Tuesday, July 16, 2019

Inilah dia Mr. K




Mohd. Ayop dan Mr. K atau K. Subramaniam.

Jika pos saya sebelum ini menceritakan mengenai seorang yang bernama Maniam, kali ini saya ingin menceritakan mengenai seorang lagi Maniam. Cuma Maniam yang ini tinggal di Kubang Kerian, Kelantan. Walau pun dia tinggal beratus kilometer jauh di sana, orangnya sentiasa berada dekat di hati saya.

Maniam yang di Kelantan ini bernama K. Subramaniam, tetapi lebih dikenali sebagai Mr. K sahaja Saya pernah menceritakan mengenai Mr. K di pos saya bertajuk "Bertugas di Kelantan - Bahagian 3". Tetapi kali ini saya ingin menceritakan lebih lanjut lagi mengenainya.

Saya pernah bertugas di Kelantan pada keseluruhan tahun 1972 semasa saya masih bujang, lima bulan pertama di Pusat Kesihatan Kecil Bachok dan tujuh bulan kedua di Pejabat Kesihatan Pasir Puteh. Antara orang pertama yang saya jumpa ialah Mr. K. Dia bertugas di Pusat Kesihatan Kecil Gunung sebagai Pengawas Kesihatan sedangkan penempatan saya di Bachok merupakan penempatan pertama setelah tamat latihan sebagai seorang Inspektor Kesihatan.

Walau pun saya sudah mengenali budak-budak Kelantan semasa saya belajar di Sekolah Dato' Abdul Razak (SDAR) Tanjong Malim, Perak, saya belum bergaul dengan rakyat Kelantan di negeri mereka sendiri. Mr. K lah orang yang banyak mengajar saya tentang apa yang boleh dan tidak boleh buat di Kelantan. Pelik juga ya, kerana Mr. K seorang bukan Melayu dan bukan Islam boleh mengajar saya bagaimana hendak bergaul dengan masyarakat Melayu dan Islam di Kerlantan.

Salah satu sebabnya ialah Mr. K bukan sahaja fasih berbahasa Melayu, tetapi boleh bercakap loghat Kelantan seperti orang Melayu Kelantan. Bagaimana Mr. K 'kecek' dengan saya 47 tahun yang lalu, begitulah Mr. K bercakap dengan saya melalui telefon pagi tadi.

Ya, pagi tadi saya dapat bercakap semula dengan Mr. K. Kisahnya bermula bila saya membaca di Facebook tentang 'reunion' satu kumpulan yang dipanggil 'EX IK KELATE'. Nama itu bermaksud pesara Inspektor Kesihatan yang pernah bertugas di Kelantan tidak kira di mana mereka berada sekarang. Saya juga seorang 'Ex IK Kelate', tetapi ramai yang tidak tahu. Oleh itu saya tidak dipanggil untuk 'reunion' itu.

Dipendekkan cerita saya pun dimasukkan ke kumpulan WhatsApp 'EX IK KELATE' setelah menghubungi seorang dari mereka yang saya kenal. Untuk membuktikan kesahihan saya menyertai kumpulan tersebut, saya pun siarkan pos-pos blog saya mengenai pengalaman saya bekerja di Kelantan termasuk mengenai Mr. K.

Seorang Ex IK Kelate yang sekarang bersara di Kelantan bernama En. Mohd. Ayop memberitahu saya bahawa Mr. K masih hidup. Saya pun minta dia menghubungi Mr. K untuk saya bercakap dengannya. Itulah yang dibuat oleh En. Mohd. Ayop pagi tadi.

Semasa saya di Kelantan, Pusat Kesihatan Kecil Gunong di mana Mr. K bertugas terkenal dengan satu isu negatif. Staff di sana ramai yang tidak bertegur sapa dan Mr. K terperangkap di tengah-tengah. Ceritanya boleh dibaca di pos yang saya lampirkan itu. Tetapi ketegangan di antara mereka itu tidak kena mengena dengan isu perkauman.

Bila En. Mohd. Ayop menghantar gambar di atas melalui telefon bimbitnya, mula-mula saya ingin masukkan gambar Mr. K sahaja. Tetapi setelah berfikir dua kali saya saya masukkan gambar asal sebagaimana yang dihantar oleh En. Mohd. Ayop.

Perhatikan gambar itu baik-baik. En. Mohd. Ayop, seorang Melayu Islam memasuki rumah Mr. K, seorang India Hindu, dengan memakai kopiah. Mr. K pula menerimanya dengan memakai singlet sahaja. Situasi itu jarang berlaku di tempat-tempat-tempat lain.

Jika di Seremban, seorang Islam akan menanggalkan kopiahnya apabila masuk ke rumah seorang bukan Islam. Tuan rumah pula akan memakai baju penuh untuk menghormati tetamu.

Apa yang dilakukan oleh En. Mohd. Ayop dan Mr. K bukanlah kerana kurang hormat antara mereka, tetapi menunjukkan betapa akrabnya kaum-kaum di Kelantan yang malangkaui batas perkauman, dan patut menjadi contoh kepada kita semua. Sayang sekali saya hanya merasainya dalam tempoh setahun sahaja.

Mr. K sekarang berumur 84 tahun dan masih sihat. Ini bermakna semasa saya bekerja dengannya di umur 22 tahun, Mr. K berumur 37 tahun. Tetapi ia tetap menghormati saya sebagai ketuanya, satu perkara yang saya tidak boleh lupa sehingga sekarang.

Sekian.

No comments: