Wednesday, March 2, 2011

Tidak semestinya berbaloi jika bertindak awal.

Saya baca berita ramai rakyat kita tidak sempat membayar saman lalulintas dengan diskaun sehingga tarikh akhir 28 Februari 2011. Saya telah membayar saman saya beberapa hari sebelum tarikh akhir melalui bank secara online. Itu pun ada satu lagi saman yang belum saya jelaskan kerana tidak diberi diskaun. Kesalahan pula berlaku enam minggu yang lalu. Tak apalah kereta saya disenarai hitam. Saya akan tunggu sehingga cukai jalan saya mati baru saya bayar saman itu.

Kita tahu bila soal membuat bayaran orang kita suka membayar di saat-saat akhir. Tetapi bila soal mendapat bayaran orang kita pula 'tak monyompek' kata orang Negeri Sembilan. Saya dulu bekerja di Majlis Perbandaran Seremban dan biasalah saya lihat orang kita suka membuat bayaran di saat-saat akhir, sedangkan bil dan notis telah mereka terima beberapa bulan sebelumnya. Satu yang saya pelik juga ialah ada mereka itu bekerja di TM, TNB atau SAINS (Syarikat Air Negeri Sembilan) dimana mereka boleh membayar bil Cukai Taksiran jabatan saya itu di kaunter tempat mereka bekerja. 

Bila soal mendapat bayaran pula orang kita 'tak monyompek'. Contohnya dividen ASB. Pergilah ke pejabat-pejabat atau bank-bank yang menjadi agen ASB/ASB pada 2 hingga 7 Januari tiap-tiap tahun. Orang-orang kita sanggup cuti, ponteng kerja dan beratur untuk mendapatkan dividen mereka yang kadang-kadang berpuluh ringgit sahaja.

Bagitu juga dengan dividen koperasi. Kalau boleh disaat Mesyuarat Agung tamat mereka hendak mendapatkan dividen. Kalau boleh juga mereka mahukan wang tunai, tidak cek. Oleh itu setiap tahun sehari selepas mesyuarat satu koperasi anggota kerajaan dimana saya juga menjadi ahlinya, ramai beratur di Dewan Perbandaran Seremban di hadapan pejabat saya itu untuk mendapatkan cek dividen. Tidak kurang pula yang datang dari luar Seremban menggunakan kenderaan kerajaan. Tetapi saya cuma perlu menyeberang Jalan Yam Tuan, Seremban untuk mendapatkan cek dividen saya.

Sering kali kita dinasihatkan supaya membuat bayaran awal untuk mengelakkan kesesakan di saat-saat akhir. Begitu juga kita dinasihatkan menghantar borang seperti penyata cukai pendapatan awal-awal lagi untuk mengelakkan kesesakan juga. Tetapi dari pengalaman saya tidak semestinya bertindak awal itu berbaloi atau menguntungkan. Malah saya pernah rugi kerana bertindak sedemikian.

Sebagai seorang kakitangan kerajaan saya tidak boleh lari dari membayar cukai pendapatan. Seperti orang lain juga saya suka menghantar borang penyata pendapatan yang telah diisi di saat-saat akhir. Tetapi ada di satu tahun itu saya terfikir hendak bertindak cepat. Saya lupa akan tahunnya tetapi berikut ialah kronologinya mengikut bulan:-

1. Januari - saya terima borang penyata pendapatan dari Jabatan (sekarang Lembaga) Hail Dalam Negeri.        Setelah mendapat penyata gaji dari jabatan saya terus mengisi borang dan menghantar ke JHDN.

2. Februari - saya menerima borang penyata cukai pendapatan (Borang J) dari JHDN.

3. Mac - saya menerima notis dari JHDN meminta saya menjelaskan bayaran cukai pendapatan beserta denda RM 50.00

Saya terus berlari ke pejabat JHDN dan bertanya kenapa saya didenda RM 50.00? Mereka menunjukkan peraturan yang menyatakan 'apabila Borang J diterima bayaran hendaklah mula dibuat dalam tempoh 30 hari'.

Saya tidak boleh berkata apa-apa kerana itu peraturan yang ada hitam putihnya. Tetapi jika difikir balik ia tidak adil. Saya didenda kerana menghantar penyata pendapatan terlalu awal. Sedangkan tarikh akhir untuk menghantar penyata pendapatan ialah 30 April tiap-tiap tahun. Jelaslah tindakan saya menghantar penyata terlalu awal tindak menguntung, malah merugikan saya.

Semenjak itu saya hanya menghantar penyata pendapatan saya kepada Jabatan (kemudian Lembaga) Hasil Dalam Negeri pada bulan April tiap-tiap tahun.

No comments: