Saya tertarik kepada satu pos blog bertajuk 'Siapa pun boleh jadi Ustaz....' Kalau nak tahu lebih lanjut sila klik di sini. Sebenarnya saya sendiri ingin membuat pos yang lebih kurang serupa, tetapi asyik menangguhkannya supaya tidak menyinggung sesiapa. Tetapi oleh kerana seorang blogger telah berani menengahkan isu ini saya rasa ingin tumpang semangkuk. Kebetulan pula apa yang hendak saya ceritakan ini ialah pengalaman saya sendiri.
Jawatankuasa surau saya sering menjemput penceramah luar untuk memberikan ceramah di surau saya. Saya sebut 'penceramah luar' kerana taman perumahan saya juga mempunyai penceramah yang tidak kurang hebatnya. Tetapi terus terang saya nyatakan kehadiran saya di ceramah surau saya ini amat mendukacitakan. Bukan apa, saya suka belajar, tidak apalah apa yang dipelajari pun. Tetapi dari kebanyakan ceramah yang saya dengar jarang-jarang saya dapat mempelajari sesuatu yang saya belum tahu. Lebih baik saya duduk di rumah dan menonton National Geographic atau History Channel. Banyak yang saya pelajari di situ.
Di bulan Ramadan tahun lepas Jawatankuasa surau menjemput seorang yang memang tidak mempunyai tauliah sebagai Ustaz untuk memberi ceramah. Tidak payahlah saya sebutkan namanya, memadai saya beritahu beliau ialah seorang bekas pelakon dan pengarah filem.
Dia pun datang dengan berjubah putih dan berjanggut. Dia mulakan ceramahnya dengan mengaku sebelum ini jarang-jarang mengerjakan rukun Islam. Tetapi sekarang tidak lagi. Dia telah nampak jalan agama.
Dia pun terus mempersoalkan Pelembagaan negara kita dan itu jugalah topik ceramahnya. Katanya Perlembagaan kita tidak berasaskan Islam kerana dirangkanoleh orang bukan Islam. Sempat dia menyebut nama perangka Perlembagaan itu iaitu seorang berbangsa Inggeris bernama Lord Reid. Penceramah ini telah menyebut nama Lord Reid beberapa kali. Dia juga menyebut beberapa perkataan Inggeris seperti 'Good morning, Sir' dan 'Hello, Sir' seolah-olah dia sahaja yang tahu berbahasa Inggeris.
Sempat juga dia memberitahu 'Lord' itu satu panggilan bagi 'Tuhan' dalam bahasa Inggeris. Benar juga, contohnya 'Lord' dalam lagu 'My Sweet Lord' nyanyian George Harrison bermaksud 'Tuhan'.
Akhirnya dia menyebut kebimbangannya di Akhirat nanti. Dia bimbang orang Melayu Islam dari Malaysia bila ditanya 'Siapa tuhan kamu?' akan menjawab 'Lord Reid' dan bukan 'Allah Taala'.
Saya fikir tak sampai 5% dari hadirin di surau tahu siapa Lord Reid. Jika ada yang tahu pun tidak akan menyamakannya dengan Allah Taala. Mereka dan saya tahu menyamakan Allah Taala dengan apa-apa pun adalah perbuatan syirik. Bagi saya kalau ada pun sesiapa yang menyamakan Allah Taala dengan Lord Reid adalah penceramah sendiri.
Inilah akibat berceramah kerana tidak mempunyai tauliah. Oleh itu saya setuju sangat supaya pihakberkuasa agama di tiap-tiap negeri mewajibkan sesiapa yang hendah memberi ceramah di surau atau masjid mempunyai tauliah terlebih dahulu.
Untuk pengetahuan pembaca, Lord Reid atau nama sepenuhnya Lord William Reid ialah pengerusi kepada Suruhanjaya yang ditubuhkan untuk merangka Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebelum Merdeka dulu. Suruhanjaya ini yang dipanggil 'The Reid Commission' terdiri dari lima orang, termasuk dua orang hakim beragama Islam. Oleh itu jika sesiapa, termasuk penceramah tidak bertaliah itu tidak puas hati teradap apa yang dihasilkan oleh Suruhanjaya itu tidak bolehlah menyalahkan pengerusinya. Lebih-lebih lagi menyamakannya dengan Allah Taala.
2 comments:
Maarof
Memang senang untuk menuding jari kepada sesuatu perkara yang seseorang itu tidak perkenan atau tidak suka. Memang betul, bak kata mu tu, Reid yang jadi pengerusi suruhanjaya untuk merangka perlembagaan Tanah Persekutuan.
Saya rasa perlembagaan kita di perbaiki sedikit demi sedikit. Jangan lah di persalahkan orang dahulu kerana negara kita macam ini.... siapa tidah hendak... semua orang di negara ini menggunakan satu bahasa sahaja.... iaitu, Bahasa Melayu. Tetapi pemerintah berubah....tetapi apa yg dipersetujui semasa menuntut kemerdekaan itu tidak di ubah.
Bahasa Cina dan bahasa Tamil semakin 'berluasa'... bahasa Melayu di pinggirkan.
Berbalik kepada penceramah itu, memang betul sesiapa yg hendak memberi ceramah hendaklah ada tauliah.
Wallah hu aklam
wasalam
MA(B)
Posting menarik tuan haji. Saya nampak ke mana hala tuju penceramah yang tuan haji nukilkan tu. Bagi saya memang tak menambahkan ilmu pengetahuan kita kalau setakat kata perlembagaan skrg tidak Islamik tetapi tidak dihuraikan ciri2 perlembagaan yang Islamik.
Lebih menambah ilmu pengetahuan jika diterangkan bagaimana perlembagaan Islam itu didirikan. Contohnya peranan ahlul hallu wal a'qdu dan majlis tahkim. Barulah semua org dapat ilmu baru. Ni takat citer kutuk kerajaan tak Islamik serupa macam sembang kat kedai kopi. Tak yah bincang kat surau pun.
Post a Comment