Thursday, August 18, 2011

"Projek ini tidak berdaya maju"

Kebelakangan ini saya ada menyentuh mengenai Majlis Perbandaran Seremban (MPS) , iaitu jabatan saya dulu. Saya tidak bermaksud memburukkan tempat saya cari makan dulu. Tujuan saya ialah supaya setiap orang belajar dari kesilapan lampau.


Di pos saya sebelum ini saya ada menyebut Jalan Tan Tri Manickavasagam, Seremban yang telah ditukar dari nama asalnya Jalan Lobak. Walau pun sudah ditukar nama jalan utama, orang Seremban masih memanggil kawasan itu sebagai Lobak. Malah jalan-jalan kecil yang menyimpang dari jalan utama itu dipanggil Jalan Lobak 1, Jalan Lobak 2 dan seterusnya. Mungkin pentadbiran baru MPS menyedari kesilapan orang dulu-dulu dan cuba membetulkannya, walau pun tidak menyeluruh.

Tetapi ada satu kesilapan orang dulu-dulu yang tidak dapat dibetulkan. Kesilapan itu telah dibayar dengan wang rakyat berjuta ringgit. 

Di Lobak terdapat beberapa unit rumah pangsa empat tingkat yang biasa dipanggil Flet Lobak sahaja. Pada mulanya ia dijanji dimajukan oleh satu syarikat swasta dengan kerjasama MPS. Tapak asal ialah rumah-rumah kerajaan kelas bawahan yang didiami kebanyakannya oleh pekerja-pekerja bawahan MPS sendiri. Tujuan asal pembinaan rumah pangsa ialah supaya ia dibeli oleh penghuni rumah-rumah kerajaan ini. 

Sebagai langkah kediaman sementara beberapa unit rumah panjang telah dibina di padang Lobak untuk didiami oleh penghuni rumah-rumah kerajaan yang dirobohkan. Kebanyakan penghuni pula berbangsa India. Memang di masa itu majoriti pekerja MPS dari atas ke bawah berbangsa India. Pernah di satu ketika saya merupakan satu-satunya pegawai Melayu dalam kumpulan kerja saya.

Setelah rumah-rumah panjang dibina dan rumah-rumah kerajaan lama dirobohkan syarikat usahasama membuat satu keputusan yang mengejutkan. Mereka tidak mahu meneruskan projek rumah pangsa tersebut dan menyatakan hasrat mereka bukan sahaja kepada MPS tetapi kepada pihak akhbar. Bila ditanya oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengapa mereka bertindak demikian jawapannya ialah "This project is not viable" atau dalam bahasan Melayu "Projek ini tidak berdaya maju". 

Kenyataan itu telah menimbulkan kemarahan beberapa pegawai atasan MPS. Mereka yang sudah pasti kecewa dengan keputusan syarikat usaha sama sudah tentu lebih kecewa dengan kenyataan tersebut. Tetapi bagi saya yang bodoh ini syarikat tidak akan membuat kenyataan tanpa asas. Lembaga pengarah mereka terdiri dari ahli-ahli perniagaan yang setidak-tidaknya tahu akan untung rugi atau 'viability' satu-satu projek.

Tetapi pegawai-pegawai atasan MPS yang tidak tahu langsung mengenai selok belok perniagaan tidak bersetuju. Mereka menganggap projek rumah pangsa itu 'viable' atau berdaya maju dan meneruskannya. Disamping meneruskan projek, MPS juga dikehendaki membayar ganti rugi kepada syarikat yang telah membina rumah-rumah panjang dan merobohkan rumah-rumah kerajaan.

Akhirnya setelah semua unit siap dibina saya mendengar kenyataan dari seorang pegawai dari jabatan Kewangan Majlis "Masih banyak unit (rumah pangsa) yang belum terjual. Tetapi kalau MPS berjaya menjual semua unit pun kita akan rugi ....juta ringgit".

Kadang-kadang saya kesihan melihat pegawai-pegawai kerajaan ditangkap rasuah melibatkan wang berpuluh dan beratus ringgit. Sudah tentu mereka yang disabit kesalahan dibuang kerja setelah dipenjara dan didenda. Tetapi mereka yang menyebabkan kehilangan wang rakyat sehingga berjuta ringgit tidak dikenakan tindakan apa-apa.   
 

 





No comments: