Ada seorang kawan facebook saya bertanya perlukah kita memasang penapis air di rumah kita? Saya ada melihat satu rancangan TV semasa saya berada di Jepun pada tahun 2004 yang melibatkan penapis air. Seorang pengguna telah membeli peti sejuk yang mempunyai kemudahan 'ice-maker' atau pembuat air batu. Ia berbeza dengan air batu yang biasa terjadi apabila kita melatakkan air mentah ke dalam 'freezer'.
Pengguna ini juga mempunyai penapis air di rumahnya. Dari itu dia mengambil air yang sudah ditapis dan memasukkan kedalam 'ice-maker' peti sejuknya. Dia kemudian terperanjat apabila mendapati air batu yang dihasilkan oleh 'ice-maker' peti sejuknya mengandungi kulat atau 'mould'. Sudah tentu dia pergi ke kedai di mana dia membeli peti sejuknya dan membuat aduan.
Pihak kedai terus menghubungi pembuat peti sejuk ini yang sudah tentu dibuat di Jepun atau 'Made in Japan'. Pihak pengilang datang berjumpa dengan pengguna dan bertanya adakah air yang dimasukkan ke dalam 'ice-maker' itu ditapis? Pengguna menjawab 'Ya' atau 'Hai' dalam bahasa Jepun.
Pengilang peti sejuk menerangkan itulah silapnya. Dia menunjukkan 'manual' peti sejuk berkenaan yang menerangkan dengan jelas bahawa air untuk membuat air batu hendaklah air yang diambil terus dari paip air tanpa ditapis. Pengguna pun hairan dan berkata sepatutnya air yang ditapis lebih baik.
Kemudian pengilang menerangkan air yang datang melalui paip air mengandungi klorin yang sudah membunuh kuman dan kulat dan akan terus menghalang kuman dan kulat untuk mencemarnya. Air yang ditapis sudah hilang klorinnya dan ini membuatkan air itu terdedah kepada pencemaran kuman dan kulat. Pengguna masih keliru dan tidak percaya..
Untuk meyakinkan pengguna tadi pengilang telah mengambil dua sampel air dari rumah pengguna. Satu sampel mengandungi air terus dari paip tanpa ditapis. Satu sampel lagi mengandungi air paip yang sudah ditapis. Kedua-dua sampel dimasukkan ke dalam gelas-gelas berasingan dan disimpan dengan cuaca bilik atau 'room temperature' di dalam almari yang boleh dimasuki udara biasa di rumah pengguna.
Beberapa hari kemudian pengilang datang mengunjungi pengguna dan memohon melihat hasil eksperimennya. Pengguna pun membuka almarinya dan terperanjat melihat hasilnya. Air yang diambil terus dari paip cerah seperti biasa sedangkan air yang ditapis mengandungi kulat atau 'mould'.
Sebenarnya saya sendiri mempunyai penapis air di rumah. Sepulangnya saya dari Jepun saya pun membuat eksperimen yang serupa. Tetapi lepas beberapa hari kedua-dua sampel air tidak berubah. Tiada kulat yang timbul.
Mungkin keadaan di Jepun berbeza dari Malaysia. Contohnya di sana ada gempa bumi dan tsunami sedangkan kita tiada.
1 comment:
mungkin keadaan cuaca juga memainkan peranan....????..
Post a Comment