Tuesday, March 15, 2016

Lain kali jangan letak kereta menghalang orang!

Kereta-kereta dilanyak oleh sebuah lori berat berhampiran Stadium Hang Jebat, Melaka.

KES PERTAMA:

Berpuluh tahun yang lalu di masa masih bekerja, saya dan beberapa orang kawan se pejabat telah pergi ke Stadium Shah Alam, Selangor untuk melihat perlawanan bolasepak di antara Selangor dengan Negeri Sembilan. Kami tiba agak awal dan saya dapat meletak kereta hampir dengan stadium.

Tetapi alangkah terkejut saya apabila hendak balik bila mendapati kereta saya dihalang oleh kereta-kereta lain sedangkan tempat kereta masih banyak yang kosong di pinggir stadium. Saya terus berfikir kalaulah kereta saya itu sebuah lori saya akan langgar sahaja kereta-kereta yang menghalang kereta saya itu. 

Saya hanya dapat keluar setelah hampir satu jam menunggu kereta-kereta yang menghalang itu bersedar.  


KES KEDUA:

Kejadian berlaku di perlawanan bolasepak juga. Kali ini berhampiran Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Negeri Sembilan. Saya tidak pasti Negeri Sembilan sebagai tuan rumah melawan siapa. Yang pasti stadium penuh dan seperti biasa jalan-jalan di sekitar kawasan perumahan Taman Paroi Jaya digunakan sebagai tempat letak kereta. Saya merupakan salah seorang penghuni taman perumahan itu.

Jika kereta diletak tidak menghalang tak apa juga, Malangnya di saat-saat akhir mereka yang tidak mahu meletak kereta jauh dari stadium seperti di Shah Alam meletak kereta mereka betul-betul di depan rumah kami. Ini bermakna kami terperangkap dalam rumah sendiri untuk beberapa jam. Saya juga berfikir jika saya mempunyai sebuah lori saya ingin langgar sahaja kereta yang menghalang rumh saya itu.   

Rupa-rupanya berhampiran Stadium Hang Jebat, Melaka baru-baru ini ada seorang pemandu lori bukan sahaja berfikir seperti saya, tetapi membuktikannya. Dia telah melanyak lebih kurang 20 buah kenderaan yang menghalang laluannya yang sah.

Kepada pemandu lori itu saya ucapkan tahniah. Kepada tuan punya dan pemandu kereta-kereta yang dilanggar nasihat saya 'Lain kali jangan letak kereta menghalang laluan!'.

No comments: