Friday, April 30, 2010

Jiran - Bahagian 2.


Sebenarnya pos saya bertajuk 'Jiran' belum habis lagi. Entah macam mana saya tertekan butang 'Publish'. Tak apalah, saya sambung di sini.

Saya pernah menghadapi keadaan sama seperti di Sentul, Kuala Lumpur itu. Saya mempunyai seorang kawan berbangsa Cina bernama Leong. Kerjanya membaiki motosikal di rumah kedai kepunyaan abangnya. Abangnya menetap di Hong Kong tetapi sekali sekala balik ke Malaysia.

Apabila abangnya balik ke Malaysia, Leong berpindah ke rumahnya sendiri, tetapi datang setiap pagi untuk membuka kedai membaiki motosikalnya. Jika tidak Leong tinggal di rumah kedai abangnya. Anak-anak Leong pun bersekolah hampir dengan kedainya.

Lebih setahun yang lepas satu keluarga India menyewa sebuah rumah di belakang kedai Leong. Keluarga ini berpindah kerana rumah lama mereka sering dilanda banjir. Malangnya mereka membawa perangai buruk mereka membuang sampah merata-rata. Antara tempat mereka membuang sampah ialah kawasan lapang di antara rumah mereka dengan rumah Leong.

Leong kerap kali mengadu kepada saya mengenai masalah ini. Saya pernah bertanya kepada Leong mengapa dia sendiri tidak menegur jirannya. Leong menjawab tidak mahu bergaduh. Saya pun menyuruh orang bawah saya menyelesaikan masalah ini. Tetapi saya percaya orang bawah saya mencari jalan mudah dengan mengarahkan pekerja-pekerjanya membersihkan sampah tadi. Dia pun tak mahu bergaduh, agaknya.

Menyedari saya akan bersara tidak lama lagi Leong meminta saya supaya sendiri datang menyelesaikan masalahnya. Jika saya sudah bersara kepada siapa dia hendak mengadu, katanya.

Saya dapati aduan Leong memang benar dan saya terus berjumpa dengan isteri tuan rumah yang membuang sampah berkenaan. Rupa-rupanya seorang anak lelakinya yang belum sekolah membuang sampah di belakang rumah. Sampah yang lain dibuang di dalam tong sampah di hadapan rumah.

Saya sendiri meminta anak lelakinya memungut semula sampah yang sudah dibuang dan memintanya memindahkan ke tong sampah di hadapan rumah. Saya fikir dengan cara ini ia akan belajar membuang sampah dengan cara yang betul.

Selepas itu Leong tidak lagi mengadu. Saya fikir dia membuat keputusan yang bijak tidak menegur jirannya. Takut terjadi seperti di Sentul, Kuala Lumpur itu.

Memang benar kami sebagai pihak berkuasa kadang-kadang pening kepala melayan aduan antara jiran-jiran. Tetapi jika kami tak mencelah kejadian yang tidak diingini seperti di Sentul itu boleh terjadi.

No comments: