Friday, March 11, 2011

Hajatnya tidak kesampaian.

Tepat 48 jam selepas saya menerima satu berita kematian, saya menerima satu lagi berita yang sama. Seperti sebelumnya saya juga menziarahi jenazah yang pergi itu. Kali ini yang pergi bukan bersaudara, berjiran atau berkawan dengan saya. Tetapi hubungannya dengan saya ialah antara penjual dengan pembeli. Lebih tepat lagi pembeli itu ialah isteri saya Salmah sedangkan saya hanya menjadi pemandu kereta menemani isteri saya itu.

Yang meninggal dunia kali ini ialah seorang lelaki berumur 54 tahun yang membuka gerai menjual sayur-sayuran, ikan dan daging ayam cuma lebih kurang 600 meter dari rumah saya di satu taman perumahan berjiran. Saya selalu menemani isteri saya apabila dia membeli makanan mentah di gerai ini. 

Saya masih ingat beberapa bulan yang lalu singgah di gerai ini dan Allahyarham sedang berborak dengan pelanggan-pelanggannya sedangkan saya mendengar sahaja. Tiba-tiba dia berkata lebih kurang "Saya bila berhenti berniaga nanti tidak mahu tinggal di sini. Saya hendak balik kampung. Buat apa tinggal di sini, sebelah sana Ca .... .... Alif, sebelah sini Kaf .... .... Nga".  

Jelas bagi saya ungkapannya itu berbau perkauman. Jika ia pun begitu sekali niatnya dia tidak patut berbahasa dengan nada begitu. Dari itu setiap kali saya menemani isteri saya ke gerainya saya tidak lupa apa yang disebutnya itu.

Saya cukup tidak senang apabila orang Melayu kita memanggil bangsa asing dengan bahasa berbau perkauman begitu. Apa salahnya kita berbahasa betul tidak kira sama ada orang yang kita sebut itu ada mendengar atau tidak.

Mengenai niat pula apa salahnya kita berjiran dengan orang bukan sebangsa dengan kita? Saya sendiri berkongsi pagar dengan satu keluarga berbangsa Cina di belakang rumah saya. Sebelahnya pula tinggal satu keluarga berbangsa India. 

Berbalik kepada Allahyarham beberapa hari sebelumnya dia balik ke kampung isterinya di Tanjung Bidara, Melaka (dia sendiri berasal dari Kuala Selangor), Dia telah memanjat satu pokok jering untuk mengambil buahnya, sudah tentu dengan tujuan untuk dijual digerainya. 

Tetapi malang menimpa dirinya kerana dia telah terjatuh dan dimasukkan ke hospital dimana dia menghembuskan nafas terakhir setelah tidak sedar diri beberapa hari.

Mendengar berita kematiannya saya, isteri dan beberapa orang jiran kami telah menziarahi jenazah Allahyarham yang telah dibawa ke rumahnya. Yang mengetuai tugas memandikan jenazah ialah orang yang sama saya jumpa di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dua hari sebelumnya. (Sila lihat pos saya sebelum ini). Jika sebelumnya dia memandikan jenazah orang yang tidak dikenalinya atas dasar diupah, kali ini dia menjalankan tugas yang sama terhadap seorang yang tinggal satu taman dengannya, satu Qariah dan mungkin satu surau. Tidak tahulah sama ada kali ini beliau menerima upah atau tidak. 

Sedang jenazah dimandikan saya sempat berjalan di sekeliling rumah Allahyarham sambil memikirkan apa yang disebutnya beberapa bulan yang lalu. Memang terdapat jiran-jirannya terdiri dari bukan Melayu tetapi bagi saya ini tidak menjadi sebab baginya untuk berpindah ke kampung. 

Walau bagaimana pun jelaslah hajatnya itu tidak kesampaian.
 

No comments: