Banyak perkara yang saya belajar selepas saya bersara. Saya menumpukan banyak masa kepada tanaman di sekeliling rumah saya. Isteri saya Salmah suka menanam bunga sedangkan saya pula suka kepada tanaman untuk makanan.
Dalam pada itu banyak perkara yang saya belajar, contohnya apabila menanam anak pisang. Pernah saya panik apabila anak pisang yang saya beli tidak naik-naik dan terus 'mati'. Rupa-rupa tunas baru timbul ditepi anak pisang utama yang 'mati' itu.
Saya telah lama menanam cili api sehingga saya boleh mengaku menjadi pakar dalam bidang ini. Baru-baru ini saya cuba menanam cili panjang. Isteri saya menyemai benih dari buah cili panjang yang dibeli di pasar. Saya kecewa pada mulanya apabila melihat cili panjang ini berhenti berbunga setelah menghasilkan kumpulan buah pertama. Sedangkan cili api tetap berbunga walau pun buahnya belum dipetik.
Kemudian saya perhatikan apabila semua buah cili panjang dipetik barulah dia berbunga semula. Seolah ia berbunga mengikut musim seperti buah-buahan durian dan mangga. Saya tidak tahu sama ada ini hanya terjadi kepada cili panjang saya.
Jambu air yang saya tanam menghadapi masalah daunnya diserang oleh ulat. Saya perhatikan ada dua jenis ulat yang menyerang. Pertama ulat kecil yang memakan daun dewasa. Ia seolah-olah menetas dari telur yang dimasukkan kedalam daun. Akibatnya daun yang terlibat mengelumbung dan rosak. Ulat ini terlalu kecil untuk dipandang oleh mata kasar.
Ulat kedua memakan daun muda. Tetapi saya belum pernah melihatnya sedang memakan daun. Agaknya penyamaran atau 'camouflage' mereka sangat baik sehingga memperdayakan saya. Saya hanya dapat melihatnya apabila ia hendak menjadi kepompong. Panjangnya sehingga 2 cm. dan ia melipat daun untuk berehat di dalam lipatan yang dibinanya sendiri. Ia kemudian bertukar menjadi kepompong dalam proses dipanggil 'metamorposis'. Sebenarnya di peringkat ini ia sudah berhenti merosakkan daun jambu air saya. Tetapi saya tetap menghapuskannya untuk menghalang ia menjadi rama-rama dewasa.
Pagi semalam saya melihat beberapa serangga terbang berukuran 2 mm sedang menyucuk daun muda jambu air saya. Fahamlah saya ia sedang memasukkan telurnya ke dalam daun berkenaan. Inilah jenis serangga yang menghasilkan ulat pertama seperti yang saya ceritakan di atas.
Saya pun mengambil penyembur serangga yang berasaskan air atau 'water-based' dan menyembur serangga dewasa yang sedang bertelur itu. Disamping itu saya perhatikan beberapa rama-rama kecil sedang berlegar, juga dengan tujuan meninggalkan telur mereka di pokok jambu air saya.
Tiba-tiba saya perhatikan beberapa ulat jenis kedua keluar dari tempat persembunyian mereka dan mengelupur di atas beberapa daun. Apa lagi, saya pun terus menyembur keseluruh pokok jambu air saya. Tiba-tiba ulat-ulat lain yang selama ini cukup pandai menyamar keluar mendedahkan diri mereka. Tindakan saya seterusnya tidak payahlah saya ceritakan.
No comments:
Post a Comment