Wednesday, October 8, 2014

Bila makan di restoran......


Saya ada dua cara memesan atau mengambil makanan di restoran bukan makanan segera seperti berikut: 

  1. Makan secara bufe atau dipanggil nasi campur.
  2. Pesan melalui menu terutama bila makan di restoran tom yam.
Saya tidak ada masalah jika makan seorang. Tetapi saya dapati tiap kali pergi ke restoran tom yam dengan kumpulan atau keluarga terdapat pembaziran makanan. Saya perhatikan di meja-meja bersebelahan juga ada pembaziran. Saya tidak mahu makanan kurang apabila membawa keluarga atau kawan-kawan makan. Tetapi saya juga tidak suka jika ada pembaziran makanan. 

Saya bingung mengapa pembaziran itu terjadi. Contohnya semasa bulan puasa tahun lepas saya berbuka puasa di restoran tom yam berhampiran rumah saya. Saya biarkan isteri saya memesan melalui telefon dan saya mendengarnya. Saya fikir apa yang dipesanya berpatutan. Tetapi bila sudah makan saya dapati bilnya melebehi RM 80 untuk kami berdua. Itu tak apa juga, tetapi apa yang paling saya kesal ialah banyak makanan tidak termakan.

Satu hari saya dapat jawapannya bila pergi makan ke restoran tom yam yang sama dengan seorang kawan berbangsa Cina. Dia bertanya apa makanan yang saya mahu dan dia juga memberitahu apa yang dia nak makan. Kemudian bagi setiap item makanan kami memesan untuk seorang makan. 

Kemudian kami berkongsi setiap makanan yang kami pesan. Dia berkongsi makanan yang saya pesan dan dia juga berkongsi makanan yang saya pesan. Dia berkata bila dia makan dengan isterinya itulah cara dia memesan makanan.

Akhirnya makanan yang kami pesan habis tanpa pembaziran, perut pun kenyang dan kos pun berpatutan. 

Baru saya sedar selama ini bila saya datang makan berdua sebenarnya saya memesan makanan untuk empat orang dan bila saya datang berempat saya pula memesan untuk enam belas orang. 

Bagaimana ini berlaku? Sebab apabila saya datang berempat contohnya saya telah memesan setiap jenis makanan untuk empat orang. Contohnya ikan untuk empat orang, ayam untuk empat orang, daging untuk empat orang dan akhirnya sayur untuk empat orang. Itu belum termasuk tom yam dan minuman. Sebenarnya saya telah memesan untuk 4 x 4 atau enam belas orang.

Pengusaha restoran peduli apa? Dia akan menyediakan makanan bagaimana kita pesan. Dia tidak akan menasihat seperti ini "Saya rasa encik sudah order lebih ni". Yang dia tahu akhirnya duit dari poket kita akan berpindah ke poketnya.

Itulah sebabnya kita sering terbaca ada orang mengadu terpaksa membayar sehingga beribu ringgit apabila makan di restoran. Sudah tu menyebarkannya pula di akhbar dan apa yang disebut media sosial. Tahu makan tahulah bayar. Nak diungkit buat apa?

Sejak makan dengan kawan itu tiap kali saya pergi makan berkumpulan saya akan memesan caranya. Kalau datang berdua, bertiga, berempat atau lebih saya akan memesan untuk seorang makan bagi tiap-tiap jenis makanan. 

Sekian.

No comments: