Friday, April 23, 2010

Atap bocor

Saya tertarik dengan pos baru sahabat blogger saya Mahaguru58. Ia menceritakan perjumpaannya dengan seorang penduduk Ulu Yam Baru, Selangor. Penduduk ini berkata ia hanya akan mengundi di Pilihanraya Parlimen Hulu Selangor pada 25 April 2010 nanti jika mana-mana calon sanggup membaiki atap rumahnya yang bocor. Blogger Mahaguru58 sendiri menunjukkan video atap yang bocor tersebut. Rajin sungguh sahabat blogger saya ini.

Melihat video atap bocor tadi saya teringat kepada dua filem yang juga menunjukkan atap bocor. Satu filem Melayu dan satu lagi filem Hollywood.

Filem Melayu ialah 'Penarek Becha' (ejaan lama). Filem ini ialah filem pertama arahan seniman agung P.Ramlee. Kerana dilahirkan dalam keluarga miskin dan kurang berpelajaran karaktor Amran yang dilakunkan oleh P.Ramlee tinggal di sebuah rumah yang compang camping dengan ibunya yang dilakunkan oleh seniwati Saamah. Apabila tiba hujan air mencurah-curah turun ke lantai rumah mereka melalui atap rumah mereka yang bocor.

Rumah penduduk Ulu Yam yang ditemui oleh Mahaguru58 juga bocor kerana kemiskinan penghuninya. Tetapi ia tidaklah sedaif Amran dan ibunya seperti dalam filem 'Penarek Becha'.

Filem Hollywood pula ialah 'Unforgiven'. Persamaan filem 'Penarek Becha' dengan 'Unforgiven' ialah pelakon utamanya juga menjadi pengarah. P. Ramlee mengarah dan menjadi pelakon utama filem 'Penarek Becha' manakala Clint Eastwood mengarah dan menjadi pelakon utama filem 'Unforgiven'.

Perbezaannya ialah rumah yang bocor atap dalam 'Unforgiven' bukan rumah pelakon utama, tetapi rumah orang jahat filem ini. Karaktor jahat ini dilakonkan oleh Gene Hackman. Ia menjadi seorang Marshall kejam yang cuba membina rumahnya sendiri. Tetapi oleh kerana ia tidak pandai ilmu pertukangan, rumahnya dimasukki air bila hujan kerana atap bocor. Oleh itu atapnya bocor bukan kerana kemiskinan, tetapi kerana keegoannya sendiri.

Pada suatu hari seorang pembunuh upahan singgah di pekan Marshall ini diiringi dengan seorang penulis yang sedang menulis biografi pembunuh ini. Marshall ini kemudian membelasah pembunuh ini dan menghalaunya keluar. Tetapi dia menahan penulis tadi dengan tujuan menulis biografinya pula.

Di satu malam sedang Marshall ini memberi butir-butir biografi untuk ditulis oleh penulis barunya, hujan turun dengan lebatnya. Air mencurah turun kedalam rumahnya yang sedang dalam pembinaan, dari atap yang bocor.

Penulis tadi memberi komen "Tukang kayu rumah ini patut digantung (sampai mati)" tanpa menyedari orang yang dimaksudkan ialah tuan barunya. Apabila melihat muka Marshall berubah penulis tadi terus menukar topik kepada biografi yang ditulisnya. Kalau tidak dia juga mungkin kena dibelasah seperti tuan lamanya.

Di akhir cerita apabila ia hendak dibunuh oleh hero filem ini Marshall telah merayu dengan alasan dia tidak berhak mati kerana sedang membina rumah. Hero ini menjawab hak tidak kena mengena dalam hal ini dan terus melepaskan tembakan membunuhnya.

3 comments:

MAHAGURU58 said...

Assalamualaikum Abang Haji.

Sebenarnya hati saya terasa sedih melihat keadaan rumah Ong Chew Tee tersebut.

Teringat saya semasa hidup miskin dikampong. Rumah sewa kami beratap nipah.

Bila hujan lebat, tiris lah disana sini dan seperti Encik Ong, kami juga akan menadah bocoran bocoran air hujan itu dengan segala macam timba dan periok belanga.

Saya masih kanak kanak ketika itu dan tidak menganggap apa apa sebab memang lumrah kehidupan orang kampong miskin seperti kami melalui hari hari begitu.

Bagi penduduk kampong seperti kami, kekadang kami akan melihat jiran sekampong yang mengupah orang menukar atap nipah sebagai orang kaya. Kagum kami melihat atap nipah baru dibawa lori masuk kampong.

Yang tuanpunya rumah akan kelihatan mundar mandir mengarah kerja kerja tukang ganti atap dengan gaya sama serupa dengan watak Haji Bakhil dalam filem filem Allahyarham P.Ramlee.

Kami yang miskin ini selalunya melopong lah melihat sandiwara dunia tersebut.

Kini kenangan mengusik jiwa bila melihat Encik ong pula menghadapi bumbung atap zink nya yang bocor merata.

Sayu hati ini melihat kedaifan kehidupan sesama warga Malaysia ini.

Kenapakah tauke tauke kaya didalam negara kita tidak sedar akan kemiskinan yang mencengkam sebahagian warga negara ini dan turun membantu si miskin dengan harta melimpah ruah mereka?

Takkan luak harta berbilion ringgit mereka itu dengan menderma atap baru bagi simiskin seperti Encik Ong ini?

Anonymous said...

Rumah dalam gambar tu dibina sebelum merdeka kut.......sampai sekarang tak ada perubahan ...kesian atapnya bocor......tak minta bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat atau Pusat Zakat kalau betul2 miskinlah
Gimana pun `interesting' baca cerita tn haji

Muhd. Abd.

Maarof said...

Muhd. Abd.

Rumah itu tidak ada kena mengena dengan pos saya. Ia hanya gambar hiasan. Ghumah tu ghumah tingga di Jalan Jolobu, Soghomban.