Tuesday, November 1, 2011

Akhirnya kami bertemu semula.

Aku dan guru yang pernah mengajar ku di sekolah rendah, cikgu Haji Kassim Tamyes.

Kerana kegigihanku bergaul dengan kawan-kawan satu sekolah, aku berjumpa dengan seorang junior yang nama ayahnya sama dengan nama ayah seorang guru yang pernah mengajarku di sekolah rendah di kampungku dulu. Aku mulakan perbualan dengan bertanya adakah dia mempunyai seorang abang yang pernah menjadi guru dan umurnya sekarang, jika masih hidup, dalam lingkungan 69 tahun. Dia menjawab ada dan bila dia menyebut nama abangnya serta memberitahu di mana dia berada sekarang aku pasti itulah orangnya.

Dia menambah yang abangnya kurang sihat kerana sakit buah pinggang dan terpaksa menerima rawatan dialysis berkala. Ini membuatkan aku lebih bertekad untuk berjumpa dengan guruku ini. 

Dua malam lepas aku membaca di 'facebook' berita kembalinya ke rahmatullah ayah kepada kawan sekolahku itu. Sudah tentu Allahyarham juga ayah kepada guruku dan aku terus membuat keputusan inilah peluang paling baik untukku berjumpa semula dengan cikgu lamaku.

Tidak susah aku pergi ke kampungnya kerana kami berasal dari daerah yang sama iaitu Jelebu, Negeri Sembilan dan aku menempuh kampungnya tiap kali aku balik ke kampungku. Aku pula tinggal di Sikamat, Seremban dan tidak perlu menempuh apa-apa lampu trafik apabila hendak ke Jelebu. Tambahan pula jalan Bukit Tangga yang menghubungkan Seremban dengan Jelebu sudah duluruskan.

Pagi semalam aku ke rumah bapanya yang terletak lebih kurang 300 meter dari jalan besar. Rumah cikgu pula lebih jauh dari itu. Mungkin kerana itulah aku tidak sedar di mana rumah cikgu selama ini. Masa yang aku ambil untuk sampai ke kampungnya kurang sedikit dari 30 minit, terima kasih kepada kemajuan sekarang.

Aku menjangkakan cikgu sama ada bertongkat atau berkerusi roda, tetapi aku dikecewakan. Kedua-dua adik beradik tidak nampak dan setelah mengenalkan diri aku terus bertanya kemana mereka. Si adik yang junior aku di sekolah tu pergi ke bandar untuk membeli kelengkapan pengkebumian. Si abang pula iaitu cikguku pergi ke makam kampung itu menguruskan persiapan kubur.

Setelah membaca surah Yaasiin aku pun turun dari rumah dan bertanya khabar dengan ahli keluarga cikgu. Ibu cikgu telah lama meninggal dunia dan bapanya yang berusia 94 tahun selama ini tinggal dengan adik perempuan cikgu. Cikgu ialah anak sulung dan berumur 69 tahun.

Mereka bercerita yang cikgu tidak padan dengan penyakit yang dihidapnya. Sebagai contoh dia masih boleh membawa kereta untuk pergi kemana-mana.

Semasa cikgu mengajar aku dulu dia cuma guru sementara selepas lulus Malaya Certificate of Education. Dengan kelulusan dan pengalamannya dia berjaya masuk ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) Tanjong Malim pada tahun 1962. Kebetulan di tahun yang sama aku berjaya masuk ke Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) di Tanjong Malim juga dan bersebelahan dengan MPSI. Kemasukanku ke sekolah berasrama pernuh itu hasil dari didikan cikgu juga.

Sekali sekala kami berjumpa di padang sekolah dan maktab kami yang juga bersebelahan. Kali terakhir aku berjumpa cikgu ialah pada tahun 1963 iaitu tahun terakhir latihannya sedangkan aku meneruskan persekolahan menengahku. SDAR kemudian berpindah ke Seremban pada tahun 1972 dan kompleks lamanya diambil oleh MPSI. Hari ini kedua-dua institusi itu dengan premis lama Sekolah Kebangsaan Tanjong Malim disatukan menjadi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Padang permainan dimana aku sering berjumpa cikgu sudah menjadi satu stadium.

Tidak berapa lama menunggu si adik dan abang pun kembali dari tugas masing-masing. Sementara itu, orang-orang kampung, saudara mara, kawan-kawan sekerja dan sekolah pun datang memenuhi kawasan rumah yang luas. Aku lihat cikgu turun dari sebuah kereta Toyota lama yang bergear manual dan tidak mempunyai steering berkuasa. Sungguh kuat cikgu ini.

Aku terus mendapatkannya dan bersalam sambil dia bertanya 'Siapa ni?' Aku tidak menjawab untuk meneruskannya meneka. Dalam beberapa saat sahaja dia meyebut namaku. Aku betul-betul kagum dengan ingatannya kerana aku tahu orang muda atau junior biasanya mengenali orang tua atau senior. Jarang-jarang seorang senior mengenali seorang junior. Rupa cikgu sudah banyak berubah dari dahulu dan jika aku berjumpa dengannya di mana-mana sudah tentu aku tidak mengenalinya.

Setelah jenazah sempurna dimandi, ditahlil dan disolatkan tiba pula untuk acara pengekebumian. Di sini sekali lagi cikgu menunjukkan kegigihannya. Dia berjalan kaki mengiringi jenazah yang disusung walau pun isterinya menahannya. Aku juga terfikir untuk membawa cikgu menaiki keretaku, tetapi aku membuat keputusan mengiringi cikgu dan isteri berjalan kaki ke makam yang berada kurang sedikit dari satu kilometer dari rumahnya..

Dalam pertengahan jalan sebuah kereta berhenti dan meminta kami masuk. Pemandu tidak lain dari Imam yang mengetuai tahlil dan solat jenazah tadi. Kami bertiga pun masuk ke keretanya dan kami mengikuti jenazah yang diusung bertukar ganti. Imam yang sama mengetuai bacaan Talqin nanti.

Sementara jenazah ayahandanya dikebumikan cikgu dan aku sempat bertukar pengalaman hidup. Mengikutnya setelah tamat latihan dia pernah juga kembali megajar di sekolah kampungku dulu dan aku sentiasa berada dalam ingatannya. Walau pun berkahwin dia tidak dikurniakan zuriat dan sudah lebih sepuluh tahun mengidap sakit buah pinggang yang memerlukan dialysis tiga kali seminggu.

Mendengar itu aku merasa kesal juga kerana tidak mencarinya selama ini. Walau bagaimana aku tetap bersyukur kerana berjumpa juga dengan, kalau tidak salah saya, satu-satunya guru sekolah rendahku yang masih hidup.

Semoga Allah panjangkan umur dan selamatkan cikgu Haji Kassim bin Tamyes.             


No comments: