Monday, May 2, 2011

Hujung minggu yang malang bagi orang Islam.

Sedang saya terhibur melihat perkahwinan Putera William dengan wanita pilihannya Kate Middleton satu peristiwa yang memalukan sedang berlaku di satu masjid di Kuala Lumpur. Satu kumpulan orang Islam sedang cuba hendak membuat apa yang disebut 'Sumpah Laknat'. Satu kumpulan orang Islam juga pula cuba untuk menghalangnya.

Terus terang saya nyatakan saya tidak tahu apa itu 'Sumpah Laknat' kerana saya tidak pernah melakukannya. Tetapi jika ada kumpulan yang cuba menghalangnya dari dilakukan sudah pasti ada persoalan sama ada ia boleh atau tidak diadakan. Apa yang menjadi persoalan saya ialah kenapa kita menghalang atau membetulkan satu kesalahan dengan membuat kesalahan juga?

Beberapa minggu lepas Imam surau saya dalam ceramahnya mempersoalkan kenapa ada orang membantah apabila ada pihak menyebut 'Takbir' yang diikuti dengan sebutan 'Allahu Akbar' beberapa kali. Apa yang saya baca ialah bantahan ini timbul kerana sebutan 'Takbir' yang diikuti dengan 'Allahu Akbar' dilakukan setelah ada perbuatan maki hamun dan sebagainya. Oleh kerana saya tidak pernah melihat sebutan 'Takbir' yang diikuti dengan sebutan 'Allahu Akbar' ini di depan mata saya sendiri, saya tidak mahu memberi komen tentang perkara yang dibangkitkan oleh Imam tersebut.

Kebetulan seorang blogger telah memasukkan video apa yang berlaku di masjid di Kuala Lumpur itu. Dari itu saya fahamlan mengapa ada pihak yang membantah sebutan 'Takbir' yang diikuti dengan sebutan "Allahu Akbar' beramai-ramai.

Satu kumpulan menjerit-jerit dan menolak-nolak di dalam masjid di mana 'Sumpah Laknat' hendak diadakan.  Kemudian mereka menjulang seorang dari mereka seperti menjulang seorang yang menang dalam pilihanraya. Agaknya yang dijulang tidak pernah merasa dijulang di pusat penjumlahan undi, oleh itu memadai beliau dijulang di dalam masjid. Setahu saya orang yang biasa dijulang di dalam masjid ialah jenazah untuk disembahyangkan, bukan orang hidup. Kemudian kumpulan ini menyebut 'Allahu Akbar' dan 'LailahaillAllah' beberapa kali di tempat yang sama..

Semalam saya terbaca di internet berita anak Muammar Gaddafi serta tiga orang cucunya yang sudah tentu beragama Islam terbunuh setelah dibom oleh pihak NATO. Pengebom sebenarnya hendak membunuh Gaddafi setelah mendapat maklumat di mana beliau berada. Sudah tentu pemberi maklumat ialah orang Islam sendiri. Tidak payahlah saya menerangkan siapa Muammar Gaddafi.

Belum habis berita kematian anak dan cucu Muammar Gaddafi kita digemparkan pula dengan kematian seorang lagi yang beragama Islam juga. Kali ini yang mati ialah Osama bin Ladin, seorang Islam berasal dari negara Islam Saudi Arabia. Beliau dibunuh oleh tentera bukan Islam Amerika Syarikat di satu lagi negara Islam iaitu Pakistan. Tentera Amerika (yang juga menjadi sebahagian dari tentera NATO yang membunuh anak dan cucu Muammar Gaddafi) sudah tentu tidak dapat membunuh Osama tanpa pertolongan orang Islam sendiri. Juga tidak payahlah saya terangkan siapa Osama bin Ladin.

Cuma saya hendak memberitahu orang Islam tidak akan jatuh jika tidak kerana orang Islam sendiri.

No comments: