Friday, August 12, 2011

Kenapa tukar?


Sering kita tengok nama-nama jalan ditukar. Tujuan utama ialah menggantikan nama-nama berbau penjajah kepada nama-nama tempatan. Kononnya negara kita sudah tidak dijajah lagi. Biasanya nama-nama jalan diberi kepada nama orang, jadi nama-nama penjajah pun ditukar kepada nama-nama orang tempatan, biasanya orang yang telah meninggal dunia. Tapi kadang-kadang pertukaran nama ini melucukan juga. Saya ambil pertukaran nama-nama jalan di Bandar Seremban sebagai contoh.

Siapa kata Majlis Perbandaran Seremban tidak bersikap perkauman? Jalan Lobak yang ramai orang India ditukar kepada Jalan Tan Sri Manickavasagam. Jalan Tembak yang ramai orang Cina ditukar kepada Jalan Han Hui Fong dan Jalan Channer yang dulu ramai orang Melayu tinggal ditukar kepada Jalan Dato' Siamang Gagap.

Di Jalan Channer dulu terdapat rumah-rumah kerajaan yang kebanyakan penghuninya orang Melayu. Sekarang rumah-rumah itu telah dirobohkan dan digantikan dengan satu kompleks perniagaan dan rumah-rumah kedai. Segelintir orang Melayu masih tinggal di Taman Cermai Jaya di jalan itu yang nama asalnya Taman Channer. Kenapa tak tukar nama taman itu kepada Taman Dato' Siamang Gagap?

Bercakap mengenai Lobak dan Tembak bukankah dua-duanya perkataan Melayu. Malah dulu terdapat satu Kampung Lobak di situ.  Kenapa mahu ditukar nama Melayu itu kepada nama bukan Melayu? Lagi mengelirukan jalan-jalan bercabang dari Jalan Tan Sri Manickavasagam (dulu Jalan Lobak) sekarang diberi nama Jalan Lobak 1, Jalan Lobak 2 dan seterusnya. Kenapa tidak Jalan Tan Sri Manickavasagam 1, 2 dan seterusnya.

Lobak ialah antara nama kawasan-kawasan di Seremban. Antara kawasan yang lain ialah Rahang, Rasah, Sikamat dan Temiang. Sudah tentu nama-nama itu nama Melayu dan sudah ada nama Jalan Rahang, Jalan Rasah, Jalan Sikamat dan Jalan Temiang. Tetapi Jalan Rahang telah menjadi mangsa pertukaran nama kepada Jalan Tuanku Antah sama seperti Lobak. Mujur juga nama-nama Jalan Sikamat, Jalan Temiang dan Jalan Rasah tidak ditukar.

Ada satu Jalan yang telah ditukar nama sebanyak dua kali. Jalan Tun Dr. Ismail iaitu jalan menghala ke utara dulu dipanggil Jalan Templer. Tetapi ramai orang tidak tahu sebelumnya ia dipanggil Jalan Setul. Plet 'Setul Road' masih terdapat di beberapa kedai lama di sebelah Toyota Motors. Itu sebabnya Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) memberi nama Persimpangan Setul kepada jalan keluarnya ke bandar Seremban. 

Orang-orang lama di kawasan itu masih memanggil tempat mereka sebagai 'Setul Road' dan bukan Jalan Tun Dr. Ismail. Orang-orang muda sedikit memanggil kawasan mereka sebagai 'Templer'. Jalan itu diberi nama mantan Timbalan Perdana Menteri itu kerana terdapat rumah pangsa bernama beliau di situ. Jika tidak ia sudah pasti diberi nama seorang Cina kerana kebanyakan penghuni kawasan ini berbangsa Cina. Sepatutnya Majlis Perbandaran Seremban mengembalikan nama Jalan Setul apabila menamakan semula Jalan Templer dahulu. 

Cadangan saya ialah mana-mana pihak berkuasa memikirkan segala fakta sebelum menukar nama-nama jalan. Jalan-jalan yang sudah mempunyai ciri-ciri tempatan seperti 'Tembak' tidak payahlah ditukar namanya. Juga jalan-jalan yang menamakan tempat seperti Sikamat dan Rasah.


3 comments:

Mshah said...

Brother Maarof,
Same thing happening to my home town Taiping. Maxwell Hill was renamed Bukit Larut and Port Weld was renamed Kuala Sepetang. I prefer the colonial names. We do not simply erase our history. The new name do not relate to anything. Probably the local manucipality never heard ob branding.

Abu Nu'man said...

Salaam tuan haji...

Setahu saya taman cengal utama agak jauh daripada jalan dato siamang gagap...ke ada dua taman cengal utama?

maarofkassim said...

Terima kasih, Abu. Sebenarnya Taman Cermai Jaya. Taman Cengal Utama di Paroi.