Friday, August 19, 2011

Berbuka puasa di hotel - sempat ke solat Maghrib?

Tahun ini saya telah berbuka puasa dua kali di restoran. Di kedua-dua kali saya terpaksa tergesa-gesa balik ke rumah untuk solat Maghrib dan lepas itu tergesa-gesa pula ke surau untuk solat Isya' dan seterusnya solat Tarawikh. 

Terfikir oleh saya makanan di restoran terhad, tetapi makanan di hotel tidak. Menimbun kata orang Negeri Sembilan. Dengan bayaran yang mahal sudah tentu sesiapa yang berbuka puasa di hotel ingin menelan semua makanan yang terhidang selagi boleh. Mereka juga akan menggunakan segala masa yang ada untuk tujuan tersebut.

Memang pihak hotel menyediakan surau. Tetapi dari pengalaman saya berseminar di hotel-hotel dulu saya tahu surau-surau di hotel tidak sebesar mana. Cuma berpuluh orang boleh bersolat di satu masa. Sudah tentu ia tidak boleh menampung beratus dan mungkin beribu pelanggan yang berbuka puasa di restoran atau 'coffee house' mereka.  

Tetapi yang penting pelanggan sendiri. Kebanyakan kita takut untuk meninggalkan meja makan kita kerana takut pekerja-pekerja hotel akan membersihkannya. Kita juga takut meninggalkan tempat makan untuk bersolat kerana takut makanan yang ada dikebas orang. Kita lebih takut akan perkara-perkara ini dari kita takut kepada Allah kerana tidak sempat bersolat.

Dari kecil kita diajar tentang perkara-perkara yang dilarang kita lakukan semasa berpuasa. Jarang-jarang kita dengar tentang larangan semasa berbuka puasa. Kita semua tahu permulaan Maghrib ialah waktu untuk berbuka puasa, sedangkan waktu untuk solat Maghrib adalah yang terpendek dari solat lima waktu yang lain. Mungkin ada hikmah kenapa Allah mengaturnya demikian.   

Ada juga acara berbuka puasa di hotel ini ditaja oleh pihak-pihak korporat dan kilang-kilang. Sudah tentu bukan orang Melayu Islam sahaja yang berbuka puasa. Boss-boss dan pekerja-pekerja yang bukan Islam pun turut 'berbuka puasa' sama. Sudah tentu mereka memerhatikan gelagat kita. Lebih-lebih lagi orang Melayu termasuk saya tidak akan melepaskan peluang untuk makan percuma. 

Oleh itu tidak hairanlah jika ada orang Melayu rela diundang berbuka puasa di gereja.

No comments: