Thursday, March 10, 2016

Bila musuh menjadi kawan.



Di bulan November tahun 1999 saya singgah di rumah keluarga isteri saya di Merlimau Melaka dalam perjalanan balik selepas bercuti di Johor. Di masa itu negara sedang menghadapi Pilihanraya Umum (PRU) ke-10. Dalam perjalanan di negeri Johor anak-anak perempuan saya memberi komen tentang kurangnya bendera dan poster parti-parti bukan Barisan Nasional. (Anak lelaki saya Halimi sudah berkahwin, oleh itu tidak mengikuti kami). Saya nyatakan negeri Johor memang kubu kuat Barisan Nasional. 

Ini berlainan apabila kami masuk ke negeri Melaka. Malah di depan rumah keluarga isteri saya itu terpampang besar satu bendera PAS. Yang peliknya walaupun Negeri Melaka dan Merlimau  menjadi kubu kuat Barisan Nasional sekurang-kurangnya di masa itu, keluarga isteri saya terkenal sebagai penyokong parti pembangkang. Sehinggakan saya, isteri saya dan seorang adik ipar perempuan saya menjadi serba salah dibuatnya.

Sudah tentu juga di rumah kampung itu terdapat risalah parti-parti pembangkang yang bersatu di bawah badan yang dipanggil Barisan Alternatif. Saya pun mengambil salah satu risalah itu dan menulis 'YOUR ENEMY'S ENEMY IS YOUR FRIEND'  dan menunjukkan dengan panah kepada gambar-gambar pemimpin mereka dalam risalah itu.

Seorang saudara saya ternampak tulisan saya dan sudah tentu tidak senang hati. Dia pun mengambil satu risalah yang mengandungi tulisan dari Anwar Ibrahim dan meminta saya baca. Saya tidak baca kerana saya sudah tahu siapa Anwar Ibrahim sebenarnya. 

Yang peliknya semasa dalam UMNO, Anwar Ibrahim menjadi bahan ejekan kepada saudara-saudara saya ini dalam perbualan mereka. Sekarang bila dia tidak lagi menjadi ahli UMNO dan kemudian menjadi ketua tidak rasmi Barisan Alternatif orang-orang yang sama menerima bulat-bulat tulisan-tulisan Anwar Ibrahim. Orang yang dulu menjadi musuh sekarang menjadi kawan kerana teori 'YOUR ENEMY'S ENEMY IS YOUR FRIEND'. Minta maaflah saya nak membaca tulisan Anwar Ibrahim itu.

Oh ya, dalam kes Barisan Alternatif ini 'ENEMY' pertama mereka ialah Dr. Mahathir Mohamad.

Cubaan Barisan Alternatif untuk menjadi barisan yang alternatif kepada Barisan Nasional di PRU ke-10 tidak berjaya dan selepas itu mereka berpecah. Saya percaya mereka pecah kerana timbul tuduh menuduh antara 'FRIENDS'.

Di PRU ke-11 tahun 2004 tidak ada pakatan antara 'ENEMY'S ENEMY' ini. Itu menjadi salah satu sebab Barisan Nasional menang dengan cemerlang di bawah Abdullah Ahmad Badawi.

Di PRU ke-12 tahun 2008 Barisan Alternatif bertukar nama kepada Pakatan Rakyat, juga atas teori 'YOUR ENEMY'S ENEMY IS YOUR FRIEND'. Tetapi saya tidak perlu menulis tema itu di mana-mana. Kali ini pula 'ENEMY' pertama mereka ialah Abdullah Ahmad Badawi. Barisan Nasional masih menang tetapi majoriti mereka telah banyak berkurangan. 

Sekali lagi di PRU ke-13 tahun 2013 Barisan Nasional ditentang oleh Pakatan Rakyat yang juga bersatu kerana 'YOU ENEMY'S ENEMY IS YOUR FRIEND'. Kali ini mereka mempunyai 'ENEMY' baru bernama Najib Razak. Seperti di tahun 2008 juga Barisan Nasional masih memang tetapi dengan majoriti tipis.

Kemudian terjadi keretakan menjadi belah terhadap Pakatan Rakyat. Ini kerana seorang 'ENEMY'S ENEMY' atau 'FRIEND' mereka sudah bertukar menjadi 'ENEMY'. Yang berpaling tadah dari 'FRIEND' menjadi 'ENEMY' ini ialah Hadi Awang. Oleh itu mereka terpaksa mencari 'FRIEND' baru.

Mereka bertukar nama kepada Pakatan Harapan dan dapat 'FRIEND' baru dalam bentuk Mat Sabu. Memang tepat kerana Mat Sabu bukan saja menjadi 'ENEMY' kepada Najib Razak, tetapi dia juga menjadi 'ENEMY' kepada Hadi Awang.

Cuma kali ini Pakatan Harapan mempunyai dua 'ENEMIES' dalam bentuk Najib Razak dan Hadi Awang.

Betullah bila orang berkata dunia ini bulat. Dr. Mahathir Mohamad yang dulu menjadi 'ENEMY' asal kepada Barisan Alternatif yang berubah menjadi Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan tiba-tiba mengisytiharkan dirinya sebagai 'ENEMY' kepada Najib Razak.

Jadi bila Dr. Mahathir Mohamad menawarkan dirinya untuk menjadi 'FRIEND' kepada Pakatan Harapan, bodohlah jika Pakatan Harapan menolaknya. Ini kerana Dr. Mahathir sudah bertukar dari seorang 'ENEMY' menjadi 'ENEMY'S ENEMY' bermakna 'FRIEND'.

Jadi kepada mereka yang sampai nak gila marahkan Dr, Mahathir telitilah teori 'YOUR ENEMY' ENEMY IS YOUR FRIEND' itu baik-baik. 

No comments: