Saturday, July 6, 2019

Rupa-rupanya saya pun salah juga.

Saya dengan Hj. Shahril Saat yang satu kelas dengan Hj. Muhammad.

Lebih setengah abad dulu, atau pun 56 tahun secara tepat saya berada di Tingkatan 1 Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak. Duduk sebilik dengan saya ialah seorang bernama Muhammad (sekarang Haji) berasal dari Langgar, Kedah. Dia senior dua tahun dari saya. 

Seperti saya, Muhammad minat lagu-lagu Hindustan. Kebetulan radio untuk blok asrama kami terletak sebelah bilik kami. Jadi, bila lagu-lagu Hindustan berkumandang di radio dan ada pelajar lain cuba hendak mengubah stesen, Muhammad dan saya bersatu untuk menghalangnya. 

Bukan setakat mendengar lagu-lagu Hindustan. Kami juga menonton filem-filem Hindustan di panggung Rex, Tanjong Malim dan panggung Majestic di pekan Ulu Bernam, Selangor yang terletak di sebelah Sungai Bernam, sungai yang memisahkan negeri-negeri Perak dan Selangor. 

Muhammad pun sering menyanyi lagu-lagu Hindustan dalam bilik dan ini tidak menjadi masalah bagi saya. Satu ketika setelah menonton filem Junglee lakunan Shammi Kapoor dan Saira Banu, Muhammad pun menyanyi lagu-lagu dari filem itu. Antara lagu-lagunya ialah yang berjodol YAHOO. 'Shammi Kapoor', 'Saira Banu' dan 'YAHOO' ada disebut dalam filem 'Nasib Do Re Mi', lakunan dan arahan Allahyarham P Ramlee.

Satu hari setelah menyanyi sebahagian lagu YAHOO, Muhammad berkata 'Sedap betul suara Shammi Kapoor'. Mengetahui fakta itu salah, saya pun menegurnya dan berkata suara di lagu itu bukan suara Shammi Kapoor, tetapi suara seorang penyanyi bernama Muhammad Rafi. Muhammad terus menempelak saya dan berkara 'Apa kau tahu?'.    

Saya pun menerangkan lagu-lagu di filem-filem Hindustan dinyanyikan oleh antaranya Mukesh, Muhammad Rafi, Lata Mangeshkar dan Asha Bosle. Saya terus menerangkan kepadanya lagu-lagu di filem-filem Melayu pun begitu juga. Pelakon-pelakon seperti Jins Shamsuddin, Noordin Ahmad, Zaiton dan Sarimah tidak pandai menyanyi dan bila mereka menyanyi dalam filem, bukan suara mereka yang kita dengar, tetapi suara P Ramlee, Saloma, Normadiah dan R Ismail.

Mendengar penjelasan ini, Muhammad lagi berang dengan saya. Di hari-hari berikutya dia asyik mengejek saya. Di masa itu mana ada internet untuk membantu saya. Saya juga malas untuk merujuk kepada kawan-kawan lain untuk membantu, demi menjaga hati Muhammad yang lebih tua dan senior dari saya

Satu hari bila kami balik ke sekolah setelah bercuti di kampung masing-masing, sebutan pertama Muhammad kepada saya ialah meminta maaf. Katanya dia telah bertanya kepada abangnya, seorang guru, mengenai fakta-fakta lagu-lagu Hindustan. Baru dia sedar segala fakta yang saya beri kepadanya betul belaka. Mulai hari itu Muhammad menghormati saya dan dia mula memuji keenakan suara Muhammad Rafi dan lain-lain.

Entah kenapa pagi tadi saya teringin hendak mendengar lagu YAHOO. Di mana lagi kalau tidak di YouTube. Kemudian saya terlihat satu video Shammi Kapoor yang dibuat tidak berapa lama sebelum beliau meninggal dunia. Dia menceritakan hubungan baiknya dengan Allahyarham Muhammad Rafi. Dia berterima kasih kepada 'Rafi Sahab' kerana meminjamkan suaranya untuk lagu-lagu filem lakunannya.

Antara yang disebut oleh Shammi Kapoor ialah tentang lagu YAHOO. Mengikutnya walau pun hampir keseluruhan lagu itu dinyanyikan oleh Muhammad Rafi, jeritan 'YAAHOO' di awal lagu itu bukan suara 'Rafi Sahab' dan juga bukan suaranya, tetapi suara seorang bernama Pyrag Raj. Ini juga bermakna penjelasan saya kapada Muhammad 56 tahun yang lalu sebenarnya tidak 100% tepat.

Seperti saya, Hj. Muhammad sudah bersara. Beliau sekarang tinggal di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur dan ramai bekas pelajar SDAR tinggal di sana. Jika berjumpa lagi dengannya saya ingin membawa ingatannya kepada minatnya terhadap lagu-lagu Hindustan.

Saya juga ingin memohon maaf kepadanya mengenai fakta lagu YAHOO itu.

No comments: