Pada tahun 2004 saya pernah menjejak kaki di bumi Sabah untuk lebih kurang satu jam sahaja. Saya dalam perjalanan pulang dari Fukuoka, Japan selepas berkursus dan pesawat saya berhenti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) dalam perjalanan ke KLIA.
Rasa tak puas itu memang ada dan saya berazam untuk kembali ke Kota Kinabalu apabila diberi peluang. Saya pula semenjak kembali dari menunaikan Haji rasa kurang minat untuk terbang kemana-mana. Memadai dengan memandu kereta. Tetapi peluang tiba-tiba datang apabila syarikat penerbangan Firefly menawarkan tambang murah untuk memulakan perkhidmatannya ke Kota Kinabalu (KK) dan Kuching. Kebetulan pula saya mempunyai seorang sahabat dunia siber di KK yang telah berjanji membawa saya berjalan jika saya kesana.
Tempoh yang diberikan oleh Firefly adalah terhad dan saya juga terpaksa memikirkan jadual harian saya mengambil dua cucu saya Danial dan Fahim dari sekolah dan kemudian menghantar mereka ke kelas agama. Akhirnya saya memilih tarikh-tarikh yang membuatkan mereka tidak ke kelas agama untuk sehari sahaja.
Sedikit malang kerana sahabat siber saya tidak dapat bersama dalam tempoh saya di sana kerana tugas. Walau bagaimana pun dia meminjamkan keretanya kepada saya dan mengaturkan saya dijemput dan dihantar ke lapangan terbang dengan percuma. GPS Navigator yang saya bawa bersama juga banyak menolong. Tetapi biarlah identiti sahabat saya ini menjadi misteri. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas budinya.
Walau bagaimana saya terperanjat juga kerana tidak disangka-sangka berjumpa dengan seorang lagi sahabat siber di sana. Cerita bergambar saya ke Sabah boleh dilihat di sini.
No comments:
Post a Comment