Wednesday, May 18, 2011

Lain dicari lain terjumpa - Bahagian 2 (Berjumpa juga akhirnya)


Raja Chulan dan saya. Baru saya ingat nama-nama kami terdapat di dua Jalan di Kuala Lumpur.

Walau pun saya sedikit kecewa tidak berjumpa dengan kawan lama saya pada hari Ahad 15 Mei 2011 yang lepas seperti dijanjikan, naluri saya berkata dia akan muncul menemui saya.

Sedang saya memasang tayar 'wheelbarrow' yang sudah ditampal (sila lihat pos sebelum ini) saya mendapat panggilan telefon darinya. Dia sekarang berada di Seremban, katanya dan ingin berjumpa dengan saya. Lebih tepat dia menunggu saya di satu restoran makanan segera di Senawang.

Saya pun meninggalkan kerja saya untuk menemuinya. Saya memilih untuk pergi dengan kereta Waja saya kerana terfikir kami mungkin akan ke mana-mana selepas itu. 

Tiba-tiba di tengah jalan saya merasa 'air-con' kereta saya tidak sejuk seperti biasa. Kemudian meter kereta menunjukkan suhu enjin sedang naik. Saya panik seketika dan menghubungi kawan saya di kedainya di Jalan Zaaba. Saya meninggalkan kereta di situ dan memintanya menghantar saya ke Senawang.

Sudah tentu banyak cerita-cerita lama yang kami bincangkan. Raja Chulan (nama kawan saya) juga menceritakan pengalamannya berjumpa dengan kawan-kawan lama kami di utara dan selatan tanah air baru-baru ini. Laman 'buku muka' yang sebelum ini menghubungkan kami juga menolongnya untuk berjumpa dengan kawan-kawan kami itu.

Restoran pertemuan kami ini juga mengingatkan saya satu peristiwa beberapa tahun yang lalu. Saya yang semasa itu bekerja di Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sedang membuat operasi bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menutup premis-premis makanan yang kotor. Saya ditugaskan bersama-sama dengan seorang Pegawai Kesihatan dari JKN yang juga seorang doktor.

Setelah menutup beberapa restoran di Dataran Senawang yang tidak mematuhi syarat doktor ini mengajak saya pergi ke restoran makanan segera ini. Saya tidak menjangka apa-apa tindakan akan dikenakan kerana restoran ini mempunyai sistem kawalan mutu tersendiri. Tetapi saya terperanjat apabila doktor ini mengarahkan restoran ini juga ditutup. 

Alasan doktor ini ialah pengguna membayar harga yang tinggi di restoran ini. Oleh itu taraf kebersihannya hendaklah tinggi juga, bukan setakat mematuhi syarat. Saya kagum dengan sikap doktor ini kerana sikap ini belum saya temui sebelum ini.

Setelah menyelidik barulah saya tahu doktor ini dulu belajar di sekolah yang sama dengan saya dan Raja Chulan. Cuma kami tidak berjumpa di sekolah kerana dia junior beberapa tahun dari kami. Mungkin disiplin  di sekolah asrama penuh seperti sekolah kami itu mendorongnya membuat keputusan berani tersebut.

Kami tidak boleh tinggal lama di restoran itu kerana hari itu hari cuti dan ramai pelanggan menunggu. Saya menaikki kereta Raja Chulan untuk ke pergi kereta saya. Kereta saya tidak apa-apa, cuma air di radiator kurang.

No comments: