Thursday, October 2, 2014

Walaupun daif ia tetap mempunyai pelanggan.

Hari ini kita dikejutkan dengan kenaikan harga minyak RON 95 sebanyak .20 sen se liter. Siapa yang tidak marah tentang itu. Bukan sahaja kita terapaksa membayar lebih untuk minyak yang menggerakkan kenderaan-kenderaan kepunyaan kita, tetapi kita juga bimbang barang-barang keperluan lain pun akan naik. Ini kerana peniaga-peniaga mempunyai alasan paling senang iaitu kos menggerakkan barang-barang keperluan kita juga sudah naik.

Walau bagaimana pun di sini saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak kerana terlalu ramai yang membicarakannya. 

Pagi semalam selepas berjalan kaki ke tangki air di bukit di hadapan rumah yang menjadi rutin saya selang sehari, saya membawa tong gas kosong dari rumah saya untuk menukarkannya dengan tong gas yang berisi. Saya tahu ada sebuah rumah kediaman yang dijadikan kedai runcit lebih kurang 800 kilometer dari rumah saya dibuka pagi-pagi lagi. Saya juga tahu yang kedai ini tidak mempunyai lesen dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana saya dulu bekerja disitu.

PBT ini mempunyai polisi membenarkan rumah-rumah kediaman dijadikan rumah kedai jika tidak ada bangunan kedai berhampiran. Tetapi dalam kes ini sudah terdapat rumah-rumah kedai seperti dimaksudkan. Saya tidak pasti sama ada PBT ini ada mendakwa tuan punya kedai ini di mahkamah kerana berniaga tanpa lesen.

Tetapi walau beberapa kali pun tuan kedai ini didakwa di mahkamah ia sanggup membayar dendanya kerana dia mempunyai pelanggan tetap. Semasa saya hendak menukar tong gas yang saya bawa dengan skuter, pekerja kedai itu sukar juga hendak melayan saya. Ini kerana dia, seorang India bujang (saya tidak pasti dia warganegara atau tidak) terpaksa melayan pelanggan-pelanggan lain yang membeli hanya satu jenis barang.

Barang yang saya maksudkan tidak lain tidak bukan ialah rokok. Kebanyakan pembeli datang dengan motosikal, tetapi ada juga yang datang berkereta. Kesemuanya saya perhatikan ialah lelaki Melayu, sehingga ada seorang itu saya agak berumur kurang dari 18 tahun. Kebanyakannya membeli satu kotak rokok, tetapi ada juga yang membeli sampai dua kotak.  

Tidak kurang dari itu, kedai itu menyediakan satu pemetik api yang sedia tergantung di kedainya. Kebanyakan pembeli rokok akan membuka kotak rokok mereka dan mengambil sebatang rokok untuk di hisap dengan bantuan pemetik api tergantung tadi. Seolah-olah mereka tidak sabar untuk merokok.

Rumah kediaman yang dijadikan kedai ini agak daif. Pekerjanya tinggal diantara barang-barang runcit yang dijual. Tidak sah jika tidak ada tikus menemaninya. Pembeli rokok juga boleh mendapatkannya dari kedai-kedai 7-11 berhampiran yang dibuka 24 jam sehari. Cuma mungkin 7-11 tidak menyediakan pemetik api, tergantung atau tidak.

Tetapi daif atau tidak, didakwa di mahkamah atau tidak, harga minyak naik atau tidak,  ia tetap hidup. Kerana ia mempunyai pelanggan tetap.

No comments: