Saya ialah seorang pekerja kesihatan. Lebih tepat seorang pekerja kesihatan yang sudah bersara. Tetapi apa yang saya belajar mengenai nyamuk tidak bersara.
Sebenarnya semasa saya menjalani latihan kerja saya, di tahun-tahun 1969, 1970 dan 1971 demam denggi belum datang lagi ke Malaysia. Oleh itu saya belajar mengenainya dalam bentuk am sahaja, tidak secara menyeluruh. Saya lebih dilatih mengenai penyakit-penyakit lain seperti malaria, juga satu penyakit yang dibawa oleh nyamuk. Cuma nyamuknya berlainan sedikit. Malaria dibawa oleh nyamuk jenis Anopheles. Malah saya sendiri pernah dijangkiti malaria ini.
Kementerian Kesihatan di masa itu mempunyai satu program yang dinamakan 'Malaria Eradication Programme' atau MEP. Program itu sangat berkesan sehingga sekarang penyakit malaria boleh dikatakan sudah terhapus di Malaysia.
Setahu saya demam denggi datang ke Malaysia pada tahun 1973. Di masa itu saya baharu sahaja bekerja di Majlis Perbandaran Seremban, sebuah Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. Dari itu kawalan penyakit denggi menjadi tambahan kepada tugas-tugas saya.
Oleh kerana pengetahuan saya mengenai demam denggi cuma secara am sahaja, saya terpaksa membuka buku-buku dan membaca risalah-risalah mengenainya. Tetapi kerana saya sudah menjadi seorang pekerja kesihatan terlatih, tidak menjadi masalah bagi saya memahami selok belok penyakit baru ini.
Ada dua spesis nyamuk aedes pembawa denggi di Malaysia iaitu itu aedes aegypti dan aedes albopictus. Aedes aegypti biasanya membiak di dalam rumah di mana terdapat air jernih bertakung. Aedes albopictus pula membiak di luar rumah seperti dalam bekas-bekas buangan.
Demam denggi biasa atau 'Dengue Fever' (DF) dibawa oleh aedes albopictus sedangkan demam denggi berdarah atau 'Dengue Hemorrhagic Fever' (DHF) dibawa oleh aedes aegypti. Oleh itu jika benarlah Allahyarham Din Beramboi dijangkiti demam denggi berdarah ini bermakna dia telah digigit oleh SEEKOR NYAMUK yang biasanya membiak dalam rumah.
Pada mulanya agak susah juga bagi saya untuk meyakinkan tuan-tuan rumah bahawa rumah mereka menjadi tempat pembiakan nyamuk pembawa penyakit. Mereka sering menunjuk kepada longkang-longkang awam dan mengatakan terdapat beribu jentik-jentik nyamuk di situ, mengapa nak cari dalam rumah. Apa lagi tanggungjawab membersihkan longkang-longkang awam jatuh kepada jabatan saya sendiri.
Menjadi satu beban juga untuk menerangkan kepada mereka bahawa nyamuk yang membiak di longkang itu tidak merbahaya. Bagi mereka semua nyamuk serupa belaka.
Masalah saya ini ditambah lagi apabila ketua-ketua saya sendiri di pejabat tidak faham mengenai perbezaan tempat pembiakan nyamuk ini. Saya terpaksa mengambil beberapa sampel jentik-jentik dari longkang, bekas-bekas air di luar dan dalam rumah untuk menunjukkan perbezaannya. Itu pun dengan melihat melalui mikroskop yang dibeli khas oleh pejabat saya. Tetapi saya tidak dapat membawa mikroskop apabila keluar dari pejabat.
1 comment:
Tuan Haji,
Memang benar apa yang Tuan sebutkan dalam blog ini. Bapa saya dulu pun bekerja sebagai Anti-Malaria Inspector sehinggalah bersara dan pejabatnya yang terakhir ialah Pejabat Kesihatan Kuala Pilah.
Baru baru ini demam denggi begitu menjadi jadi diTaman Sri Telawi, khususnya deret rumah teres tempat mana Adek saya tinggal. Pejabat Kesihatan datang menyembur setiap rumah tidak kurang daripada 3 kali dalam bulan bulan yang lepas. Tapi sikap penduduk masih tak berubah dan menganggap demam denggi sebagai perkara biasa. Inilah yang dikatakan sikap lalai yang membahayakan.
Post a Comment