Thursday, August 4, 2011

Bulan puasa yang cukup mencabar.

A,B,C dan D

Mungkin pembaca ada melihat label-label A, B, C atau D di premis-premis makanan di seluruh negara. Secara amnya label itu menunjukkan taraf kebersihan premis berkenaan. Sebenarnya usaha melahirkan label itu lahir di bulan puasa tahun 1973 atau lebih tepat lagi bulan Ramadan 1393 Hijri. Aku berbangga kerana aku sama-sama terlibat dalam usaha tersebut.


TIGA  BULAN LAGI NAK KAHWIN

Tiga bulan lebih lagi aku akan mendirikan rumahtangga, oleh itu aku pun meninggalkan rumah sewa yang yang aku kongsi dengan kawan-kawan yang sama bujang. Aku pun menyewa sebuah rumah sebagai persediaan menerima kedatangan bakal isteri ku.

Selepas hampir dua bulan tinggal seorang aku diarahkan menghadiri satu seminar di Kuala Lumpur yang berlangsung selama sebulan. Sebenarnya seorang kawan sekerja ku yang lebih senior sudah dicalonkan untuk seminar itu, tetapi tiba-tiba dia menerima cahaya mata beberapa hari sebelum tarikh jangkaan dan terpaksa memberi laluan. Aku diminta menggantikannya.


SEMINAR DALAM BULAN PUASA

Mula-mula berat juga aku menerima tawaran itu. Sebab pertama perkahwinan ku akan berlangsung enam minggu sahaja lagi. Sebab kedua seminar itu berjalan dalam bulan puasa. Akhirnya aku terima juga tawaran itu. Aku juga membuat keputusan berulang dari Seremban ke Kuala Lumpur dengan kereta Morris Mini ku. 

Seminar itu terpaksa diadakan di bulan Ramadan kerana mengikut jadual seorang pakar World Health Organisation (WHO) yang menjalankan seminar itu. Secara amnya seminar itu mengubah kaedah kami memeriksa premis-premis makanan dari memberi komen seperti 'tidak memuaskan,, 'memuaskan' dan 'baik' kepada yang terperinci dan memberi mata kepada setiap item. Kaedah ini kemudian diserapkan kepada korikulum latihan pegawai-pegawai kesihatan dan digunakan oleh Kementerian Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam tugas harian. Dari itu juga timbulnya label A.B, C dan D tersebut.


BERBINCANG MENGENAI MAKANAN SAMBIL BERPUASA

Sudah tentu seminar banyak membincangkan mengenai makanan. Bagi kami peserta seminar yang beragama Islam dan berpuasa ini cukup mencabar.  Ini ditambah lagi bila kami membuat latihan praktikal. Sudah tentu premis makanan Melayu ditutup di bulan puasa. Oleh itu praktikal dijalankan di premis makanan Cina, India dan Mamak di sekitar Kuala Lumpur. Melihat makanan di depan mata semasa berpuasa lagi mencabar. Ada aku lihat kawan-kawan ku yang beragama Islam berbuka sebelum waktunya. Tetapi aku tetap bersabar sebab sudah dilatih berpuasa dari kecil lagi.

Aku bertolak dari rumah selepas solat subuh dan sampai balik ke rumah apabila hampir berbuka. Selain berseminar aku juga memikirkan persiapan perkahwinan ku yang semakin hampir. Oleh itu setiap hujung minggu aku balik kampung ke rumah ibu ku untuk mengaturkan persiapan. 

Beberapi hari selepas tamat seminar bulan Syawal 1393 pun tiba dan aku menyambutnya di kampung. Pada 18 Shawal 1393 bersamaan 14 November 1973 aku melangsungkan perkahwinan dengan isteri kesayangan ku Salmah.


No comments: