa bila mendengar ceramah-ceramah di surau atau masjid kerana penceramahnya menghina kecerdikan saya atau 'insults my intelligence'. Lebih-lebih lagi jika penceramahnya menyelitkan unsur-unsur politik dalam ceramahnya. Tetapi inilah diantara penceramah agama yang saya dapati selari dengan pemikiran saya.
Tetapi saya tidak setuju jika kita terus mengharamkan kumpulan-kumpulan nasyid atau penyanyi Maher Zain. Mereka nak cari makan juga. Cuma saya tidak mahu kita menganggap mereka ini melebihi penyanyi seperti Siti Nurhaliza dan Celine Dion. Tidak lebih Islam kita apabila mendengar lagu-lagu nasyid dan Maher Zain dibandingkan mendengar lagu-lagu ciptaan Tchaikovsky dan Lennon-McCartney.
Oh ya, ada saya dengar lagu nasyid Melayu disadur dari lagu Lebanon ciptaan dua beradik beragama Kristian. Camno tu?
3 comments:
saya bersetuju dengan pandangan penceramah dan juga pandangan tuan sendiri..sebabnya pokok pangkalnya iman masing2..kalu serban sebakul pun tp solat dilengah2kan tanpa sebab munasabah..bukan stakat dgn nasyid je pun..xada gunanya..
dlm syariat Islam, kita punya garis panduan dalam berhibur. biarpun lentok lagu dan rentak iramanya hampir sama dengan mana-mana lagu yang bukan nasyid, tetapi liriknya mengajak kita kepada mendekati Allah. Oleh itu, jika kita punya harapan nasyid akan mendekatkan diri kepada Allah, maka lihatlah pada liriknya. Bukan pada rentak dan iramanya. Nasyid bermula sejak zaman Rasulullah lagi, iaitu ketika baginda berhijrah melalui nasyid tola'al badru. Ada baiknya kita merujuk kepada kitab fiqh sebelum membuat komen-komen yang boleh membahayakan akidah kita. Sila rujuk kita fiqh sunnah karangan syeikh sayyid sabiq. Wallahu a'lam
Terima kasih Abu kerana pendpat itu. Tetapi seperti yang saya tulis dalam para pertama itu kebanyakan kita tidak pedulikan lirik, kita lebih utamakan melodi. Siapa mahu dengar lagu yang liriknya hebat tetapi melodinya teruk.
Saya sendiri setelah berpuluh tahun mendengar lagu belum ada rasanya mengubah sikap saya setelah mendengar mana-mana lirik lagu.
Di sebalik itu kita akan menyukai satu-satu lagu itu jika melodinya baik tetapi liriknya tak seberapa.
Saya mengambil contoh lagu 'Tudung Periok' nyanyian P. Ramlee dan Saloma. Apa yang ingin dipesan oleh liriknya satu sahaja iaitu 'Berikan saya kain buruk untuk menyapu air mata saya'. Saya tidak akan menyapu air mata dengan kain buruk. Ia mungkin berkuman yang akan merosakkan mata atau muka saya. Saya akan cari sapu tangan atau kertas tisu.
Tetapi saya akan tetap mendengar lagu 'Tudung Periok' dari awal sampai akhir kerana melodinya, bukan kerana liriknya.
Post a Comment