Monday, April 24, 2017

Kalau hendak membebek carilah kandang kambing.



'Bila ke kandang kerbau menguak, bila ke kandang kambing membebek'. Itulah satu peribahasa Melayu yang tidak kedengaran lagi sekarang. Maksudnya bila kita pergi ke mana-mana tempat berbahasalah bagaimana orang di situ bercakap. Contohnya saya yang berasal dari Negeri Sembilan berloghat Kelantanlah semasa saya bekerja di sana dahulu. Dalam hal ini saya tidak menghadapi masalah untuk 'menguak atau membebek' kerana saya sudah faham loghat Kelantan semasa bersekolah menengah di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) dahulu.

Cuma saya perhatikan susah bagi orang Kelantan untuk 'menguak atau membebek' di tempat lain. Contohnya di taman perumahan saya ini ada beberapa orang Kelantan. Saya terpaksa bercakap loghat Kelantan bila berdepan dengan mereka. 

Kenapa saya kata peribahasa itu tidak kedengaran lagi? Kerana sekarang kita jarang-jarang melihat kandang kerbau dan kambing. Mungkin pengacara TV Azizul Ammar Abu Hassan juga tidak pernah melihat kandang kerbau atau kambing. Itulah sebab agaknya dia 'membebek' di kandang yang salah. Dia telah 'membebek' di dalam studio TV. Sama ada secara 'live' atau tidak saya kurang pasti. 

Malangnya bagi Azizul dia 'membebek' dengan tujuan menyidir nama seorang. Malah Azizul sempat berlagak seperti seekor kambing bila dia 'membebek'. Ini sudah tentu menimbulkan kemarahan kepada mana-mana ahli keluarga yang disindir dan melihat program TV itu. Kebetulan seorang dari ahli keluarga itu ahli sukan negara yang terkenal.  

Azizul sudah meminta maaf, tetapi ahli sukan itu tidak menerima permohonan maafnya. Saya setuju dengan ahli sukan itu. Nama keluarga bukanlah satu perkara yang boleh dianggap lucu. Saya sendiri tidak akan memaafkan sesiapa yang menyindir nama keluarga saya. 

Nasihat saya kepada Azizul ialah 'Kalau hendak membebek, carilah kandang kambing'.

Sekian.

No comments: