Tuesday, September 23, 2014

Kenapa 'halt'?




Pos saya sebelum ini mengenai tempat bernama Tapah Road mengingatkan saya kepada satu kampung di Negeri Sembilan yang diberi nama kerana kaitannya dengan Keretapi Tanah Melayu (KTM) atau nama lamanya Malayan Railway. Kampung itu ialah Kampung Chembong Halt, Rembau, Negeri Sembilan. Saya mugkin tidak akan sedar akan ujudnya atau terlibat dengan kampung itu jika tidak berlaku satu peristiwa lucu melibatkan ahli keluarga saya lebih kurang tiga puluh tahun yang lalu.

Arwah bapa dan ibu mertua saya sering mengerjakan Haji. Seperti biasa saya, isteri dan anak-anak menunggu kepulangan mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Selangor. Tetapi ada sekali tu penerbangan mereka yang dijangka tiba pada waktu malam lewat sampai. Oleh kerana saya bekerja pada hari esoknya (Sabtu) saya meninggalkan isteri dan anak-anak di Subang dan balik ke Seremban. Isteri dan anak-anak boleh menumpang kereta adik beradiknya balik ke Merlimau, Melaka dan saya akan balik selepas habis kerja setengah hari.

Pada pagi esoknya saya menerima panggilan telefon dari isteri mengatakan ibu bapanya selamat sampai tetapi ada berita dan tugas yang hendak disampaikaan kepada saya. Beritanya ialah mereka tersalah ambil beg kepunyaan sepasang jemaah Haji lain. Tugasnya pula ialah untuk saya pergi ke rumah tuan punya beg dan memberitahu mereka bahawa beg mereka selamat dan saya sendiri akan memulangkannya pada keesokan harinya (Ahad). 

Kemudian saya diberitahu pasangan Jemaah itu tinggal di Kg. Chembong Halt, Rembau, Negeri Sembilan seperti ditulis di beg mereka. Lega saya dibuatnya kerana saya sudah pasti akan lalu di Rembau beberapa jam lagi. (Di masa itu Lebuhraya Utara Selatan belum siap sepenuhnya). Bagaimana kalau kampung mereka di Kuala Kubu Baharu, Selangor contohnya.

Dari nama kampung itu saya tahu ia berada di laluan keretapi kerana 'Halt' ialah tempat keretapi berhenti di mana tiada stesen. Ini saya ketahui dari nama Pantai Halt di Kuala Lumpur semasa saya dilatih kerja pada tahun 1971 dulu. Kenapa keretapi perlu 'halt' disitu saya tak tahu.

Kebetulan staff saya di pejabat ramai oghang Ghombau, jadi saya pun dapat tahu di simpang mana saya perlu masuk ke Kg. Chembong Halt. Selepas kerja saya pun pergi ke Kg. Chembong Halt dan mencari nama yang diberikan oleh isteri. Amat gembira pasangan Haji dan Hajah tersebut, lebih-lebih lagi bila saya bercakap loghat Negeri Sembilan dengan mereka. Saya berjanji In Sya Allah beg mereka akan saya pulangkan pada esoknya.

Di Merlimau, Melaka arwah bapa mertua saya memberitahu mereka hanya sedar tersalah beg apabila sampai ke rumah. Beg yang mereka ambil sama bentuk dan warna dengan beg mereka. Beg mereka pula selamat disimpan oleh Tabung Haji.

Pada petang esoknya saya pun memulangkan beg kepunyaan jemaah Haji dan Hajah dari Kg. Chembong Halt tersebut. Menurut mereka lagi, merekalah jemaah Haji yang paling akhir meninggalkan Subang, Mereka juga ternampak satu beg seakan-akan beg mereka berlegar di tempat tuntutan bagasi.

Kg, Chembong Halt kekal dengan nama itu sampai sekarang tetapi keretapi tidak 'halt' atau berhenti di situ lagi. Orang-orang tua yang tidak faham bahasa orang putih memanggilnya Kg. Chembong Hol. Seperti Pantai Halt kampung itu juga sekarang dilalui KTM Komuter. Cuma Pantai Halt sudah diganti dengan stesen Pantai Dalam dan KTM Komuter berhenti di situ.

1 comment:

monalita mansor said...

oh, patutlah tak ada orang sebut Pantai Halt lagi.