Seorang kawan saya berkata saya ini minat perkara yang pelik tetapi menarik. Perangai saya itu boleh dibayangkan dari pengalaman saya seperti berikut:-
Sebagai seorang pengguna saya selalu menuntut hak saya walau pun ia mungkin berharga beberapa sen sahaja. Saya pernah pergi ke kaunter satu restoran makanan segera yang popular di Malaysia dan juga seluruh dunia. Apabila melihat notis menyatakan ada diskaun untuk pembayaran melalui satu jenis kad kredit, saya pun memberikan kad kredit apabila membayar kerana kebetulan saya mempunyai kad jenis tersebut.
Alangkah terperanjatnya saya apabila diberitahu 'tak ada line'. Saya pun menunjukkan kepada notis dan pekerja itu terus memanggil pengurusnya. Kemudian pengurus berkata hanya satu kaunter di restoran itu boleh menerima kad kredit dan di waktu itu kaunter ditutup. Saya pun meminta kaunter itu dibuka. Pengurus pun membuka kaunter itu dan memerima kad kredit saya untuk bayaran berbelas ringgit dengan diskaun sebanyak .60 sen sahaja. Bagi saya diskaun tetap tetap diskaun, walau beberapa sen pun.
Tengah hari tadi saya mengalami keadaan yang agak berlainan. Saya pergi ke satu pasar raya besar di Seremban dan memerhati jika ada apa-apa tawaran. Saya terus membeli satu minuman popular apabila membaca notis memberitahu ada baucar Pizza Hut (seperti gambar di atas) untuk setiap pembelian pek dua botol.
Setelah membayar saya terus ke kaunter khidmat pelanggan untuk menuntut baucar berkenaan. Setelah menunggu giliran beberapa minit saya diberi tahu oleh pekerja di situ barangan itu tidak mempunya apa-apa hadiah atau 'free gift'. Saya tak mahu bergaduh dengannya dan memohon masuk semula ke dalam pasar raya kerana ingin mengambil gambar notis yang saya lihat untuk menunjukkan bukti kepadanya.
Apabila mengeluarkan kamera untuk mengambil gambar, seorang pekerja menahan saya dan bertanya kenapa saya hendak mengambil gambar. Saya ceritakan masalah saya dan dia terus menunjukkan baucar Pizza Hut itu sebenarnya ada dalam pek minuman tersebut. Agak menyedari kebodohan sendiri saya pun kembali ke kaunter khidmat pelanggan.
Alanglah terperanjatnya saya di situ apabila mendapati pek minuman yang saya beli tidak mempnyai baucar Pizza Hut tersebut. Saya pun meminta pek itu ditukar. Pekerja itu memanggil seorang pekerja lain untuk menukarkannya. Untuk memuaskan hati, saya mengekornya.
Di rek jualan saya sekali lagi terperanjat kerana mendapati bukan semua pek mempunyai baucar Pizza Hut tersebut. Setelah mendapat pek yang mengandungi baucar saya ke kaunter khidmat pelanggan semula dan mengatakan sebenarnya pasar raya ini telah membuat penipuan dengan mencampurkan pek minuman yang mempunyai baucar Pizza Hut dengan yang tiada. Seorang pegawai di situ berjanji untuk menyiasat. Baru tadi saya telah menalipon 'Customer Care Line' rangakaian pasar raya tersebut.
1 comment:
Saya pun pernah terkena dengan taktik "tiada line".
Post a Comment