Monday, April 12, 2010

Hobin Jang Hobin. Pemenang atau Johan?




Baharu sahaja lima bulan pasukan bolasepak Negeri Sembilan memenangi Piala Malaysia, mereka memenangi satu lagi piala yang dinamakan Piala FA. Saya mengucapkan tahniah kepada mereka.
Saya telah menceritakan panjang lebar mengenai bolasepak Negeri Sembilan dalam pos saya 'Hobin Jang Hobin!' pada bulan November 2009. Oleh itu saya fikir tidak payah bercerita panjang lagi mengenai mereka.

Cuma saya tidak setuju kepada nama piala yang dimenangi kali ini. Dalam Bahasa Inggeris tentu ia disebut The FA Cup. Kalau tak salah saya FA di sini bermaksud Football Association. Tak tahulah saya jika ia bermaksud Fatimah Ahmad atau lain-lain.

Setahu saya juga dalam dunia ini ada satu badan sahaja yang menggunakan nama The FA atau The Football Association iaitu pihak berkuasa bolasepak di England. Pihak-pihak berkuasa lain dikehendaki meletakkan nama negara atau negeri sebelum atau selepas Football Association. Jadilah Football Association of Malaysia (FAM) untuk negara kita dan Negeri Sembilan Football Association (NSFA) untuk nogoghi se.

The FA Cup pula ialah nama ekslusif untuk piala pertandingan bolasepak kalah mati di England. Kebetulan di waktu yang sama Negeri Sembilan mengalahkan Kedah, pasukan Chelsea pula mengalahkan Aston Villa di separuh akhir atau semi-final pertandingan The FA Cup sebenar.

Negara-negara lain juga mempunyai pertandingan kalah mati mereka. Tetapi setahu saya tidak ada dari mereka yang memanggil piala yang ditandingi sebagai FA Cup.

Satu lagi saya juga tidak bersetuju pemenang Piala FA di Malaysia disebut 'Johan'. Sila lihat gambar di atas. Johan bermaksud 'Champions' dalam Bahasa Inggeris. Oleh kerana ini adalah satu perlawanan kalah mati pemenangnya patut dipanggil 'Pemenang' atau 'Winners' sahaja.

Tunggulah perlawanan akhir The FA Cup di England antara Chelsea dengan Portsmouth pada bulan Mei 2010 nanti. Saya pasti pihak media massa di England tidak menyebut pemenangnya sebagai 'Champions' tetapi 'Winners'.

No comments: