Kawan lama (bersongkok) yang terjumpa secara tidak disangka.
Aku ada seorang kawan sekolah yang terpisah sejak tahun 1967 atau 43 tahun yang lalu. Kawanku ini seorang kerabat Diraja di satu negeri di utara sana. Di negeri itu jugalah kami sama-sama bersekolah dulu.
Melalui laman kawan-kawan yang bermakna 'buku muka' aku telah terjumpa namanya dan seterusnya memohon menjadi kawannya. Alangkah gembiranya aku bila dia menerimaku menjadi kawannya semula. Rupa-rupa dia sekarang menetap di Kuala Lumpur, oleh itu dekatlah dengan aku.
Aku pun mengenalkannya kepada kawan-kawan kami yang lain. Kawan ku ini bukan sahaja berkawan semula dengan kawan-kawan yang aku kenalkan, tetapi berusaha mencari mereka. Dia pun pergi ke Melaka, Muar, Desaru, Segamat dan Pulau Pinang untuk berjumpa sendiri dengan kawan-kawan yang lama terpisah itu. Tapi aku yang dekat di Seremban ini tidak dikunjunginya.
Dari itu aku terfikir mengapa tidak aku sendiri berjumpanya. Aku pun selalu pergi ke Lembah Kelang. Aku boleh pilih antara dua lebuhraya untuk pergi ke sana. Beruntung orang Negeri Sembilan mempunyai dua lebuhraya. Oh tiga, jika dikira lebuhraya Seremban - Port Dickson.
Aku pun memilih untuk berjumpa kawan ku ini pada Hari Ahad 15 Mei 2011 yang lepas. Malamnya aku, isteri dan anak-anak dijemput untuk majlis perkahwinan anak kepada abang biras ku di satu dewan di Kuala Lumpur. Aku pun membuat rancangan meletakkan isteri dan anak-anak ku di rumah seorang lagi biras ku sambil aku berjumpa dengan kawan lama ku.
Aku pun menghubungi kawan lama ini melalui 'buku muka' dan telefon dan kami bersetuju untuk berjumpa. Tetapi semasa aku tengah bersiap-siap hendak bergerak dari rumah dia menalipon mengatakan besar kemungkinan tidak dapat berjumpa aku kerana ada sesuatu yang timbul di saat akhir.
Aku pun meneruskan perjalanan dan menunggu panggilan darinya. Sehinggalah aku bergerak ke dewan majlis perkahwinan itu dia tidak menalipon aku. Dari itu juga aku terfikir tidak akan dapat berjumpa kawan aku pada hari ini.
Semasa aku hendak duduk di meja yang dikhaskan untuk aku dan keluarga aku melihat seorang lelaki merenung aku dan menyebut nama ku. Aku pun bertanya siapa dia dan bagaimana dia mengenali ku. Dia menjawab melihat profile aku di 'buku muka', Kebetulan dia pun bersekolah di sekolah yang sama dengan ku, cuma dia lebih junior dan kami tidak pernah berjumpa.
Kemudian dia memperkenalkan pula seorang kawannya yang hanya junior satu tahun dari ku di sekolah. Sudah tentu aku mengenalinya.
Jadi aku tidaklah kecewa pada hari itu. Aku hendak berjumpa dengan seorang kawan lama, kawan lain pula yang terjumpa.
Jadi aku tidaklah kecewa pada hari itu. Aku hendak berjumpa dengan seorang kawan lama, kawan lain pula yang terjumpa.
No comments:
Post a Comment