Arwah nenek saya dulu pernah berkata jika orang mencaci kita, janganlah kita mencaci balik. Katanya lagi apa cacian yang dilemparkan kepada kita mencerminkan si pencaci itu sendiri. Saya menjadi anak yatim semenjak berumur tiga tahun. Semasa kecil saya memang nakal dan ini membuatkan saya sering dicaci oleh jiran-jiran. Mereka mempunyai alasan semula jadi untuk mencaci saya, iaitu saya tidak mempunyai seorang ayah yang boleh mengajar saya.
Cacian itu akirnya berkurangan kerana ternyata saya seorang yang cerdik juga. Di sekolah saya dapat mengalahkan anak-anak kepada pencaci saya di bidang pelajaran. Ada seorang guru kami yang suka melepaskan anak-anak muridnya balik awal seorang lepas seorang dengan syarat kami dapat menjawab soalan-soalan amnya. Dia akan bermula dari soalan paling susah sehingga yang paling senang.
Biasanya sayalah yang pertama balik awal. Satu hari saya melintasi rumah seorang jiran yang pernah mencaci saya dan dia bertanya kenapa saya sudah balik sekolah sedangkan anaknya belum. Saya terus menjawab anaknya tidak dapat menjawab soalan cikgu. Saya seperti dapat membalas dendam apabila menjawab begitu.
Tetapi membalas dendam bila orang mencaci kita bukanlah tindakan terbaik. Setahu saya Nabi Muhammad dulu tidak pernah membalas dendam kepada sesiapa yang mencaci atau menghina Baginda.
Perkataan Baginda menunjukkan orang Melayu kaya dengan budi bahasa. Kita tidak boleh membahasakan orang kedua dan ketiga sebagai 'awak' dan 'dia' sewenang-wenangnya. Contohnya seorang yang sudah menunaikan Haji kita panggil Tuan Haji atau Haji sahaja untuk yang lelaki dan Hajjah untuk yang perempuan.
Tiga hari lepas saya ke menjadi tetamu kepada seorang pembesar negeri Negeri Sembilan iaitu Undang Luak Jelebu. Bila saya balik ke rumah dan ingin menceritakan perjumpaan saya dengannya di blog ini kelam kabut juga saya untuk mendapatkan gelaran orang ketiga untuknya. Akhirnya saya diberitahu gelaran orang ketiga untuk seorang Undang Luak ialah Yang Teramat Mulia dan singkatannya YTM. Memanggilnya sebagai orang kedua memadai dengan sebutan Datuk sahaja.
Begitu juga ahli-ahli dewan negeri, dewan rakyat dan dewan negara kita dipanggil Yang Berhormat atau YB. Saya masih ingat di satu operasi jabatan saya dulu apabila seorang YB masuk campur. Seorang anggota polis yang tidak mengenalinya cuba menariknya ketepi dan YB ini terus menjerit "Saya Ahli Yang Berhormat, awak kena hormat sama saya". Walau apa pun parti yang diwakilinya ia tetap seorang Yang Berhormat.
Walau pun panggilan khas kepada orang-orang tertentu ini boleh membosankan terutama di upacara-upacara rasmi ia sebenarnya melambangkan kekayaan budaya kita. Di tempat lain juga apa kurangnya. Sehinggakan ada satu lagu The Beatles yang bertajuk 'Her Majesty'.
Tetapi bagaimana pula jika seorang Yang Berhormat mencaci seorang YB lain dengan perkataan 'Haram Jadah?'. Ini mengingatkan saya satu adegan di filem The Godfather Part III. Seorang kawan Godfather sering mencaci Godfather di belakangnya. Di satu hari Godfather memanggil kawannya dan berkata seorang yang mencacinya di belakang tidak layak menjadi kawannya kerana ia setaraf dengan anjing. Kawannya itu bersetuju, tetapi Godfather dapat membaca pengkhianatannya dan ia dibunuh.
Jadi seorang yang memanggil orang lain 'Haram Jadah', dialah si 'Haram Jadah' sebenarnya.
No comments:
Post a Comment