Tuesday, December 30, 2014

Bencana yang sudah dijangka.



Satu deret bangunan lama di Kuala Krai pada bulan Mac 2014. Keadaannya tidak sama hari ini (30 Disember 2014).


Saya menutup tirai blog saya untuk tahun 2014 dengan menyentuh sedikit mengenai banjir yang melanda negara kita baru-baru ini.


Selain dari pekan kecil Tanjong Malim di Perak, negeri Kelantan sentiasa berada dalam hati saya. Pertama saya sudah bergaul dengan budak-budak Kelantan semasa saya bersekolah asrama penuh di Tanjong Malim pada awal tahun-tahun enam-puluhan. Kedua saya pernah ditugaskan di Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan pada tahun-tahun 1972. Setelah itu saya telah berkali-kali pergi ke negeri itu bersama keluarga.

Kali kedua terakhir saya ke Kelantan ialah bersama rombongan menaiki kereta api dan bas pada bulan Mac tahun ini. Saya ada menceritakan pengalaman saya dalam blog saya ini. Tetapi oleh kerana pergerakan saya dikawal maklumlah bila bersama rombongan, saya berekad untuk ke sana sekali lagi, kali ini dengan kereta.

Peluang itu saya ambil pada awal bulan lepas (November 2014) apabila anak-anak mengajak saya bercuti di Cameron Highlands, Pahang. Kebetulan di masa itu Cameron Highlands baru sahaja dilanda banjir lumpur yang menyebabkan beberapa kematian.

Oleh itu apabila anak-anak saya balik ke rumah masing-masing di Selangor dan Negeri Sembilan, saya dan isteri meneruskan perjalanan ke Kelantan melalui Lojing dan Gua Musang. 

Saya pernah melalui Lebuhraya Timur - Barat dari Jeli ke Gerik pada tahun 1990. Dari itu saya jangka perjalanan saya dari Cameron Highlands ke Gua Musang juga akan menempuh situasi yang sama, iaitu dikelilingi hutan belantara. Tetapi apa yang saya alami amat mengejutkan. Apa yang saya nampak bukan hutan belantara, tetapi bukit bukau yang sudah gondol. 

Sehingga saya berkata kepada isteri "Kalau turun hujan seperti di Cameron Highlands baru-baru ini Kelantan teruk kali ini". Apabila lalu sebelah Sungai Kelantan berhampiran Manik Urai saya sekali lagi berkata "Jika banjir sungai itu akan melimpah". 

Tidak payahlah saya ceritkakan seterusnya apa yang sudah dan sedang berlaku di Negeri Kelantan. Yang berani saya katakan ialah bencana yang berlaku itu sudah dijangka.  

No comments: