Wednesday, August 3, 2011

"Rumah dia betul-betul depan surau ni"

Rumah depan surau.

Setelah tamat kursus kerja ku aku dihantar ke Kelantan. Mula-mula aku tinggal di pekan Bachok yang terletak di tepi Laut China Selatan. Selepas beberapa bulan ditukar pula ke pekan Pasir Puteh. Bagi sesiapa yang menaiki kereta dari Terengganu ke Kelantan pekan Pasir Puteh merupakan pekan pertama mereka tempuh jika dalam perjalanan ke Kota Baharu.

Di kedua-dua tempat aku tinggal di rumah kerajaan. Di Pasir Puteh rumah ku terletak paling hadapan dan hujung sebelah kiri kompleks tempat kerja ku. Di luar pagar sebelah kiri ku ialah rumah-rumah kampung dan di luar pagar di depan sana pula surau untuk kampung itu. Tetapi pada hakikatnya rumah aku merupakan rumah yang paling hampir dengan surau itu. 

Mungkin aku masih muda dan bujang, oleh itu aku tidak pernah menjejak kaki di surau itu. Tetapi apabila masuk bulan Ramadan aku merasa serba salah. Aku buang ego dan rasa rendah diri ku dan pergi ke surau itu untuk solat Isya' dan Tarawikh. 

Apabila aku masuk sahaja ke dalam surau semua mata memandang aku. Sudah tentu mereka hairan siapa aku. Aku pun berjabat salam dengan seramai jemaah surau yang boleh. Syukur juga ada seorang kakitangan ku yang tinggal di belakang rumah ku sudah berada dalam surau. Dari gerak gerinya aku dapat tahu dia sudah biasa dengan surau itu.  

Kakitangan ku ini bernama Mahmud, seorang pemandu. Mahmud juga merupakan orang pertama mengajar ku membawa kenderaan empat roda. Dia memandu sebuah Toyota Land Cruiser dan bila masuk ke kampung-kampung dia membenarkan aku memandu kenderaan pemacu empat roda atau 4WD itu. Sudah tentu ia satu kesalahan dan menjadi rahsia kami berdua sahaja. Pada waktu malam pula Mahmud sering datang ke rumah ku menonton TV yang merupakan satu barangan mewah di masa itu. 

Mahmud melayan aku di surau itu dan membuatkan aku hilang rasa segan dan silu. Dengan itu juga aku dapat bergaul dengan para jemaah dengan senang hati. Aku juga seboleh-bolehnya tidak mahu identiti aku diketahui.

Tiba-tiba seorang jemaah bertanya siapa aku. Sebelum sempat aku menjawab Mahmud telah memberitahunya aku siapa. Kemudian Mahmud menunjuk kearah rumah aku dan memberitahu itulah rumah aku, iaitu rumah yang paling hampir dengan surau mereka.


No comments: